Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amaran PBB: Konflik Syria belum berakhir

Dec 18, 2024 | 3:59 PM
Anggota tentera melakukan rondaaan di Daraa, Syria, pada 17 Disember  sedang penduduk di selatan Syria menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pencerobohan tentera Israel sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad, di kawasan yang kebanyakannya dikawal oleh militia awam.
Anggota tentera melakukan rondaaan di Daraa, Syria, pada 17 Disember sedang penduduk di selatan Syria menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pencerobohan tentera Israel sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad, di kawasan yang kebanyakannya dikawal oleh militia awam. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa konflik di Syria masih belum berakhir walaupun bekas Presiden Bashar al-Assad telah disingkirkan.

Utusan Khas PBB ke Syria, Encik Geir Pedersen, menekankan keperluan mendesak melaksanakan proses politik yang bersifat terangkum dan dipimpin oleh rakyat Syria sendiri.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada 17 Disember, Encik Pedersen memberi amaran tentang peningkatan ketegangan antara kumpulan pro-Turkey dengan anggota Kurdi di Manbij.

“Gencatan senjata lima hari telah tamat dan saya amat bimbang dengan laporan mengenai peningkatan ketenteraan. Sebarang peningkatan boleh membawa kesan buruk yang dahsyat,” katanya.

Encik Pedersen turut mengumumkan bahawa Amerika Syarikat telah berjaya memanjangkan tempoh gencatan senjata sehingga hujung minggu 22 Disember.

Namun, beliau memberi amaran bahawa situasi itu masih rapuh.

Majlis Keselamatan PBB menyeru pelaksanaan proses politik bersifat terangkum bagi memenuhi aspirasi rakyat Syria.

“Proses ini harus melindungi semua rakyat Syria dan memberi mereka kebebasan untuk menentukan masa depan secara aman, bebas dan demokratik,” kata kenyataan Majlis Keselamatan PBB.

Encik Pedersen juga menyatakan bahawa beliau telah bertemu dengan kepimpinan baru Syria selepas pengambilalihan pemberontak.

Beliau menyeru sokongan antarabangsa yang meluas untuk membina semula negara itu, termasuk pemansuhan sekatan ekonomi.

“Pergerakan konkrit ke arah peralihan politik yang inklusif adalah kunci bagi memastikan Syria menerima sokongan ekonomi yang diperlukan,” kata Encik Pedersen.

Ketua Kemanusiaan PBB yang baru, Encik Tom Fletcher, menegaskan perubahan besar di medan perang tidak membawa sebarang pengurangan terhadap keadaan genting yang dihadapi oleh rakyat Syria.

Beliau melaporkan bahawa hampir 13 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan dengan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dalam tempoh dua minggu terakhir.

“Saya gembira melaporkan bahawa kepimpinan baru Syria komited untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan yang penting.

“Namun, keganasan yang memuncak di timur laut Syria perlu diberi perhatian segera,” kata Encik Fletcher.

Encik Pedersen turut membangkitkan kebimbangan mengenai serangan Israel yang dilaporkan melebihi 350 serangan sejak kejatuhan Encik Assad, termasuk serangan besar di Tartus.

Beliau mendakwa serangan itu meningkatkan risiko kepada penduduk awam dan menjejas prospek peralihan politik yang teratur.

“Israel mesti menghentikan semua kegiatan petempatan di Golan yang diduduki dan mematuhi kedaulatan serta integriti wilayah Syria,” tegas Encik Pedersen.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, menyambut baik kejatuhan Encik Assad tetapi memberi amaran terhadap kemungkinan kemunculan semula kumpulan pengganas seperti IS.

“Ini adalah peluang bersejarah bagi rakyat Syria untuk membina kehidupan yang lebih baik selepas lebih sedekad konflik dan rasuah.

“Namun, Syria tidak boleh digunakan sebagai pangkalan bagi kumpulan pengganas seperti IS,” katanya.

Cik Thomas-Greenfield turut menekankan keperluan untuk memastikan keselamatan kem tahanan dan kem pelarian di timur laut Syria bagi mengelakkan ancaman keselamatan sejagat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg