Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel rancang ganda penduduk di Bukit Golan

Dec 16, 2024 | 10:46 AM
Wanita keturunan Druze berjalan berhampiran pagar menuju ke zon penampan di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB), yang memisahkan pasukan Israel dengan Syria di Bukit Golan, pada 15 Disember.
Wanita keturunan Druze berjalan berhampiran pagar menuju ke zon penampan di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB), yang memisahkan pasukan Israel dengan Syria di Bukit Golan, pada 15 Disember. - Foto AFP

TEL AVIV: Israel merancang menggandakan jumlah penduduk di Bukit Golan yang didudukinya, walaupun pemimpin pemberontak yang menggulingkan Presiden Bashar al-Assad menunjukkan nada yang lebih sederhana.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan kepentingan strategik Bukit Golan bagi Israel.

“Memperkukuhkan Bukit Golan adalah memperkukuhkan Israel. Kami akan terus mempertahankannya, memajukannya, dan memastikan kawasan ini terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.

Israel merampas Bukit Golan daripada Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan menawannya pada 1981.

Namun, tindakan itu tidak diiktiraf kebanyakan negara, meskipun mantan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyokong kedaulatan Israel di kawasan tersebut pada 2019.

Syria terus menuntut pengunduran Israel, tetapi tuntutan itu ditolak atas alasan keselamatan.

Encik Netanyahu turut mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Encik Trump pada 14 Disember mengenai perkembangan keselamatan di Syria.

“Kami tiada kepentingan untuk mencetuskan konflik dengan Syria.

“Langkah kami hanya untuk mencegah ancaman dan menghalang kumpulan pengganas daripada mendekati sempadan kami,” jelas Encik Netanyahu.

Pemerintah Israel telah meluluskan pelan bernilai lebih 40 juta shekel ($14 juta) untuk menggandakan penduduk di Bukit Golan.

Pelan itu dilihat sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan kehadiran Israel di kawasan tersebut.

“Dalam situasi perang dan ancaman baharu di Syria, langkah ini penting demi memastikan keselamatan dan kestabilan di sempadan,” kata Encik Netanyahu.

Setakat ini, sekitar 31,000 rakyat Israel menetap di Bukit Golan, kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian seperti ladang anggur dan pelancongan.

Namun, keputusan Israel itu mendapat kecaman daripada beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Qatar, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

UAE, yang telah memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020, menyifatkan langkah itu sebagai “usaha sengaja untuk memperluaskan pendudukan”.

Pemimpin de facto Syria, Encik Ahmad al-Sharaa, yang mengetuai kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS), mengkritik tindakan Israel.

Namun, beliau menekankan bahawa Syria kini lebih memberi tumpuan pada pembinaan semula negara selepas bertahun-tahun berperang.

“Keutamaan kami adalah kestabilan dan pemulihan, bukan konflik baru yang hanya membawa kemusnahan,” katanya dalam wawancara bersama Syria TV.

Sejak kejatuhan rejim Assad, Israel juga telah memasuki zon penampan di dalam Syria, termasuk kawasan strategik di Bukit Hermon.

Walaupun tindakan itu dianggap sebagai langkah sementara untuk keselamatan sempadan, ia mencetuskan kritikan antarabangsa, dengan beberapa negara Arab menyifatkannya sebagai rampasan kawasan penampan.

Kementerian Luar Riyadh dalam kenyataan, “mengecam dan mengutuk” rancangan tersebut, selain menyifatkannya sebagai sebahagian daripada “sabotaj berterusan bagi peluang memulihkan keamanan dan kestabilan di Syria”.

Doha pula berkata pengisytiharan Israel itu adalah “episod baharu dalam siri pencerobohan ke atas wilayah Syria dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa”.

Sementara itu, pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di New York mengesahkan Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (Undof) “mencatatkan beberapa kejadian harian membabitkan operasi tentera Israel IDF di timur zon penampan”.

Israel sebelum ini, mengumumkan rancangan meningkatkan bilangan peneroka di Bukit Golan, dengan pemerintah Perdana Menteri ketika itu, Encik Naftali Bennett, meluluskan program selama lima tahun, bernilai AS$317 juta ($434 juta).

Rancangan pada Disember 2021 itu bertujuan menggandakan penduduk, yang ketika itu berjumlah sekitar 25,000 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg