Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika serang tiga tapak nuklear Iran

Trump sifatkan serangan sangat berjaya, program nuklear Teheran telah dihapuskan
Jun 22, 2025 | 5:48 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump menyampaikan ucapan kepada negara di Rumah Putih di Washington, DC, pada 21 Jun. 
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump menyampaikan ucapan kepada negara di Rumah Putih di Washington, DC, pada 21 Jun.  - Foto EPA-EFE


WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat menyerang tiga tapak nuklear Iran dalam “serangan yang sangat berjaya,” kata Presiden Donald Trump pada 21 Jun, sambil menambah bahawa program nuklear Teheran telah dihapuskan.

Selepas berhari-hari berbincang dan jauh sebelum tarikh akhir dua minggu yang ditetapkan sendiri, keputusan Encik Trump menyertai kempen ketenteraan Israel menentang Iran bak menandakan peningkatan besar konflik tersebut.

“Serangan ini adalah kejayaan ketenteraan yang luar biasa,” kata Encik Trump dalam ucapan televisyen dari Pejabat Oval.

“Kemudahan pengayaan nuklear utama Iran telah musnah sepenuhnya,” tambah beliau.

Dalam ucapan yang hanya berlangsung lebih tiga minit itu, Encik Trump berkata masa depan Iran terletak pada “damai atau tragedi,” dan terdapat banyak sasaran lain yang boleh diserang oleh tentera Amerika.

“Jika damai tidak tercapai dengan cepat, kami akan serang sasaran lain,” tambah Encik Trump.

Agensi tenaga Iran menyifatkan serangan Amerika ke atas tiga tapak nuklearnya sebagai “serangan buas” tapi berikrar untuk tidak meninggalkan industri nuklear selepas serangan itu.

Tindakan yang dianggap tanpa undang-undang itu tidak akan menyebabkan “pembangunan industri nasional itu dihentikan,” kata satu kenyataan oleh Pertubuhan Tenaga Atom Iran, yang dipetik agensi berita Irna.

Agensi itu tidak mengesahkan sama ada tapak Fordow, Natanz dan Isfahan telah “dihapuskan sepenuhnya dan sama sekali”, seperti yang dikatakan Encik Trump dalam ucapan dari Washington.

Menurut laporan CBS News, Amerika menghubungi Iran secara diplomatik pada 21 Jun untuk memberitahu bahawa serangan tersebut adalah satu-satunya rancangan Amerika dan usaha untuk menukar rejim, tidak dirancang.

Encik Trump menyatakan bahawa tentera Amerika telah menyerang tiga tapak nuklear utama Iran: Natanz, Isfahan dan Fordow. 

Beliau memberitahu Fox News bahawa enam bom penembus kubu telah digugurkan di Fordow, sementara 30 peluru berpandu Tomahawk ditembak ke tapak nuklear lain.

Pesawat pengebom B-2 Amerika terlibat dalam serangan ini, menurut seorang pegawai Amerika.

“Muatan penuh bom telah digugurkan di tapak utama, Fordow,” kata Encik Trump.

“Fordow telah musnah. Iran harus setuju untuk menghentikan perang ini,” tambah Encik Trump.

Seorang pegawai Iran, yang dipetik oleh agensi berita Tasnim, mengesahkan bahawa sebahagian daripada tapak Fordow telah diserang oleh “serangan udara musuh”.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu mengucapkan tahniah kepada Encik Trump atas “keputusan berani” beliau yang katanya akan mengubah sejarah.

Serangan tersebut berlaku ketika Israel dan Iran terlibat dalam pertempuran udara selama lebih seminggu yang mengakibatkan kematian dan kecederaan di kededua negara.

Israel melancarkan serangan terhadap Iran dengan alasan ingin menghapuskan peluang Teheran membangunkan senjata nuklear.

Iran pula menyatakan bahawa program nuklearnya hanya untuk tujuan aman.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres melahirkan rasa bimbangnya dengan kekerasan oleh Amerika terhadap Iran dalam serangan itu.

“Terdapat risiko yang semakin meningkat bahawa konflik ini boleh hilang kawalan dengan cepat – akibat bencana kepada orang awam, rantau ini dan dunia,” katanya.

Usaha diplomatik negara-negara Barat untuk menghentikan permusuhan ini telah gagal.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, anggota Demokrat dan beberapa anggota Republikan berpendapat bahawa Encik Trump perlu mendapat kebenaran daripada Kongres Amerika sebelum melibatkan tentera Amerika dalam pertempuran dengan Iran.

Senator Demokrat, Encik Tim Kaine dari Virginia berkata, orang awam Amerika “secara keseluruhannya menentang perang Amerika terhadap Iran” dan menuduh Encik Trump menunjukkan “pertimbangan yang buruk”.

Kementerian Luar Qatar dalam X pula melahirkan rasa kesal di atas situasi yang kian meruncing menyusuli serangan ke atas tapak nuklear Iran itu.

Israel melancarkan serangan pada 13 Jun, dengan alasan Iran hampir berjaya membangunkan senjata nuklear. Israel secara meluas dianggap memiliki senjata nuklear, tetapi tidak mengesahkannya mahupun menafikannya.

Sekurang-kurangnya 430 orang telah terkorban dan 3,500 cedera di Iran sejak Israel memulakan serangan, menurut Nour News, agensi berita Iran.

Di Israel, 24 orang awam telah terbunuh akibat serangan peluru berpandu Iran, menurut pihak berkuasa tempatan, dalam konflik terburuk antara musuh lama ini. Lebih daripada 450 peluru berpandu Iran telah dilancarkan ke arah Israel, menurut pejabat perdana menteri Israel.

Pegawai Israel berkata 1,272 orang telah cedera sejak permulaan permusuhan, dengan 14 dalam keadaan kritikal. - REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg