Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iran, Israel lancar serangan baru selepas Teheran tolak rundingan nuklear

Iran tegaskan tiada ruang untuk rundingan dengan Amerika sehingga pencerobohan Israel dihenti
Jun 21, 2025 | 1:27 PM
Israel, Iran, missile, attack, peluru berpandu, serangan
Sebuah peluru berpandu dari Iran dipintas seperti yang dilihat dari Ashkelon, Israel, pada 21 Jun. Iran dan Israel bertukar serangan, sehari selepas Teheran menolak rundingan mengenai program nuklearnya ketika diancam. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Iran dan Israel bertukar serangan baru awal 21 Jun, sehari selepas Teheran menolak rundingan mengenai program nuklearnya ketika diancam dan Eropah cuba menyelamatkan rundingan damai.

Sekitar 2.30 pagi waktu Israel, tentera negara itu memberi amaran serangan peluru berpandu dari Iran, menyebabkan siren kecemasan dibunyikan di bahagian tengah Israel termasuk Tel Aviv dan Tebing Barat yang diduduki Israel.

Serangan udara Israel dilaporkan menyasarkan kemudahan simpanan dan pelancaran peluru berpandu Iran.

Lima peluru berpandu balistik didakwa ditembak oleh Iran, namun tiada laporan awal tentang kemalangan jiwa.

Sebuah bangunan kediaman di tengah Israel terbakar akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas, menurut perkhidmatan kecemasan Israel.

Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 13 Jun, mendakwa musuh lamanya itu hampir membangunkan senjata nuklear.

Iran menafikan dan mengatakan program nuklearnya untuk tujuan aman, dan membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron.

Israel dipercayai memiliki senjata nuklear, namun ia tidak pernah mengesah atau menafikan perkara itu.

Serangan udara Israel telah mengorbankan 639 orang di Iran, termasuk pegawai tentera kanan dan saintis nuklear, menurut agensi hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Di Israel, 24 orang awam maut dalam serangan peluru berpandu Iran.

Agensi berita Reuters tidak dapat mengesahkan angka mangsa sebenar bagi kededua pihak.

Iran berulang kali menyasarkan Tel Aviv, kawasan metropolitan dengan sekitar 4 juta penduduk dan pusat perniagaan serta aset ketenteraan penting Israel.

Israel berkata ia telah menyerang puluhan sasaran ketenteraan pada 20 Jun, termasuk tapak pengeluaran peluru berpandu, sebuah badan penyelidikan yang dikatakan terlibat dalam pembangunan senjata nuklear di Teheran serta kemudahan ketenteraan di Iran.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, berkata tiada ruang untuk rundingan dengan Amerika “sehingga pencerobohan Israel dihentikan”. 

Namun, beliau tiba di Geneva pada 20 Jun untuk mengadakan perbincangan dengan menteri luar Eropah yang berharap dapat mencari jalan kembali ke meja rundingan diplomasi.

Pada 20 Jun, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengulangi bahawa beliau akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk memutuskan sama ada Amerika patut menyertai konflik di pihak Israel.

Encik Trump berkata beliau tidak mungkin mendesak Israel mengurangkan serangan udara supaya rundingan dapat diteruskan.

“Saya rasa sukar membuat permintaan itu sekarang. Jika seseorang sedang menang, ia lebih sukar berbanding jika sedang kalah, tetapi kami sedia, sanggup dan mampu, dan kami telah bercakap dengan Iran, dan kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya. 

Encik Trump juga meragui rundingan Geneva akan mencapai gencatan senjata dan menegaskan “Iran tidak mahu bercakap dengan Eropah. Mereka mahu bercakap dengan kami. Eropah tidak akan dapat membantu dalam hal ini.”

Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, menyatakan serangan akan diteruskan “sehingga ancaman nuklear Iran dibongkar”, manakala duta Iran, Encik Amir Saeid Iravani, pula menyeru tindakan Majlis Keselamatan dan menyuarakan kebimbangan jika Amerika menyertai perang.

Russia dan China pula mendesak agar ketegangan diredakan dengan segera. 

Seorang pegawai kanan Iran menyatakan negara itu bersedia membincangkan had pengendalian uranium tetapi tidak akan setuju menghentikannya sepenuhnya, “terutamanya sekarang ketika diserang oleh Israel”. – Reuters.

“Saya rasa sukar membuat permintaan (mengurangkan serangan udara dari pihak Israel) itu sekarang. Jika seseorang sedang menang, ia lebih sukar berbanding jika sedang kalah, tetapi kami sedia, sanggup dan mampu, dan kami telah bercakap dengan Iran, dan kita lihat apa yang akan berlaku.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg