BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 18 Jun berkata bahawa Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, telah memberi jaminan kepadanya bahawa pentadbiran Amerika sedang berusaha untuk menarik balik sekatan pengiriman senjata ke Israel.
Encik Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, ketika bertemu Encik Blinken minggu lalu, beliau menyatakan penghargaan atas sokongan yang diberikan Amerika kepada Israel sejak permulaan perang menentang Hamas pada Oktober.
Tetapi beliau juga berkata, “tidak dapat dibayangkan bahawa dalam beberapa bulan lalu, pentadbiran Amerika telah menahan bekalan senjata dan peluru kepada Israel”.
Menurut Encik Netanyahu, Encik Blinken telah memberi jaminan bahawa pentadbiran Amerika bekerja “siang dan malam” untuk menghapuskan sekatan tersebut.
“Saya pastinya berharap perkara itu berlaku. Ia sepatutnya berlaku,” kata beliau.
“Beri kami peralatan dan kami akan menyelesaikan kerja dengan lebih cepat,” tambah beliau.
Ditanya dalam sidang akhbar di Washington mengenai kenyataan Encik Netanyahu itu, Encik Blinken enggan menyatakan sama ada beliau telah memberi jaminan seperti itu kepada pemimpin Israel itu.
Namun, beliau berkata, pentadbiran Amerika masih mengkaji satu penghantaran bom besar seberat 2,000 paun (907 kilogram) kepada Israel kerana kebimbangan mengenai penggunaannya di kawasan padat penduduk.
Beliau berkata penghantaran senjata yang lain bergerak seperti biasa sambil memetik ancaman keselamatan yang dihadapi Israel di luar Jaluran Gaza termasuk daripada Hezbollah di Lebanon dan Iran.
Encik Nentanyahu turut menukil bahawa Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah menyatakan bahawa beliau akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Israel dapat mempertahankan dirinya dengan berkesan.
Pada 17 Jun, Washington Post, melaporkan dua anggota Demokrat Kongres Amerika telah bersetuju untuk menyokong penjualan senjata kepada Israel yang merangkumi 50 jet pejuang F-15 bernilai lebih AS$18 bilion ($24.32 bilion). – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg