THE HAGUE (Belanda): Amnesty International menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menyiasat jenayah perang melibatkan tiga serangan Israel baru-baru ini yang membunuh 44 orang awam Palestin, termasuk 32 kanak-kanak.
Minggu lalu, pendakwa ICC, Encik Karim Khan, memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan pemimpin tertinggi Hamas kerana melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Kumpulan hak asasi itu berkata tiga serangan Israel – di kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza pada 16 April dan di Rafah, di selatan, pada 19 dan 20 April – adalah “bukti lanjut tentang corak jenayah perang lebih luas” yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza.
“Kes yang didokumenkan menggambarkan corak serangan yang jelas menunjukkan tentera Israel melanggar undang-undang antarabangsa sejak perang hampir lapan bulan lalu.
“Mereka membunuh orang awam Palestin dengan sewenang-wenangnya dan menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa manusia,” kata Erika Guevara-Rosas, pengarah kanan Amnesty.
Kumpulan itu menjalankan penyiasatan sendiri ke atas serangan tersebut, menemu bual 17 mangsa yang terselamat dan saksi serta melawat mereka yang cedera dan sedang dirawat di hospital.
Pada 16 April, serangan udara Israel ke atas kem pelarian al-Maghazi membunuh 10 kanak-kanak berumur empat hingga 15 tahun dan lima lelaki dewasa, kata kumpulan hak asasi itu, sambil menambah bahawa lebih sedozen penduduk cedera.
“Letupan berlaku ketika kanak-kanak bermain di tengah-tengah pasar,” kata Amnesty.
Menurut kumpulan itu, serangan udara Israel di Rafah pada 19 April membunuh sembilan ahli sebuah keluarga, termasuk enam kanak-kanak, sementara pada 20 April pula, ia membunuh 20 ahli sebuah keluarga, termasuk 16 kanak-kanak. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg