PARIS: Pihak berkuasa Iran telah memperhebat penindasan terhadap penduduk negara itu sebagai tindak balas terhadap perang Asia Barat, yang bermula beberapa minggu selepas tindakan keras mereka yang meragut nyawa terhadap protes antipemerintah mengorbankan ribuan orang, kata Amnesty International.

Sekatan Internet yang dikenakan semasa tindakan keras pada 8 dan 9 Januari serta skala korban bermakna kumpulan itu masih belum dapat mengenal pasti jumlah orang yang terbunuh, kata penyelidik utama Amnesty mengenai Iran, Cik Raha Bahreini, pada 17 November.

Namun, beliau memberitahu AFP dalam satu temu bual bahawa “tidak syak lagi ribuan nyawa telah dibunuh beramai-ramai dalam masa kurang daripada 48 jam”.

Beliau menambah bahawa perang Asia Barat, yang bermula dengan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari “ketika rakyat Iran masih terkesan akibat pembunuhan beramai-ramai pada Januari, telah mewujudkan situasi yang mengerikan bagi penduduk di negara itu”.

“Pihak berkuasa menggunakan keadaan masa perang sebagai alasan untuk memperhebat penindasan,“ tambahnya.

Cik Bahreini berkata pihak berkuasa telah meningkatkan hukuman mati bermotifkan politik “pada kadar yang tidak pernah berlaku dalam beberapa dekad kebelakangan ini”, dengan sekurang-kurangnya 39 orang dihukum mati berkaitan dengan protes pada Januari.

Dengan pihak berkuasa mengancam untuk melaksanakan keadilan pantas, “tempoh antara penangkapan, sabitan, hukuman dan pelaksanaan telah dipendekkan kepada hanya beberapa minggu dalam sesetengah kes”.

Kini terdapat “ketenteraan melampau di ruang awam”, dengan trak pikap yang dilengkapi mesingan terpasang meronda di jalan raya, katanya.

“Pihak berkuasa menyamakan perbezaan pendapat secara aman dengan pengkhianatan serta sokongan terhadap musuh asing,“ ujar beliau.

Demonstrasi pada mulanya tercetus berikutan kebimbangan ekonomi pada Disember lalu tetapi merebak menjadi gerakan protes antipemerintah yang lebih meluas dan memuncak pada Januari sebelum berjaya dikawal.

Cik Bahreini meluahkan rasa kesal kerana masyarakat antarabangsa telah mengalihkan perhatian mereka daripada rakyat Iran kepada kesan geopolitik konflik tersebut.

“Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada Januari, yang sepatutnya menggerakkan kesedaran global ketika itu, kini telah luput daripada perhatian,“ jelasnya.

Cik Bahreini dijadualkan berucap dalam satu sesi meja bulat di Parlimen Perancis mengenai hak asasi manusia di Iran, pada 18 November.

Amnesty telah mendokumentasikan pembunuhan lebih 3,000 orang dalam protes besar sebelum ini di Iran pada 2022, sambil menyeru agar sebuah tribunal antarabangsa ditubuhkan untuk menghukum pihak yang bertanggungjawab. – AFP.