Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin Iran resah kekurangan gas bakar sentimen rakyat ekoran perang
Keadaan pada musim sejuk kali ini dijangka lebih teruk selepas loji pemprosesan rosak
Pemimpin Iran resah kekurangan gas bakar sentimen rakyat ekoran perang
TEHERAN: Iran tidak menunjukkan sebarang tanda akan bertolak ansur dengan Amerika Syarikat berhubung peperangan antara dua negara itu.
Namun, amaran Teheran kepada rakyatnya berhubung kekurangan bekalan gas musim sejuk ini mendedahkan kelemahan terkini negara itu dalam konflik berkenaan, dengan pelabuhannya disekat dan prasarana dibedil Amerika.
Pemerintah Iran pada pertengahan November berkata meskipun negara itu pernah mengalami kekurangan bekalan gas sebelum ini, keadaan pada musim sejuk kali ini dijangka lebih teruk.
Ini berikutan kerosakan akibat perang ke atas loji pemprosesan, sekali gus menjejas kebanyakan wilayah terjejas.
Terhimpit dengan kesan peperangan yang memburukkan lagi kadar inflasi yang melambung tinggi serta memusnahkan jutaan pekerjaan, rakyat Iran kini berdepan kesukaran yang semakin meruncing.
Pemimpin kanan bimbang keadaan tersebut akan melebarkan lagi jurang perpecahan yang masih berbekas akibat tindakan keras ke atas tunjuk perasaan besar-besaran pada musim sejuk lalu.
Seorang pegawai kanan Iran dan seorang pegawai keselamatan negara itu memberitahu agensi berita, Reuters, barisan kepimpinan tertinggi negara semakin bimbang dengan keadaan berkenaan.
Kekurangan bahan api dalam negara menambah lagi kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya pergolakan awam.
Menurut pegawai keselamatan itu, tiada tunjuk perasaan ketara terhadap sistem pemerintahan negara itu berlaku sejak peperangan dicetuskan Amerika dan Israel pada 28 Februari lalu, yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Namun, agensi perisikan dalam negeri tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga serta memantau rapat sebarang tanda penentangan.
Mereka turut percaya Amerika mungkin akan cuba mencetuskan demonstrasi jalanan, tambah pegawai keselamatan itu.
Pegawai kanan itu memberi amaran taraf hidup rakyat Iran yang sedia sukar ini semakin berat untuk ditanggung masyarakat.
“Ini adalah sekatan paling dahsyat yang dikenakan ke atas kami sejak revolusi,” kata penganalisis Iran, Encik Saeed Leylaz.
Di sebuah syarikat alat pemanas di Teheran, jurujual, Encik Amin Sha’bani, berkata prospek musim sejuk yang melampau amat membimbangkan.
Beliau menambah, para pelanggan kini semakin cenderung memilih produk elektrik berbanding gas, walaupun kedua-dua produk berkenaan secara amnya tetap terlalu mahal buat mereka.
“Dengan perkara yang telah berlaku sepanjang sembilan bulan lalu (sejak serangan Amerika dan Israel), dengan loji-loji kuasa yang diserang, wajar untuk berasa bimbang apabila cuaca menjadi semakin sejuk,” katanya.
Meskipun Iran merupakan pengeluar utama gas dan menguasai sebahagian daripada telaga gas terbesar dunia, Iran kadangkala gagal memenuhi permintaan domestik akibat peralatan usang yang diburukkan lagi oleh sekatan antarabangsa
Jurucakap pemerintah, Cik Fatemeh Mohajerani, berkata kekurangan bekalan gas pada musim sejuk ini berkemungkinan mencecah 430 juta meter padu (m³), berbanding 300 juta m³ pada 2025.
Syarikat gas kebangsaan Iran menyalahkan kerosakan pada empat loji pemprosesan semasa awal peperangan sebagai punca kekurangan yang semakin memburuk itu dan memaklumkan pihaknya sedang berusaha untuk membaikinya.
Namun, pegawai kanan Iran itu memberitahu Reuters langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut hanyalah penyelesaian jangka pendek.
Beliau menambah, banyak mesyuarat telah diadakan dalam usaha menguruskan krisis musim sejuk yang kian menjelang.
Seorang lagi sumber kanan Iran berkata negara itu sedang mengadakan rundingan untuk mengimport gas dari Russia.
“Ini boleh menjadi isu kritikal, namun langkah-langkah telah diambil dan kami akan mengharunginya,” kata Encik Leylaz.
“Dalam senario paling buruk, kami mungkin terpaksa memotong bekalan gas kepada sektor industri buat sementara waktu, tetapi kami masih belum sampai ke tahap itu.” – Reuters.