Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen akur tidak ubah had umur pilihan raya daerah

Tunjuk perasaan bantah perubahan dibatal, anak Jokowi tidak layak bertanding lepas batas umur 30 tahun bagi sertai pemilihan ketua wilayah dikekal
Aug 23, 2024 | 4:13 PM
Pekerja memasang semula pagar besi bangunan DPR  di Jakarta pada 23 Ogos, setelah ia dirempuh penunjuk perasaan sehari sebelumnya. Ini selepas   tunjuk perasaan besar-besaran berkaitan had umur calon pilihan raya gabenor dibatalkan.
Pekerja memasang semula pagar besi bangunan DPR di Jakarta pada 23 Ogos, setelah ia dirempuh penunjuk perasaan sehari sebelumnya. Ini selepas tunjuk perasaan besar-besaran berkaitan had umur calon pilihan raya gabenor dibatalkan. - Foto AFP

JAKARTA:  Presiden Parti Buruh Indonesia, Encik Said Iqbal, mengumumkan tunjuk perasaan besar-besaran yang dirancang diadakan pada 23 Ogos telah dibatalkan. Keputusan itu diambil selepas Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), atau Parlimen, memberi jaminan ia akan membatalkan semakan Undang-Undang Pilihan Raya Daerah (Pilkada).

Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia (BEM UI) juga menolak sebarang keputusan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan DPR. Perkara ini disahkan oleh Wakil Propaganda BEM UI, Encik Muhd Daffa Intanio Mahmud.

Menurut surat yang ditandatangani oleh Encik Said dan setiausaha agung partinya, Encik Ferri Nuzarli, tunjuk perasaan dijadualkan bermula di hadapan bangunan DPR dan KPU pada 9 pagi. Jumlah peserta tunjuk perasaan itu dianggarkan 2,000 orang, dan mungkin meningkat hingga 5,000 orang.

Pembatalan itu menyusuli keputsuan DPR lewat 22 Ogos yang menegaskan ia akan mematuhi keputusan Mahkamah Perlembagaan berhubung isu Pilkada 2024, kata Timbalan Speaker, Encik Sufmi Dasco Ahmad.

Keputusan mahkamah itu, yang dibuat susulan permohonan semakan kehakiman oleh Parti Buruh dan Parti Gelora, akan berkuat kuasa ketika pendaftaran calon Pilkada 2024 pada 27 Ogos, kerana Rang Undang-Undang (RUU) Pilkada masih belum diluluskan.

Hanya 86 daripada 560 anggota hadir di sesi Parlimen ketika bantahan memuncak di Jakarta dan di beberapa bandar utama yang menuntut DPR menolak RUU itu, yang mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai syarat calon dan had umur bagi semua parti politik.

Sekitar 6 petang waktu tempatan 22 Ogos, penunjuk perasaan beransur-ansur bersurai dari kawasan Parlimen. Keadaan lalu lintas di sekitarnya juga kembali biasa, manakala pihak keselamatan terus memantau dan mencegah perhimpunan berlanjutan.

Pejabat Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo memuji bantahan yang dirancang di seluruh negara pada 22 Ogos itu sebagai paparan teguhnya hak demokrasi, dan beliau menekankan komitmen pemerintah untuk menjaga kebebasan bersuara. Jurucakap Presiden, Encik Hasan Nasbi, berkata demonstrasi menentang cadangan perubahan undang-undang pilihan raya tempatan mengesahkan kepatuhan Indonesia kepada nilai demokrasi.

“Hari ini, kita telah menyaksikan demokrasi beraksi, bukan sahaja di Jakarta tetapi merentasi banyak bahagian di Indonesia,” kata Encik Hasan, semasa taklimat di Istana Presiden.

Bantahan yang diketuai sebahagian besar pelajar universiti itu menuduh parti politik cuba memanipulasi undang-undang untuk menjadikan anak bongsu Presiden Jokowi, Encik Kaesang Pangarep, layak bertanding dalam pilihan raya gabenor.

Awal minggu ini, Mahkamah Perlembagaan mengekalkan undang-undang sekarang, yang mewajibkan calon gabenor, datuk bandar dan daerah berumur sekurang-kurangnya 30 tahun pada masa mereka diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) pada 22 September bagi menyertai pilihan raya 2024.

Encik Kaesang, yang akan berumur 30 tahun pada Disember, hilang kelayakan di bawah peraturan itu.

Namun, satu keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini mencadangkan umur calon harus dikira mengikut tarikh seseorang pegawai yang dipilih pengundi memegang jawatan secara rasmi tahun depan. Ini menjadikan Encik Kaesang layak bertanding.

Bagaimanapun, di bawah sistem perundangan Indonesia, Mahkamah Perlembagaan mempunyai kuasa muktamad dalam urusan pilihan raya, mengatasi tafsiran Mahkamah Agung.

Perhimpunan tercetus di tengah-tengah laporan bahawa anggota parlimen yang setia kepada Presiden Jokowi dan bakal penggantinya, Encik Prabowo Subianto, merancang untuk bertemu di Dewan Rakyat pada 23 Ogos bagi mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Berikutan tekanan yang memuncak, sidang pleno Parlimen akhirnya mengeluarkan pindaan kontroversi itu daripada agendanya, selepas ratusan pelajar merempuh pekarangan badan perundangan itu.

“Kami telah melihat Mahkamah Agung dan Mahkamah Perlembagaan melaksanakan tugas kehakiman mereka, Dewan memainkan peranan perundangan, dan orang ramai, termasuk pelajar, bertindak sebagai ejen demokrasi. Ini luar biasa,” kata Encik Hasan.

Beliau memberi jaminan presiden akan menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah dan Dewan Rakyat.

“Dewan secara rasmi mengumumkan bahawa rang undang-undang berhubung pilihan raya tempatan telah digugurkan. Pemerintah akan mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” tambah Encik Hasan.

Dalam pada itu, Amnesty International Indonesia melaporkan penggunaan kekerasan berlebihan oleh pasukan keselamatan semasa bantahan terhadap semakan undang-undang itu di sekitar bangunan Parlimen di Senayan, Jakarta, dan wilayah lain.

Badan hak asasi manusia itu memantau unjuk perasaan di beberapa bandar secara serentak pada 22 Ogos dan mendokumentasikan kejadian kekejaman polis.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Encik Usman Hamid, dalam satu kenyataan mengecam pasukan keselamatan kerana melanggar undang-undang dan gagal menghormati hak bantahan secara aman, yang dilindungi pada peringkat nasional dan antarabangsa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg