JAKARTA: Anak lelaki Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, Encik Gibran Rakabuming Raka (gambar), dengan tenang menangkis kritikan dalam perbahasan pilihan raya perdana yang dinanti-nantikan pada 22 Disember lalu.
Ini ketika lawannya bagi jawatan naib presiden mengecam projek warisan terbesar bapa Encik Gibran bagi memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta ke Borneo.
Encik Gibran mengejutkan hadirin dengan penyampaian tenangnya, disisip sindiran yang menyengat ketika beliau menentang dua individu berkaliber tinggi dalam dunia politik Indonesia, Ketua Menteri Keselamatan, Encik Mahfud MD dan ahli politik berpengalaman, Encik Muhaimin Iskandar.
Encik Gibran, 36 tahun, mempertahankan dasar ekonomi bapanya yang dikatakan telah mengurangkan pengangguran, kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi, lapor akhbar The Straits Times.
Beliau memuji Nusantara, ibu kota pentadbiran baru yang kini dibina dari awal di Kalimantan Timur, sebagai “simbol kesaksamaan” yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menyebar pertumbuhan ekonomi dengan lebih saksama ke wilayah di luar pulau Jawa, di mana Jakarta terletak.
Encik Muhaimin, 57 tahun, mengkritik kos tinggi projek itu, yang dianggarkan mencecah hampir 500 trilion rupiah ($42.8 bilion). Katanya, 1 hingga 3 peratus daripada peruntukan itu akan lebih baik digunakan untuk membangun infrastruktur seperti sekolah dan jalan raya di seluruh Kalimantan, iaitu bahagian Indonesia di Borneo.
Sebagai maklum balas, Encik Gibran mengingatkan Encik Muhaimin bahawa beliau telah meraikan pelancaran projek utama itu dengan memotong nasi tumpeng, hidangan nasi kuning yang disediakan untuk majlis-majlis khas di Indonesia.
“Encik Muhaimin, saya masih ingat kali terakhir anda juga melawat Nusantara untuk meraikan projek itu, tetapi sekarang anda berkata sebaliknya.
“Anda tidak konsisten. Nusantara bukan sahaja membina bangunan pemerintah tetapi ia juga adalah simbol kesaksamaan, simbol transformasi pembangunan Indonesia,” tambahnya.
Semasa perbahasan itu, Encik Gibran membentangkan rancangannya untuk meningkatkan ekonomi, daripada membangunkan industri hiliran dalam bidang perlombongan, pertanian dan perikanan, kepada menyokong perusahaan kecil dan sederhana.
Langkah-langkah ini akan mewujudkan 19 juta pekerjaan, tambahnya. – ST.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg