Anak Khamenei calon utama ambil alih kepimpinan tertinggi Iran
Anak Khamenei calon utama ambil alih kepimpinan tertinggi Iran
TEHERAN: Encik Mojtaba Khamenei, anak kepada pemimpin tertinggi Iran yang terbunuh Ayatollah Ali Khamenei, muncul sebagai calon paling berkemungkinan untuk mengambil alih jawatan tertinggi negara itu ketika Iran berdepan krisis politik dan ketenteraan yang semakin memuncak.
Encik Mojtaba, 56 tahun, merupakan anak kedua kepada Ali Khamenei yang memerintah Iran selama lebih tiga dekad sebelum dilaporkan terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas kompleks kediamannya di Teheran pada 28 Februari lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, para ulama kanan Iran mengadakan mesyuarat pada 3 Mac bagi membincangkan pengganti kepada pemimpin tertinggi negara itu.
Beberapa pegawai Iran yang mengetahui perbincangan tersebut berkata Encik Mojtaba muncul sebagai calon paling kuat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Namun pengumuman rasmi mengenai pelantikannya yang pada awalnya dijangka dibuat pada 4 Mac masih ditangguhkan kerana kebimbangan bahawa beliau boleh menjadi sasaran serangan lanjut oleh Amerika dan Israel.
Walaupun Encik Khamenei tidak pernah secara rasmi menamakan pengganti, Encik Mojtaba telah lama disebut sebagai antara calon utama untuk mewarisi kedudukan tersebut.
Bapanya memerintah Iran selama kira-kira 36 tahun sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi negara itu pada 1989.
Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, Encik Mojtaba dilihat mengekalkan pendekatan yang lebih tertutup dan jarang tampil di khalayak ramai.
Selain itu, kedudukannya dalam kalangan agamawan juga pernah menjadi perdebatan kerana beliau belum mencapai pangkat ayatollah, yang lazimnya dianggap sebagai syarat penting bagi memegang jawatan pemimpin tertinggi Iran.
Walaupun begitu, beliau tetap dianggap tokoh berpengaruh dalam sistem politik Iran.
Encik Mojtaba pernah terlibat dalam peperangan Iran-Iraq pada 1980-an dan dipercayai memainkan peranan penting dalam struktur kuasa di sekitar bapanya.
Kebangkitan semula Encik Mojtaba sebagai calon utama dianggap oleh sesetengah penganalisis sebagai petunjuk perubahan imbangan kuasa dalam politik Iran.
Pakar Iran dan Islam Syiah dari Universiti Johns Hopkins, Profesor Vali Nasr, berkata kemungkinan pelantikan Mojtaba boleh mencerminkan pengaruh yang semakin kuat daripada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
“Beliau telah lama disebut sebagai pengganti, tetapi sejak dua tahun lalu namanya seolah-olah hilang daripada perbincangan,” kata Profesor Nasr.
“Jika beliau dipilih sekarang, ia menunjukkan bahawa golongan keras dalam Pengawal Revolusi semakin menguasai struktur kuasa negara.”
Menurut beberapa pegawai Iran yang dipetik media antarabangsa, IRGC menyokong pelantikan Encik Mojtaba kerana beliau dianggap mempunyai pengalaman menguruskan aspek keselamatan dan ketenteraan negara.
Seorang penganalisis politik di Tehran, Encik Mehdi Rahmati, berkata Encik Mojtaba dianggap pilihan paling sesuai dalam keadaan krisis semasa.
“Mojtaba adalah pilihan paling bijak ketika ini kerana beliau sudah lama terlibat dalam penyelarasan struktur keselamatan dan ketenteraan negara,” katanya.
“Beliau memahami bagaimana sistem itu berfungsi dan pernah mengendalikannya,” tambahnya.
Namun kemungkinan pelantikan Encik Mojtaba tidak semestinya diterima semua pihak di Iran.
Golongan reformis dan pengkritik pemerintah dilaporkan memandang langkah itu sebagai kesinambungan kepada sistem politik yang sedia ada.
Encik Rahmati berkata keputusan tersebut berpotensi mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan sebahagian masyarakat.
“Sebahagian rakyat mungkin bertindak balas dengan kuat terhadap keputusan ini,” katanya.
“Kumpulan penyokong pemerintah akan melihat beliau sebagai kesinambungan kepada pemimpin yang dianggap syahid, tetapi pihak penentang pula akan melihatnya sebagai penerusan kepada rejim yang sama,” tambah beliau.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia sebelum ini mendakwa ribuan orang terbunuh dalam tindakan keras pemerintah terhadap demonstrasi besar-besaran yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Selain Encik Mojtaba Khamenei, dua lagi tokoh turut disebut sebagai calon untuk jawatan pemimpin tertinggi Iran.
Mereka ialah Alireza Arafi, seorang agamawan dan ahli Majlis Peralihan Kepimpinan yang ditubuhkan selepas kematian Encik Khamenei, serta Seyed Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Kedua-dua tokoh tersebut sering dilihat sebagai lebih sederhana berbanding Encik Mojtaba, dengan Encik Hassan Khomeini mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan reformis dalam politik Iran.
Pemilihan pemimpin tertinggi Iran ditentukan oleh Majlis Pakar, sebuah badan yang terdiri daripada 88 agamawan Syiah kanan yang dipilih melalui pilihan raya. Badan itu bertanggungjawab melantik, memantau dan menyingkirkan pemimpin tertinggi negara.
Ini merupakan kali kedua majlis tersebut memilih pemimpin tertinggi sejak Republik Islam Iran ditubuhkan hampir lima dekad lalu.
Di Washington, Presiden Donald Trump berkata banyak tokoh yang dianggap berpotensi memimpin Iran telah terbunuh dalam serangan terbaru.
“Tidak lama lagi kita mungkin tidak lagi mengenali sesiapa yang tinggal untuk memimpin mereka,” katanya dalam satu sidang media.
Encik Trump turut memberi amaran bahawa pengganti kepada Encik Khamenei mungkin tidak membawa perubahan besar.
“Saya rasa senario paling buruk ialah seseorang yang sama seperti pemimpin sebelumnya mengambil alih. Itu boleh berlaku, dan kami tidak mahu ia berlaku,” katanya. – Agensi berita.

