Larijani muncul sebagai pengatur kuasa di Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Larijani muncul sebagai pengatur kuasa di Iran

Mar 1, 2026 | 8:57 PM

Larijani muncul sebagai pengatur kuasa di Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ahli politik veteran Iran, Encik Ali Larijani, mengetuai usaha untuk menumpaskan bantahan anti-pemerintah yang melanda negara itu pada Januari.
Ahli politik veteran Iran, Encik Ali Larijani, mengetuai usaha untuk menumpaskan bantahan anti-pemerintah yang melanda negara itu pada Januari. - Foto REUTERS

TEHRAN: Ahli politik veteran Iran, Encik Ali Larijani, muncul sebagai broker kuasa di Iran susulan kematian Pemimpin Agama Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei pada 28 Febuari.

Pada 1 Mac, beliau mengumumkan sebuah majlis kepimpinan sementara akan mentadbir negara itu.

Encik Larijani kini mengendalikan portfolio luas merangkumi rundingan nuklear, hubungan serantau Tehran dan isu keselamatan dalaman.

Tokoh dalaman elit pemerintah daripada keluarga ulama terkemuka, beliau sebelum ini menyelia usaha mencapai perjanjian nuklear dengan Amerika Syarikat meskipun Washington mengenakan sekatan terhadapnya pada Januari atas dakwaan mengarahkan tindakan keras terhadap bantahan anti--pemerintah.

Pada 1 Mac, beliau menuduh Amerika dan Israel cuba melemahkan dan memecah-belahkan Iran selepas gelombang serangan yang bermula pada 28 Februari, yang turut mengorbankan Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Encik Abdolrahim Mousavi.

Beliau memberi amaran kumpulan pemisah akan menerima tindak balas keras jika bertindak.

Dilantik sebagai setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara (SNSC) pada Ogos, Encik Larijani dikenali setia kepada Encik Khamenei dan cekap mengurus persaingan antara puak dalam politik Iran.

Pada Februari, beliau ke Oman bagi mempersiapkan rundingan nuklear tidak langsung dengan Amerika, ketika Washington meningkatkan tekanan ketenteraan di rantau itu.

Beliau juga berulang kali melawat Moscow dan bertemu Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, serta memajukan rundingan dengan China yang membawa kepada perjanjian kerjasama 25 tahun pada 2021.

Nada pragmatik terserlah apabila beliau berkata isu nuklear boleh diselesaikan sekiranya kebimbangan Amerika bahawa Iran akan memperoleh senjata nuklear dapat ditangani.

Namun selepas bantahan Januari, peranannya dalam Majlis Keselamatan itu menjadi sasaran kecaman Washington.

Kenyataan pemerintah Amerika menyebut beliau antara pemimpin terawal menyeru keganasan terhadap tuntutan sah rakyat, atas arahan Khamenei.

Kumpulan hak asasi pula menyatakan ribuan terbunuh dalam tindakan keras itu, pergolakan terburuk sejak Revolusi Islam 1979.

Seperti pegawai Iran lain, Encik Larijani menyatakan kefahaman terhadap bantahan akibat kesukaran hidup, namun mengecam tindakan bersenjata yang didakwanya dicetuskan oleh musuh negara.

Bekas anggota Pengawal Revolusi, Larijani pernah menjadi ketua perunding nuklear dari 2005 hingga 2007 dan kemudian Speaker Parlimen dari 2008 hingga 2020, tempoh yang menyaksikan Iran memeterai perjanjian nuklear 2015 sebelum Amerika menarik diri pada 2018.

Beliau dilahirkan di Najaf pada 1958 dan memiliki ijazah Sarjana (PhD).

Pada Januari, anak perempuannya digugurkan daripada jawatan akademik di Universiti selepas bantahan aktivis Iran-Amerika terhadap peranannya dalam penindasan bantahan. REUTERS

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg