Majlis sementara ambil alih kepimpinan Iran selepas kematian Khamenei
Majlis sementara ambil alih kepimpinan Iran selepas kematian Khamenei
TEHERAN: Iran menubuhkan majlis kepimpinan sementara untuk mengambil alih tugas pemimpin tertinggi negara itu selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel, ketika negara itu berdepan ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat.
Majlis tiga anggota itu diketuai Presiden Masoud Pezeshkian bersama Ketua Kehakiman Mahkamah Agung Gholam-Hossein Mohseni-Ejei dan Majlis Penjaga, Ayatollah Alireza Arafi.
Mereka akan menjalankan fungsi kepimpinan negara sehingga pengganti rasmi dipilih oleh Majlis Pakar, badan ulama seramai 88 anggota yang berkuasa melantik pemimpin tertinggi.
Presiden Pezeshkian mengesahkan majlis tersebut telah mula beroperasi.
“Mereka akan meneruskan dengan sepenuh kekuatan berpandukan laluan yang ditetapkan Imam Khomeini,” katanya dalam ucapan rakaman yang disiarkan televisyen negara pada 1 Mac.
Beliau turut menyifatkan pembunuhan Khamenei sebagai “jenayah besar” dan mengumumkan tempoh berkabung 40 hari serta cuti umum selama tujuh hari.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata Iran berkemungkinan memilih pemimpin tertinggi baharu dalam masa terdekat.
“Majlis peralihan telah ditubuhkan. Kumpulan ini akan memegang tanggungjawab kepimpinan sebelum pemimpin baharu dipilih,” katanya kepada Al Jazeera.
“Saya menjangkakan tempohnya singkat. Mungkin dalam satu atau dua hari pemimpin baharu akan dipilih,” tambahnya.
Ini merupakan kali pertama proses tersebut diaktifkan sejak 1989 apabila Khamenei sendiri dilantik selepas kematian pengasas revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Khamenei, 86 tahun, terbunuh pada 28 Februari dalam gelombang serangan yang turut meragut sekurang-kurangnya 201 nyawa termasuk pegawai keselamatan kanan serta anggota keluarganya.
Encik Araghchi menyifatkan pembunuhan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Ia kejadian luar biasa dan menjadikan konflik lebih berbahaya serta rumit,” katanya.
Menurut beliau, Khamenei bukan sekadar pemimpin politik, bahkan tokoh agama penting bagi jutaan umat Islam di rantau itu.
Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf, turut memberi amaran keras.
“Anda telah melintasi garisan merah kami dan mesti membayar harganya,” kata beliau dalam siaran televisyen.
Ketika serangan balas Iran berterusan ke Israel dan negara Teluk, Encik Araghchi menolak dakwaan serangan Amerika dan Israel berjaya mencapai matlamat.
“Tiada kemenangan dalam perang ini. Mereka tidak mencapai sasaran dan tidak akan mencapainya,” katanya.
Beliau merujuk konflik 12 hari tahun lalu antara Iran dengan Israel.
“Mereka menjangka Iran menyerah dalam dua atau tiga hari, tetapi selepas 12 hari mereka terpaksa meminta gencatan senjata tanpa syarat. Kali ini juga tidak berbeza,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula memberi amaran sebarang serangan balas hanya akan meningkatkan konflik.
Presiden Pezeshkian, pakar bedah jantung berusia 71 tahun yang memegang jawatan sejak 2024, mengetuai negara dalam tempoh tidak stabil termasuk konflik dengan Israel dan bantahan kos sara hidup.
Beliau menyifatkan pembunuhan Khamenei sebagai “pengisytiharan perang terhadap umat Islam”.
“Tindak balas Iran adalah hak sah dan tanggungjawab,” katanya.
Ketua Kehakiman Encik Ejei pula menegaskan Iran tidak akan melupakan kejadian itu.
“Rakyat Iran tidak akan memaafkan darah pemimpin mereka,” katanya.
Sementara itu Encik A’rafi, anggota Majlis Penjaga dan Majlis Pakar, berkata negara akan meneruskan perjuangan revolusi.
“Bangsa ini akan meneruskan jalan revolusi dan membalas darah rakyat serta pelajar,” katanya.
Ketua Keselamatan Negara, Encik Ali Larijani, turut memberi amaran keras kepada Israel dan Amerika.
“Kami akan memberi pukulan yang tidak pernah mereka alami sebelum ini,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat ketika serangan Iran dilaporkan meluas ke bandar Teluk termasuk Dubai, Doha dan Manama.
Perkembangan itu menandakan konflik bukan sahaja memasuki fasa baharu dalam politik Iran bahkan juga berpotensi mengubah keseimbangan keselamatan seluruh Asia Barat ketika negara itu bersiap memilih pemimpin tertinggi baharu dalam keadaan perang terbuka. – Agensi berita.

