RAMALLAH: Anak Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, berikrar untuk memberi tumpuan kepada Gaza dan mengembalikan wilayah itu “ke pangkuan legitimasi Palestin” selepas dipilih menyertai badan pembuat keputusan tertinggi pergerakan Fatah.

Kenyataan itu dibuat oleh Encik Yasser Abbas sehari selepas beliau dipilih menganggotai Jawatankuasa Pusat Fatah, dalam kongres pertama pergerakan tersebut dalam tempoh sedekad.

Kongres itu berlangsung ketika Fatah berdepan cabaran besar susulan perang dahsyat di Gaza yang menjejaskan kedudukan politik dan pengaruh gerakan tersebut dalam kalangan rakyat Palestin.

Encik Mahmoud Abbas, 90 tahun, dipilih semula sebagai ketua Fatah, manakala anaknya, Encik Yasser Abbas, 64 tahun, berjaya memperoleh tempat dalam jawatankuasa pusat parti berkenaan.

Dalam kenyataan pertamanya selepas pemilihan, Encik Yasser berkata beliau akan menumpukan usaha terhadap Gaza, tahanan Palestin, keluarga syuhada dan kem pelarian.

“Keutamaan kami ialah Gaza, para tahanan, keluarga syuhada dan kem pelarian,” katanya kepada wartawan di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki Israel.

“Kami akan berusaha mengembalikan Gaza ke pangkuan legitimasi Palestin,” tambah beliau.

Fatah sebelum ini merupakan kuasa politik paling dominan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO),  yang diiktiraf sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

PLO menghimpunkan kebanyakan kumpulan politik Palestin, tetapi tidak melibatkan pergerakan Islam seperti Hamas dan Pergerakan Jihad Islam Palestin.

Encik Yasser berkata perpaduan nasional Palestin hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak menerima syarat untuk menyertai PLO.

“Mencapai perpaduan nasional sepenuhnya memerlukan persetujuan terhadap semua syarat untuk menyertai PLO, termasuk satu undang-undang, satu negara, satu senjata yang sah dan pengiktirafan bahawa organisasi itu adalah satu-satunya wakil sah rakyat Palestin,” katanya.

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, populariti dan pengaruh Fatah semakin merosot akibat perpecahan dalaman, serta kekecewaan rakyat terhadap kegagalan proses damai Palestin-Israel.

Keadaan itu membuka ruang kepada peningkatan sokongan terhadap Hamas, yang memenangi pilihan raya legislatif Palestin pada 2006 sebelum menguasai Gaza, selepas pertempuran dengan Fatah.

Di bawah pelan damai Gaza yang disokong Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, Hamas dijangka tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran masa depan Gaza.

Pelan itu juga menuntut reformasi besar terhadap Penguasa Palestin (PA), yang diterajui Fatah, sebagai syarat untuk memainkan peranan penting dalam Gaza pascaperang.

Pada 18 Mei, kongres Fatah mengumumkan keputusan awal rasmi bagi pemilihan Jawatankuasa Pusat dan Majlis Revolusi parti, yang dianggap sebagai parlimen dalaman Fatah.

Dalam kenyataan penutup kongres, Fatah menegaskan bahawa Gaza kekal sebahagian daripada negara Palestin.

Tiada negara tanpa Gaza dan tiada negara di Gaza sahaja,” menurut kenyataan itu.

Fatah turut menegaskan bahawa sebarang pentadbiran antarabangsa di Gaza mesti memastikan gencatan senjata dikekalkan, pendudukan Israel ditamatkan, bantuan kemanusiaan disalurkan dan usaha pemulihan serta pembinaan semula dimulakan.

“Semua usaha itu mesti dikaitkan secara jelas dengan kerajaan Palestin yang perlu diberi kuasa untuk melaksanakan semua tanggungjawabnya di Gaza,” menurut kenyataan tersebut.

Kongres itu juga mengumumkan langkah ke arah mengadakan pilihan raya bagi Majlis Kebangsaan Palestin, iaitu parlimen PLO, pada 1 November depan sebelum diikuti pilihan raya umum Palestin.

Pengumuman itu dibuat ketika Encik Mahmoud Abbas dan Penguasa Palestin terus berdepan tekanan antarabangsa supaya melaksanakan reformasi politik dan mengadakan pilihan raya baharu.

Pentadbiran Encik Abbas turut berdepan tuduhan rasuah, kelemahan tadbir urus dan kegagalan memperbaharui sistem politik Palestin yang dianggap semakin tidak relevan oleh sebahagian rakyat.

Penganalisis melihat pemilihan Encik Yasser ke jawatankuasa pusat Fatah akan mencetuskan perdebatan mengenai masa depan kepimpinan Palestin dan kemungkinan wujudnya perancangan pewarisan kuasa dalam gerakan tersebut.

Namun penyokong Fatah menegaskan pemilihan itu dibuat melalui proses dalaman parti dan mencerminkan usaha memperkukuh kepimpinan ketika Palestin berdepan tekanan besar akibat perang di Gaza serta kebuntuan politik yang berpanjangan dengan Israel. – Agensi berita