Presiden Penguasa Palestin umum pilihan raya pertama Parlimen PLO

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Penguasa Palestin umum pilihan raya pertama Parlimen PLO

Pilihan raya Majlis Kebangsaan Palestin ditetapkan pada 1 Nov
Feb 3, 2026 | 10:42 AM

Presiden Penguasa Palestin umum pilihan raya pertama Parlimen PLO

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pilihan raya pertama Parlimen PLO
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, turut menetapkan 14 Mei sebagai tarikh bagi Persidangan Agung Kelapan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah), yang akan diadakan di Ramallah, Tebing Barat. - Foto AFP

RAMALLAH: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, mengumumkan bahawa pilihan raya bagi Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), parlimen kepada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), akan diadakan pada 1 November, menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (Wafa) pada 2 Februari.

Pengumuman itu menandakan satu detik penting dalam politik Palestin kerana buat pertama kalinya ahli PNC akan dipilih melalui undi langsung rakyat, berbanding kaedah pelantikan dalaman yang diamalkan sebelum ini.

Dalam dekri yang ditandatanganinya, Encik Abbas menegaskan pilihan raya itu akan diadakan “di mana sahaja yang memungkinkan, sama ada di dalam atau di luar Palestin,” bagi memastikan penyertaan seluas mungkin rakyat Palestin termasuk komuniti diaspora.

“Pilihan raya ini bertujuan memastikan suara rakyat Palestin didengari, tanpa mengira di mana pun mereka menetap,” katanya seperti dipetik Wafa.

Pilihan raya itu akan dijalankan mengikut prinsip perwakilan berkadar penuh, bagi menjamin perwakilan yang adil untuk semua lapisan rakyat Palestin, termasuk wanita, belia, dan komuniti Palestin di luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat akan memantau sepenuhnya proses pilihan raya berkenaan.

Encik Abbas turut menetapkan 14 Mei sebagai tarikh bagi Persidangan Agung Kelapan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) yang akan diadakan di Ramallah. Kabinet sebelum ini telah menetapkan tarikh pilihan raya tempatan di Palestin pada 25 April.

PNC berperanan sebagai Parlimen kepada PLO dan mewakili pelbagai kumpulan politik, kesatuan serta pertubuhan masyarakat Palestin di dalam wilayah Palestin dan di luar negara.

Walaupun sering digelar Parlimen PLO, peranan utamanya adalah memilih Jawatankuasa Eksekutif PLO, badan paling berkuasa dalam struktur organisasi itu.

PNC sudah lama berfungsi sebagai Parlimen PLO dalam buangan. Ia didominasi oleh Fatah, gerakan politik pimpinan Encik Abbas yang diasaskan bersama Allahyarham Yasser Arafat, pemimpin bersejarah Palestin yang meninggal dunia pada 2004.

Namun, PNC jarang bersidang dan kali terakhir mengadakan sesi penuh ialah pada 2018.

Pergerakan Islam Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang bukan ahli PLO, tidak diwakili dalam majlis itu.

Pengumuman pilihan raya ini dibuat ketika Encik Abbas turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk merangka perlembagaan sementara dan undang-undang parti politik sebagai persediaan menghadapi proses pengundian.

Sebelum ini, pada Oktober 2025, beliau berjanji untuk mengadakan pilihan raya presiden dan Parlimen dalam tempoh setahun selepas konflik di Gaza berakhir, namun tarikh khusus sering tertangguh.

Dalam perkembangan berkait, Encik Abbas pada lewat Januari lalu menandatangani dekri yang meminda undang-undang pilihan raya tempatan.

Pindaan itu mewajibkan semua calon menandatangani ikrar bertulis untuk mengiktiraf PLO sebagai “satu-satunya wakil sah rakyat Palestin” serta mematuhi program politik dan nasional organisasi tersebut.

Program itu merangkumi pengiktirafan Israel, sokongan kepada penyelesaian dua negara melalui rundingan, serta penolakan perjuangan bersenjata.

Syarat baru itu dijangka berkuat kuasa bagi pilihan raya tempatan yang dijadualkan pada April, dan dilihat secara meluas sebagai langkah yang mengecualikan Hamas serta beberapa kumpulan lain daripada menyertai proses politik.

Hamas secara konsisten menolak Perjanjian Oslo dan enggan mengiktiraf Israel, dengan menyifatkannya sebagai usaha membenarkan pendudukan yang berterusan.

Penganalisis politik Palestin menyifatkan dekri tersebut sebagai usaha strategik untuk mengawal persaingan politik. “Ini adalah satu langkah yang jelas untuk mengehadkan penyertaan kumpulan yang mencabar kuasa Penguasa Palestin,” kata seorang penganalisis yang dipetik media tempatan. Keperluan ideologi seperti itu, katanya, tidak dikenakan semasa pilihan raya perundangan 2006 yang menyaksikan kemenangan Hamas, mahupun pilihan raya tempatan di Tebing Barat pada 2022.

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin turut menyuarakan kebimbangan. Dalam satu kenyataan bersama yang dipetik portal Al-Modon, kumpulan-kumpulan itu menyatakan bahawa mengenakan syarat ideologi ke atas calon adalah pelanggaran serius terhadap hak politik. Mereka menegaskan tindakan itu bercanggah dengan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, yang telah ditandatangani oleh Negara Palestin, selain bertentangan dengan Perlembagaan Asas Palestin yang menjamin pluralisme politik.

Di bawah Perlembagaan Asas, Encik Abbas mempunyai kuasa untuk mengeluarkan dekri yang mempunyai kekuatan undang-undang kerana Majlis Perundangan Palestin tidak lagi berfungsi sejak dibubarkan pada 2018, susulan kebuntuan politik berpanjangan selepas Hamas mengambil alih Gaza pada 2007. Sejak itu, tiada parlimen berfungsi sepenuhnya untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

PNC pula sejak sekian lama didominasi oleh Fatah, gerakan politik yang diterajui Encik Abbas dan diasaskan bersama oleh pemimpin bersejarah Palestin, Yasser Arafat.

Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang bukan anggota PLO, tidak diwakili dalam majlis tersebut.
Walaupun Encik Abbas berulang kali mengumumkan rancangan pilihan raya, banyak daripadanya tidak pernah dilaksanakan. Pilihan raya presiden terakhir Palestin berlangsung pada 2005, dengan Encik Abbas menang lebih 67 peratus undi. Namun, tinjauan pendapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan penentangan meluas rakyat Palestin terhadap kesinambungan pemerintahannya.

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin memaklumkan pendaftaran pengundi telah ditutup dengan lebih 1.5 juta pengundi layak di Tebing Barat.

Jurucakap suruhanjaya, Encik Fareed Taamallah, berkata angka itu mencerminkan minat awam yang meningkat.

“Persediaan awal bagi pencalonan sudah bermula di beberapa bandar dan kampung,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg