WASHINGTON: Dr Abdul El-Sayed, ahli politik Demokrat berketurunan Mesir, mencipta sejarah sebagai individu Islam pertama dipilih menganggotai Dewan Senat Amerika Syarikat selepas menewaskan calon Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pilihan raya pertengahan penggal di Michigan pada 3 November.

Kemenangan Dr El-Sayed, 42 tahun, bukan sahaja menjadi pencapaian penting bagi masyarakat Islam Amerika, malah mencerminkan peningkatan pengaruh golongan progresif dalam Parti Demokrat.

Bekas pegawai kesihatan awam itu bakal menggantikan Senator Demokrat, Encik Gary Peters, yang bersara, sekali gus mengekalkan kerusi Michigan dalam penguasaan parti tersebut.

Kejayaannya lebih bermakna kerana beliau berdepan kempen sengit yang dicemari serangan terhadap agama Islam, perpecahan dalam Demokrat serta kontroversi mengenai sokongan ketenteraan AS kepada Israel.

Sepanjang kempen, Dr El-Sayed memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan, perumahan dan peluang ekonomi bagi keluarga berpendapatan sederhana serta rendah.

Namun, pendiriannya yang lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza turut menjadikan beliau sasaran serangan politik, termasuk daripada Presiden Donald Trump.

Anak pendatang Mesir, lulusan Oxford

Dr El-Sayed dilahirkan di Rochester Hills, Michigan, kepada ibu bapa pendatang dari Mesir.

Beliau membesar di negeri itu sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan kesihatan awam, yang kemudian menjadi asas kepada kerjaya profesional serta perjuangan politiknya.

Beliau menamatkan pengajian di Universiti Michigan pada 2007 sebelum menerima biasiswa berprestij Rhodes untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, Britain.

Di Oxford, beliau memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang kesihatan awam pada 2011.

Beliau kemudian memperoleh ijazah perubatan daripada Universiti Columbia di New York pada 2014.

Latar belakang akademik itu membuka laluan kepada kerjayanya dalam pentadbiran kesihatan awam.

Pada 2015, beliau dilantik sebagai Pengarah Kesihatan Detroit, bandar terbesar di Michigan, ketika bandar tersebut sedang berusaha memulihkan perkhidmatan awam selepas mengalami krisis kewangan yang serius.

Dalam jawatan itu, Dr El-Sayed bertanggungjawab membantu membangunkan semula perkhidmatan kesihatan awam serta memperkukuh usaha melindungi kesihatan penduduk.

Beliau memegang jawatan tersebut sehingga 2017 sebelum mengambil keputusan memasuki arena politik.

Daripada kesihatan awam ke politik

Dr El-Sayed pertama kali mencuba nasib dalam pilihan raya pada 2018 apabila bertanding untuk menjadi Gabenor Michigan.

Bagaimanapun, beliau tewas kepada Cik Gretchen Whitmer dalam pemilihan calon Demokrat.

Kekalahan itu tidak menamatkan cita-cita politiknya.

Beliau kembali berkhidmat dalam sektor awam apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan, Perkhidmatan Manusia dan Veteran Wayne County dari 2023 hingga 2025.

Wayne County merangkumi Detroit dan beberapa kawasan lain yang mempunyai kepelbagaian masyarakat serta cabaran ekonomi dan kesihatan.

Pengalaman tersebut mengukuhkan tumpuan beliau terhadap usaha memperluas akses penjagaan kesihatan dan membantu masyarakat berpendapatan rendah.

Dr El-Sayed kembali bertanding pada 2026 dan berjaya menewaskan anggota Dewan Perwakilan, Cik Haley Stevens, dalam pemilihan calon Demokrat bagi kerusi Senat Michigan pada Ogos.

Kempen beliau mendapat sokongan beberapa tokoh progresif terkemuka, termasuk Senator Bernie Sanders, Cik Alexandria Ocasio-Cortez dan anggota Dewan Perwakilan Michigan, Cik Rashida Tlaib.

Antara dasar utama yang diperjuangkannya termasuk memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat, Medicare for All, mengurangkan kos perumahan dan mengehadkan pengaruh penderma kaya dalam politik.

Beliau turut berjanji memperkukuh peluang ekonomi bagi keluarga pekerja yang berdepan tekanan akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Pendirian mengenai Gaza cetus kontroversi

Dalam dasar luar, Dr El-Sayed lantang mengkritik sokongan ketenteraan Washington kepada Israel.

Beliau menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai dan menggesa Amerika menghentikan bantuan ketenteraan tanpa syarat kepada negara itu.

Pendirian tersebut mencetuskan perpecahan dalam Demokrat, khususnya antara golongan progresif dengan penyokong kuat Israel.

Kontroversi semakin memuncak apabila Cik Stevens, yang tewas kepadanya dalam pemilihan calon Demokrat, mengambil keputusan menyokong Encik Rogers hanya dua hari sebelum pilihan raya.

Cik Stevens memberikan alasan bahawa beliau bimbang dengan kenyataan kempen dan hubungan politik Dr El-Sayed.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan Demokrat, namun gagal menghalang kemenangan beliau.

Agama Islam jadi sasaran serangan

Identiti Dr El-Sayed sebagai seorang Muslim turut menjadi isu utama sepanjang kempen.

Encik Trump dan beberapa tokoh Republikan berulang kali menyerang beliau berhubung agama serta pendirian politiknya.

Namun, Dr El-Sayed menolak serangan tersebut dengan menegaskan bahawa pengundi lebih mengambil berat mengenai harga makanan, minyak dan kos penjagaan kesihatan berbanding agama seseorang calon.

Kemenangan Dr El-Sayed mencatat sejarah baharu dalam politik Amerika, walaupun masyarakat Islam sebelum ini sudah mempunyai wakil dalam Dewan Perwakilan.

Pada 2006, Encik Keith Ellison menjadi individu Islam pertama dipilih menganggotai Kongres AS.

Pada 2018 pula, Cik Rashida Tlaib dan Cik Ilhan Omar mencipta sejarah sebagai dua wanita Islam pertama dipilih ke Kongres.

Kini, kemenangan Dr El-Sayed membuka lembaran baharu bagi perwakilan politik masyarakat Islam Amerika di peringkat tertinggi badan perundangan negara itu.

Kejayaannya turut menunjukkan bahawa seorang calon daripada kumpulan minoriti agama mampu meraih sokongan luas dengan mengetengahkan isu ekonomi, kesihatan dan kebajikan rakyat, meskipun berdepan serangan terhadap identiti serta kepercayaannya. – Agensi berita