Anak taikun minyak antara 9 dipenjara dalam skandal rasuah AS$17 bilion Pertamina
Anak taikun minyak antara 9 dipenjara dalam skandal rasuah AS$17 bilion Pertamina
JAKARTA: Mahkamah Jakarta Pusat menjatuhkan hukuman penjara terhadap sembilan individu termasuk dua bekas ketua pegawai eksekutif anak syarikat Pertamina dalam satu kes rasuah besar yang didakwa menyebabkan kerugian negara mencecah AS$17 bilion (S$21.49 bilion).
Perbicaraan yang bermula petang Khamis, 26 Februari berlarutan hingga awal pagi Jumaat, 27 Februari itu merupakan antara kes rasuah terbesar di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto yang berjanji membanteras penyelewengan.
Panel hakim menjatuhkan hukuman antara sembilan hingga 15 tahun penjara, lebih rendah daripada tuntutan pendakwa raya yang memohon hukuman antara 14 hingga 18 tahun.
Tertuduh berprofil tertinggi, anak kepada taikun minyak Muhammad Kerry Adrianto Riza, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah memanipulasi kontrak pajakan terminal bahan api dan bersekongkol dengan pegawai Pertamina. “Muhammad Kerry Adrianto Riza telah terbukti secara sah dan meyakinkan melakukan rasuah secara bersama,” kata Hakim Fajar Kusuma Aji.
Mahkamah turut memerintahkan beliau membayar denda 1 bilion rupiah serta ganti rugi kira-kira 2.9 trilion rupiah. Sekiranya gagal, asetnya boleh dirampas. Kerry merupakan pemilik sebenar di sebalik Orbital Terminal Merak, yang menurut pendakwa raya dipajak secara tidak perlu oleh Pertamina sehingga menyebabkan kerugian kepada negara.
Kerry ialah anak kepada taiukun pedagang minyak terkenal Mohammad Riza Chalid yang digelar “godfather petrol”. Riza turut dinamakan suspek dalam siasatan sama tetapi melarikan diri dari Indonesia. Rekod imigresen menunjukkan beliau meninggalkan negara itu ke Malaysia dan Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.
Pendakwa raya berkata skandal Pertamina melibatkan import minyak mentah berkualiti rendah pada harga lebih tinggi selain beberapa amalan rasuah lain.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina Patra Niaga, Riva Siahaan, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pertamina International Shipping, Yoki Firnandi, masing-masing dipenjara sembilan tahun. Kesemua tertuduh sebelum ini menafikan pertuduhan.
Peguam Kerry, Patra Zen, berkata anak guamnya akan merayu. “Kami menolak keputusan ini dan akan memfailkan rayuan,” katanya. Yoki pula menyifatkan keputusan itu tidak adil. “Saya kecewa dengan keputusan ini,” katanya di luar mahkamah. Peguam Riva, Luhut Pangaribuan, turut menyatakan rasa sedih dan kecewa.
Kes ini berpusat pada pajakan terminal bahan api secara tidak sah dan import minyak mentah yang merugikan negara. Ia menjadi ujian besar terhadap komitmen pemerintah Prabowo membanteras rasuah, isu yang lama membelenggu Indonesia. - Agensi berita

