Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Anak Thaksin bawa jenama Shinawatra kepada generasi baru rakyat Thai

Jun 20, 2022 | 05:30 AM



BANGKOK: Dengan setengah juta pengikut di Instagram, Cik Paetongtarn Shinawatra, menjalani gaya hidup glamor dan menyifatkan dirinya sebagai 'puteri bongsu' mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra.



Kini, anak salah seorang tokoh paling berpengaruh dan kontroversial dalam sejarah moden negara itu melancarkan dirinya ke dalam kancah politik menjelang pilihan raya Thailand, yang dijangka diadakan pada Mac tahun depan.



Langkah itu disifatkan sebagai usaha Cik Paetongtarn membawa pengaruh keluarganya - daripada bapanya, Encik Thaksin; dan mak ciknya, Cik Yingluck, yang juga mantan perdana menteri - kepada generasi baru rakyat Thailand dan menggambarkan kesediaan mereka menyambung perebutan kuasa selama 20 tahun dengan golongan elit tentera diraja.



Buat masa ini, Cik Paetongtarn belum menonjolkan diri dalam parti pembangkang utama Pheu Thai, tetapi parti itu dijangka menamakan beliau sebagai calon perdana menteri apabila pilihan raya diumumkan.



Encik Thaksin, yang kini berusia 72 tahun, dan digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, kini tinggal dalam buangan di Dubai.



Namun, beliau kerap bersuara dalam siaran media sosial anaknya.



Cik Paetongtarn pula berkata beliau memperoleh kekuatan daripada "sokongan kuat" bapanya.



Hubungan rapat bapa-anak itu menarik perhatian penyokong mereka, sebilangan besarnya penduduk miskin luar bandar, yang menyokong Encik Thaksin bagi membolehkan beliau memenangi pilihan raya pada 2001 dan 2005.



"Kami perlukan anda. Kami merindui ayah anda," kata seorang penyokong kepada Cik Paetongtarn ketika beliau berkempen dalam pilihan raya daerah di Bangkok bulan lalu.



Tetapi sokongan serupa itu dijangka menarik perhatian kerabat diraja golongan elit tentera yang tidak suka kepada Encik Thaksin dan sentiasa mengesyaki beliau memanipulasi pembangkang untuk menentang penguasaan politik mereka.



Parti-parti yang mempunyai kaitkan dengan hartawan itu berjaya memenangi paling banyak kerusi dalam setiap pilihan raya sejak 2001, tetapi kemudian digulingkan dalam rampasan kuasa atau keputusan mahkamah yang didahului protes jalanan.



Encik Thaksin, yang pernah menjadi pemilik kelab juara Liga Perdana England Manchester City dengan kekayaan yang dianggarkan majalah Forbes hampir AS$1.9 bilion ($2.65 bilion), bagaimanapun berkata beliau bersemangat dari segi politik.



CITA-CITA POLITIK



Walaupun beliau kini hanya memainkan peranan kecil sebagai ketua jawatankuasa penasihat penyertaan dan inovasi Pheu Thai, Cik Paetongtarn tidak menyembunyikan cita-cita politiknya.



"Saya yakin kami boleh mengubah Thailand daripada negara yang dibebani hutang dan tempat penuh sengsara tanpa masa depan kepada sebuah negara yang penuh dengan peluang dan harapan," katanya kepada penyokong parti itu dalam satu persidangan bulan lalu.



Encik Prayut, kini mantan jeneral, yang menjadi perdana menteri dalam pilihan raya kontroversial pada 2019, dilihat sebagai pentadbir ekonomi yang lemah dan semakin tidak popular, terutama dalam kalangan golongan muda, yang ke luar ke jalan raya pada 2020 untuk menuntut perubahan demokrasi.



Pengaruhnya kian berkurang apabila calon gabenor Bangkok yang disokongnya kalah teruk dalam pilihan raya bulan lalu, di tangan mantan menteri Pheu Thai.



CABARAN UTAMA



Dengan Encik Prayut tidak lagi popular, dan kurangnya pilihan calon berkarisma dalam Parti Palang Pracharat, yang dikaitkan dengan tentera, Pheu Thai yakin mereka boleh memenangi pilihan raya.



Dr Paul Chambers, daripada Pusat Kajian Komuniti Asean di Universiti Naresuan, Thailand, berkata Pheu Thai kini menantikan "ribut besar" untuk kembali berkuasa.



Tetapi di sebalik pengaruh jenama Shinawatra, Pheu Thai dan Cik Paetongtarn menghadapi cabaran besar untuk memenangi semula kuasa.



Untuk menjadi perdana menteri, seseorang calon perlu memenangi majoriti dalam dewan rakyat yang terdiri daripada 500 kerusi dan senat dengan 250 kerusi.



Di bawah perlembagaan yang digubal oleh junta pada 2017, senat itu penuh penyokong setia tentera.



Senario serupa berlaku dalam pilihan raya 2019 - Pheu Thai memenangi paling banyak kerusi dalam dewan rakyat, tetapi senat yang dikuasai tentera membenarkan Encik Prayut membentuk kerajaan campuran.



"Apa pun yang berlaku selepas pilihan raya akan datang, parti-parti protentera akan melakukan apa sahaja untuk memegang kuasa dan cuba menghalang Pheu Thai membentuk kerajaan campuran," kata Dr Chambers. - AFP




BANGGA DENGAN PENCAPAIAN BAPA



"Bagaimana saya tidak boleh berbangga dengan bapa saya selepas semua yang beliau lakukan untuk negara kita?



Terima kasih kepadanya, saya bukan sahaja tidak takut dengan kritikan, malah saya melihatnya sebagai peluang untuk menambah baik (diri saya)."



- Cik Paetongtarn Shinawatra, yang menekankan Thailand menikmati kemajuan di bawah pemerintah kerajaan pimpinan bapanya, mantan perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >