Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

 Anak Thaksin dipilih PM baru Thai

Paetongtarn Shinawatra terima dua pertiga undi Dewan Rakyat; pemimpin termuda dalam sejarah kerajaan Thailand
Aug 16, 2024 | 4:16 PM
Cik Paetongtarn ialah anggota ketiga dalam keluarga Shinawatra yang berpengaruh, memegang jawatan teratas, di Thailand selepas bapanya Encik Thaksin dan ibu saudaranya Cik Yingluck.
Cik Paetongtarn ialah anggota ketiga dalam keluarga Shinawatra yang berpengaruh, memegang jawatan teratas, di Thailand selepas bapanya Encik Thaksin dan ibu saudaranya Cik Yingluck. - Foto REUTERS

BANGKOK: Dewan Rakyat Thailand pada 16 Ogos memilih pemimpin Parti Pheu Thai, Cik Paetongtarn Shinawatra sebagai perdana menteri baru negara itu.

Beliau mendapat 319 undi, mewakili hampir dua pertiga daripada keseluruhan anggota Dewan.

Cik Paetongtarn, 37 tahun, menyandang jawatan itu dua hari selepas seorang lagi calon Pheu Thai, Encik Srettha Thavisin, dipecat daripada jawatan perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan, kerana pelantikan menteri Kabinet yang salah.

Encik Srettha didapati bersalah kerana melantik Encik Pichit Chuenban, bekas peguam dikaitkan dengan keluarga Thaksin yang mempunyai sabitan jenayah, sebagai menteri Kabinet.

Pemecatan Encik Srettha, selepas hampir setahun memegang jawatan, juga bermakna seluruh Kabinetnya perlu mengosongkan jawatan mereka, selepas barisan baru dipilih oleh Cik Paetongtarn.

Gabungan kerajaan 11 parti, yang diketuai oleh Pheu Thai bersetuju untuk menyokong bidaan Cik Paetongtarn untuk jawatan perdana menteri, pada malam sebelum pengundian parlimen, berikutan rundingan segera.

Cik Paetongtarn akan menjadi perdana menteri termuda Thailand, dan merupakan yang ketiga dalam keluarga Shinawatra yang berpengaruh, untuk memegang jawatan tertinggi, selepas bapanya, Encik Thaksin dan ibu saudaranya, Cik Yingluck.

Encik Thaksin, seorang taikun perniagaan, mengekalkan sokongan padu dalam Pheu Thai.

Kedua-dua Encik Thaksin dan Cik Yingluck menghabiskan masa bertahun-tahun dalam buangan, selepas kerajaan yang mereka pimpin digulingkan oleh rampasan kuasa tentera, dan Cik Yingluck kekal di luar negara.

Pelantikan Cik Paetongtarn dibuat di tengah-tengah ketidaktentuan politik di Thailand, yang sejak dua dekad lalu menyaksikan beberapa rampasan kuasa tentera, dan keputusan mahkamah yang telah menggulingkan kerajaan dan membubarkan parti politik.

Pada Pilihan Raya Umum Mei 2023, Parti Move Forward (MFP) yang progresif, meraih bahagian terbesar undi, tetapi dihalang daripada membentuk kerajaan oleh Dewan Negara dan ahli parlimen diraja.

Namun, kumpulan Senator yang pro-tentera dan setia kepada Raja menghalang percubaan MFP untuk membentuk kerajaan walaupun ia adalah parti tunggal dengan kerusi Parlimen paling banyak.

Parti itu kemudian dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 7 Ogos, atas ikrar kempennya untuk meminda undang-undang ‘lese majeste’ yang kontroversi.

Mahkamah juga mengundi membubarkan MFP dan melarang ahli lembaga eksekutifnya daripada politik selama 10 tahun, namun parti itu dengan pantas melancarkan semula dirinya sebagai Parti Rakyat.

Seramai 143 Ahli Parlimennya membentuk parti baru itu.

Pheu Thai, yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya 2023, kemudian membentuk pakatan dengan parti-parti yang berkaitan dengan tentera dan pesaingnya yang terdahulu, dengan Encik Srettha mengetuainya.

Pemerhati politik berbelah bahagi sama ada pemecatan Encik Srettha menandakan perdamaian yang rapuh antara mereka kini terancam. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg