Analisis dedah sekurang-kurangnya 17 pangkalan dan kemudahan AS rosak akibat serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Analisis dedah sekurang-kurangnya 17 pangkalan dan kemudahan AS rosak akibat serangan Iran

Mar 11, 2026 | 5:44 PM

Analisis dedah sekurang-kurangnya 17 pangkalan dan kemudahan AS rosak akibat serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iran, United States, Israel, Middle East, conflict, army base, Bahrain, THAAD, missile
Asap kelihatan naik dari arah pangkalan tentera laut Amerika Syarikat selepas agensi berita negara melaporkan serangan peluru berpandu ke atas pusat perkhidmatan Armada Kelima Tentera Laut Amerika, susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, di Manama, Bahrain pada 28 Februari, dalam rakaman skrin yang diperoleh daripada video media sosial. - Foto REUTERS

TEHERAN: Iran melancarkan gelombang serangan dron dan peluru berpandu terhadap pelbagai sasaran Amerika Syarikat di Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara itu.

Serangan balas tersebut menyasarkan pangkalan tentera, sistem pertahanan udara serta beberapa kemudahan diplomatik Amerika di rantau berkenaan.

Analisis media Amerika berdasarkan imej satelit resolusi tinggi, rakaman video media sosial yang disahkan serta kenyataan pegawai Amerika dan media negara Iran menunjukkan sekurang-kurangnya 17 lokasi berkaitan Amerika mengalami kerosakan sejak konflik bermula pada 28 Februari.

Menurut pegawai tentera Amerika, intensiti serangan balas Iran menunjukkan bahawa Teheran sebenarnya lebih bersedia menghadapi perang daripada yang dijangkakan oleh sebahagian pegawai dalam pentadbiran Amerika.

Sejak perang bermula, Iran dilaporkan melancarkan ribuan dron dan peluru berpandu terhadap pangkalan tentera Amerika serta kemudahan ketenteraan negara sekutunya di rantau Asia Barat.

Walaupun kebanyakan serangan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Amerika dan sekutunya, sekurang-kurangnya 11 pangkalan tentera Amerika dilaporkan mengalami kerosakan.

Antara pangkalan yang menjadi sasaran pada hari pertama konflik ialah Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi, Pangkalan Udara Ali Al Salem dan Kem Buehring di Kuwait serta Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, yang merupakan pangkalan tentera terbesar Amerika di Asia Barat.

Imej satelit menunjukkan beberapa bangunan serta kemudahan komunikasi di lokasi-lokasi tersebut mengalami kerosakan yang ketara.

Satu rakaman video pada 1 Mac menunjukkan sebuah dron Iran meletup berhampiran kemudahan sukan di Kem Buehring di Kuwait, walaupun tiada korban jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Korban tentera Amerika

Namun tidak semua serangan dapat dielakkan.

Pada 1 Mac, sebuah dron Iran dilaporkan menyerang bangunan yang menempatkan anggota tentera Amerika di Pelabuhan Shuaiba di Kuwait. Serangan itu mengorbankan enam anggota tentera Amerika Syarikat, menurut laporan Pentagon.

Imej satelit selepas serangan menunjukkan bumbung bangunan tersebut sebahagiannya runtuh akibat letupan.

Pada hari yang sama, seorang lagi anggota tentera Amerika terbunuh dalam serangan berasingan ke atas pangkalan Amerika di Arab Saudi, menjadikan jumlah korban tentera Amerika setakat ini tujuh orang.

Kos kerosakan yang ditanggung juga dijangka sangat besar.

Penilaian awal Pentagon yang diserahkan kepada Kongres Amerika menganggarkan serangan ke atas ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain sahaja menelan kerugian sekitar AS$200 juta ($254 juta).

Serangan berulang ke atas pangkalan utama

Walaupun kadar serangan Iran berkurangan selepas beberapa hari pertama perang, beberapa pangkalan utama Amerika terus menjadi sasaran berulang kali.

Antara lokasi yang diserang lebih daripada sekali termasuk Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, Pangkalan Udara Al Dhafra di Amiriah Arab Bersatu, Kem Buehring serta ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain.

Beberapa peluru berpandu Iran juga dilaporkan terbang jauh merentasi rantau tersebut.

Pada 4 Mac, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) memintas sebuah peluru berpandu balistik Iran yang menuju ke arah Pangkalan Udara Incirlik di Turkiye, menurut seorang pegawai kanan tentera Amerika.

Pangkalan tersebut menempatkan kontinjen besar Tentera Udara Amerika.

Kementerian Pertahanan Turkey juga memaklumkan bahawa sebuah lagi peluru berpandu Iran memasuki ruang udara negara itu sebelum berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan Nato.
Iran bagaimanapun menafikan melancarkan peluru berpandu tersebut.

Sistem pertahanan udara turut menjadi sasaran

Selain pangkalan tentera, Iran turut menyasarkan sistem radar dan komunikasi yang menjadi tulang belakang rangkaian pertahanan udara Amerika di Asia Barat.

Antara sistem yang dipercayai menjadi sasaran ialah ‘Terminal High Altitude Area Defense’ (THAAD), iaitu sistem pertahanan peluru berpandu yang menggunakan radar untuk mengesan dan memintas ancaman udara.

Di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Jordan, imej satelit menunjukkan kerosakan besar pada peralatan radar yang terletak di bahagian selatan pangkalan tersebut.

Menurut dokumen kontrak ketenteraan Amerika, satu unit radar jenis tersebut boleh menelan kos sehingga AS$500 juta.

Rakaman video pada 28 Februari juga menunjukkan sebuah dron Iran menyerang ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Manama, Bahrain, yang dipercayai merosakkan kubah perlindungan radar komunikasi.

Rangkaian radar serantau terjejas

Beberapa negara Teluk sebelum ini membeli sistem pertahanan udara dari syarikat Amerika dan menempatkannya berhampiran infrastruktur kritikal seperti kilang penapisan minyak.

Sistem radar tersebut berkongsi maklumat dengan tentera Amerika, membentuk rangkaian pemantauan yang luas di seluruh rantau.

Salah satu lokasi yang dipercayai menjadi sasaran ialah kemudahan Al Ruwais di Emiriah Arab Bersatu, di mana imej satelit menunjukkan kerosakan ketara pada struktur penyimpanan berhampiran sistem pertahanan THAAD.

Di Qatar pula, radar jarak jauh AN/FPS-132 yang mampu memberi amaran awal dalam radius sehingga 3,000 batu dilaporkan mengalami kerosakan pada struktur utama radar.

Serangan ke atas sasaran diplomatik

Iran juga menyasarkan beberapa kemudahan diplomatik Amerika di rantau tersebut. Antara lokasi yang dilaporkan terkena serangan ialah konsulat Amerika di Dubai serta kedutaan Amerika di Kuwait City dan Riyadh.

Serangan tersebut memaksa beberapa pejabat diplomatik ditutup sementara, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pada Sabtu malam, Kedutaan Amerika di Baghdad turut menjadi sasaran serangan roket, walaupun belum jelas pihak yang bertanggungjawab dan tahap kerosakan yang berlaku.

Kadar serangan semakin menurun

Komander Komando Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, berkata serangan peluru berpandu Iran telah menurun dengan ketara sejak hari pertama konflik.

“Serangan peluru berpandu balistik Iran telah menurun sekitar 90 peratus sejak hari pertama konflik,” katanya pada 7 Mac.

Beliau turut menyatakan bahawa serangan dron Iran juga menurun kira-kira 83 peratus.

Namun walaupun kadar serangan berkurangan, Iran masih terus melancarkan serangan terhadap sasaran Amerika di seluruh rantau Asia Barat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg