Tentera AS yakin pelan operasi terhadap Iran, serangan dijangka dipertingkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera AS yakin pelan operasi terhadap Iran, serangan dijangka dipertingkat

Mar 6, 2026 | 1:03 PM

Tentera AS yakin pelan operasi terhadap Iran, serangan dijangka dipertingkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, berucap selepas menandatangani Deklarasi Keselamatan Bersama Persidangan Americas Counter Cartel semasa Persidangan Americas Counter Cartel yang pertama di ibu pejabat Komando Selatan Amerika Syarikat (SOUTHCOM) di Doral, Florida pada 5 Mac 2026.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, berucap selepas menandatangani Deklarasi Keselamatan Bersama Persidangan Americas Counter Cartel semasa Persidangan Americas Counter Cartel yang pertama di ibu pejabat Komando Selatan Amerika Syarikat (SOUTHCOM) di Doral, Florida pada 5 Mac 2026. - Foto AFP

PANGKALAN TENTERA UDARA MACDILL, Florida: Tentera Amerika Syarikat yakin dengan pelan operasi ketenteraan terhadap Iran ketika konflik di Asia Barat semakin memuncak, dengan Washington memberi amaran bahawa serangan terhadap Tehran akan dipertingkat secara drastik.

Komander Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper, berkata pasukan tentera AS telah lama menjangkakan kemampuan ketenteraan Iran dan merancang strategi operasi mereka dengan mengambil kira faktor tersebut sejak awal lagi.

“Kami sangat memahami kemampuan Iran, dan seperti yang dijangka, kami telah merancang segala kemungkinan sejak dari awal operasi,” katanya dalam temu bual dengan Al Arabiya English.
Menurut beliau, pelan operasi tentera Amerika disusun dengan teliti bagi menghadapi sebarang tindak balas daripada Tehran. “Saya yakin dengan pelan yang telah dirangka,” katanya.

Beliau menambah bahawa tentera Amerika sentiasa menyesuaikan strategi mereka mengikut perkembangan situasi di medan perang. “Seperti mana-mana organisasi yang baik, kami akan menyesuaikan tindakan mengikut keadaan semasa, dan kami telah membuat pelarasan yang perlu,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika konflik antara Iran dengan pakatan Amerika Syarikat dan Israel memasuki hari keenam, dengan kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas di beberapa kawasan di Asia Barat.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelenskyy, berkata Washington telah meminta bantuan Kyiv untuk membantu menangani ancaman dron serangan satu hala yang digunakan Iran.

Namun pegawai tentera Amerika tidak memperincikan bentuk bantuan yang diminta daripada Ukraine.
Seorang wartawan turut bertanya sama ada Amerika Syarikat sedang mendapatkan sistem pertahanan tambahan daripada negara rakan.

Laksamana Cooper berkata beberapa keupayaan baharu telah pun dikerahkan ke rantau tersebut, tetapi beliau enggan memberikan maklumat lanjut.

Dalam masa yang sama, tentera Amerika turut memperkenalkan teknologi baharu bagi menghadapi ancaman dron yang semakin meluas dalam konflik tersebut.

Sebelum ini, penggunaan peluru berpandu bernilai jutaan dolar untuk memusnahkan dron murah sering menjadi kritikan kerana kosnya jauh lebih tinggi berbanding senjata yang digunakan oleh Iran dan sekutunya. Namun menurut Laksamana Cooper, keadaan itu kini berubah.

“Kami sering mendengar sebelum ini bahawa kami menembak jatuh dron bernilai AS$50,000 (S$63,900) menggunakan peluru berpandu bernilai AS$2 juta,” katanya. “Sekarang kami banyak menggunakan sistem yang membolehkan dron bernilai sekitar AS$100,000 dimusnahkan dengan kos kira-kira AS$10,000.”

Tentera Amerika juga telah menggunakan unit dron kamikaze baharu buat pertama kali dalam operasi terhadap Iran.

Menurut Laksamana Cooper, teknologi dron tersebut dibangunkan selepas tentera Amerika sebelum ini berjaya merampas beberapa dron Iran dan melakukan analisis terhadap reka bentuknya.

“Kami tangkap dron itu, keluarkan semua komponennya, hantar balik ke Amerika, letakkan label ‘Made in America’ dan kini kami gunakannya untuk menyerang sasaran penting,” katanya secara berseloroh.

Operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Epic Fury bertujuan melemahkan kemampuan peluru berpandu balistik serta kekuatan tentera laut Iran.

“Kami berusaha untuk melumpuhkan asas industri peluru berpandu balistik Iran,” kata Laksamana Cooper dalam satu taklimat kepada media di ibu pejabat CENTCOM di Tampa, Florida.

“Apabila operasi ini memasuki fasa seterusnya, kami akan secara sistematik memusnahkan kemampuan pengeluaran peluru berpandu Iran untuk jangka panjang.”

Beliau berkata pasukan pengebom Amerika telah menyerang hampir 200 sasaran di dalam wilayah Iran sepanjang 72 jam lalu, termasuk beberapa lokasi berhampiran Tehran.

Laksamana Cooper turut mendedahkan bahawa pesawat pengebom siluman B-2 telah menjatuhkan puluhan bom penembus seberat 2,000 paun ke atas pelancar peluru berpandu balistik yang terletak jauh di bawah tanah.

Tentera Amerika juga menyasarkan kemudahan yang dikaitkan dengan sistem kawalan ruang angkasa Iran.
Menurut Laksamana Cooper, kemampuan Iran untuk melancarkan serangan balas semakin merosot sejak konflik bermula.

Serangan peluru berpandu balistik Iran dilaporkan menurun sebanyak 90 peratus berbanding hari pertama peperangan, manakala serangan dron pula berkurang sebanyak 83 peratus.

Tentera Amerika juga telah memusnahkan sekurang-kurangnya 30 kapal tentera laut Iran setakat ini.
“Dalam beberapa jam kebelakangan ini, kami turut menyerang sebuah kapal pengangkut dron milik Iran yang saiznya hampir menyamai kapal induk era Perang Dunia Kedua,” kata Laksamana Cooper.
“Ketika ini kapal tersebut sedang terbakar.”

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, memberi amaran bahawa kuasa tembakan tentera Amerika terhadap Iran akan dipertingkat dengan ketara dalam tempoh terdekat.
“Kami baru sahaja memulakan pertempuran ini,” katanya.
“Jika anda fikir apa yang berlaku sekarang sudah besar, tunggu sahaja. Kuasa ketenteraan yang masih akan dikerahkan ke atas Iran jauh lebih besar daripada apa yang dilihat setakat ini.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg