Topik diikuti
Pergi ke BHkuAncaman banjir kedua rumitkan operasi mencari mangsa di Himalaya
469 maut banjir Nepal, hampir 1,000 masih hilang dengan lebih 3,000 orang sudah diselamatkan
KATHMANDU: Ancaman banjir baharu membayangi kawasan lembah curam di sempadan Nepal-China pada 28 Ogos, sedang pasukan penyelamat berlumba dengan masa mencari hampir 1,000 mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat dahsyat meragut sekurang-kurangnya 469 nyawa di Nepal.
Kebimbangan kini tertumpu kepada sebuah tasik besar yang terbentuk selepas runtuhan glasier pada 26 Ogos menyekat aliran sungai di kawasan pergunungan berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Penguasa China memberi amaran empangan semula jadi yang menahan tasik itu berisiko pecah, sekali gus boleh mencetuskan satu lagi gelombang banjir besar ke kawasan yang sudah pun musnah akibat bencana dua hari lalu.
Ancaman itu muncul ketika pasukan penyelamat menggunakan jentera berat untuk menggali lumpur, batu dan timbunan serpihan bagi mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap.
Harapan menemukan lebih ramai mangsa hidup semakin tipis ketika operasi mencari dan menyelamat menghampiri tempoh kritikal 72 jam selepas bencana.
Hujan turut diramalkan di kawasan berkenaan dalam beberapa hari akan datang, sekali gus meningkatkan kebimbangan paras air tasik akan terus naik.
Menurut media pemerintah China, kira-kira tiga juta meter padu air – bersamaan sekitar 1,200 kolam renang Olimpik - dijangka mengalir ke tasik tersebut dalam tempoh tiga hari.
Risiko empangan semula jadi itu pecah dianggap tinggi, dengan aliran air dijangka mencapai kemuncaknya sekitar 1 September.
Penguasa Nepal sudah menggesa penduduk supaya menjauhi tebing sungai sebagai langkah berjaga-jaga.
Ketua Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) di Nepal, Encik David Fisher, berkata ancaman banjir susulan itu semakin menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang sudah berdepan keadaan amat mencabar.
Di Tibet, China mengerahkan para jurutera untuk menjalankan tinjauan udara dan pemetaan tiga dimensi bagi menilai keadaan tasik berkenaan.
Namun, usaha mendekati lokasi itu sukar kerana runtuhan glasier meninggalkan banyak tebing curam dan kawasan yang tidak stabil.
Antara langkah yang dipertimbangkan ialah menggali saluran di bahagian lebih rendah pada empangan semula jadi itu bagi membolehkan air dilepaskan secara terkawal.
Jurutera bagaimanapun perlu menentukan lebar dan kedalaman saluran berdasarkan kadar aliran air serta seberapa cepat tasik itu akan dipenuhi.
Dalam pada itu, operasi mencari mangsa banjir pertama terus dipergiat.
Sekurang-kurangnya 469 orang disahkan terkorban di Nepal setakat pagi 28 Ogos, manakala hampir 1,000 lagi masih hilang.
Di Tibet, sekurang-kurangnya tiga orang disahkan maut, manakala 558 masih hilang di Daerah Gyirong, termasuk 260 warga asing.
Lebih 30,000 anggota pasukan keselamatan Nepal dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat, menurut angka rasmi yang dikongsi dengan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di negara itu.
Penguasa Pengurusan Bencana Nepal berkata lebih 3,000 orang sudah diselamatkan setakat pagi 28 Ogos, namun belum jelas sama ada jumlah itu termasuk sebahagian daripada mereka yang sebelum ini disenaraikan sebagai hilang.
Helikopter digunakan untuk mencari mangsa serta menghantar makanan, ubat-ubatan dan bekalan kecemasan kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan di beberapa bandar dan kawasan lembah.
Pasukan kecemasan, termasuk anggota yang menggunakan anjing pengesan, turut menemukan puluhan mayat yang dihanyutkan ke kawasan tanah rendah.
Namun, kemusnahan besar terhadap prasarana pengangkutan dan komunikasi menyukarkan operasi.
Jalan raya sepanjang beberapa kilometer tidak lagi boleh digunakan, manakala beberapa jambatan musnah dihanyutkan arus.
Bekas pegawai kanan Kementerian Prasarana dan Pengangkutan Nepal, Encik Keshav Sharma, berkata pasukan penyelamat mungkin terpaksa membuka laluan baharu merentasi kawasan berlumpur untuk sampai ke sesetengah lokasi.
Bencana itu tercetus apabila runtuhan ais di kawasan tinggi Himalaya menghasilkan arus deras yang membawa batu, ais, lumpur dan serpihan melalui sistem sungai pergunungan di sempadan Nepal-China.
Arus deras itu membadai kampung dan kawasan lembah serta memusnahkan stesen janakuasa, jalan raya dan jambatan, termasuk sebahagian laluan yang menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa di Tibet.
Pakar geologi pemerintah China, Encik Guo Zhaocheng, berkata aliran serpihan itu bergerak pada kelajuan sekitar 50 meter sesaat dan meliputi jarak lebih 20 kilometer, menyebabkan penduduk hampir tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan diri.
“Banjir datang secara tiba-tiba dan meletup seperti bom,” kata seorang mangsa terselamat, Encik Janak Bahadur, di Devighat, Nepal.
“Sungai itu kelihatan kecil dari jauh, tetapi tiba-tiba melimpah dan menghanyutkan semuanya.”
Daripada mereka yang dilaporkan hilang di Nepal, sekurang-kurangnya 540 adalah warga asing.
Mereka termasuk 288 warga India, 63 rakyat Amerika Syarikat, 51 rakyat Malaysia, 34 warga Australia, 33 rakyat Britain, 25 rakyat Canada dan sembilan warga Singapura.
Seorang mangsa yang diselamatkan dari Rasuwa, Encik Dibga Tamang, diterbangkan bersama tiga yang lain ke sebuah kem tentera di Nuwakot pada 27 Ogos.
“Semua orang saya sudah tiada. Mereka sudah meninggal dunia,” katanya.
“Tiada sesiapa lagi menunggu saya. Segala-galanya dan semua orang sudah tiada.”
Nepal setakat ini menolak bantuan pasukan mencari dan menyelamat asing selepas menilai pasukan keselamatannya masih mampu mengendalikan operasi.
Jurucakap Kementerian Luar Nepal, Encik Lok Bahadur Poudel Chhetri, berkata Kathmandu sebaliknya akan memerlukan bantuan antarabangsa bagi proses pemulihan dan pembinaan semula.
“Penilaian dalaman kami menunjukkan kami tidak memerlukan sokongan asing bagi operasi mencari dan menyelamat. Kami percaya pasukan keselamatan kami mampu menanganinya,” katanya.
Di China, Perdana Menteri, Encik Li Qiang, melawat kawasan bencana di Gyirong pada 27 Ogos ketika Beijing meningkatkan usaha menangani kesan bencana serta risiko tasik berkenaan pecah.
Laporan awal menyatakan gempa bumi mungkin mencetuskan runtuhan glasier.
Namun, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) kemudian menjelaskan gegaran yang pada awalnya dianggap gempa bumi bermagnitud 4.4 sebenarnya berpunca daripada tenaga seismik yang dihasilkan apabila batu dan ais glasier runtuh sebelum mencetuskan aliran serpihan.
Ketika operasi memasuki hari ketiga, pasukan penyelamat bukan sahaja berlumba untuk mencari mereka yang masih hidup, malah perlu berdepan kemungkinan satu lagi gelombang banjir melanda lembah Himalaya yang sudah mengalami kemusnahan besar. - Agensi berita
