SEOUL: Anggota Parlimen Korea Selatan pada 4 Disember menggesa pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera tetapi membatalkannya beberapa jam kemudian.
Tindakannya itu telah mencetuskan krisis politik terbesar dalam beberapa dekad di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu.
Pengisytiharan mengejut undang-undang tentera pada lewat 3 Disember telah mencetuskan pertikaian dengan Parlimen yang menolak percubaannya untuk mengharamkan kegiatan politik dan menapis media.
Anggota Parlimen dilihat menggunakan alat pemadam api untuk menghalang tentera daripada memasuki bangunan itu.
Gabungan anggota Parlimen daripada parti pembangkang berkata mereka merancang mengemukakan rang undang-undang untuk mendakwa Encik Yoon pada 4 Disember.
“Parlimen harus memberi tumpuan untuk segera menggantung urusan Presiden dengan meluluskan rang undang-undang pemecatan secepat mungkin,” kata Encik Hwang Un-ha, salah seorang anggota Parlimen dalam gabungan itu.
Enam parti pembangkang Korea Selatan kemudian mengemukakan rang undang-undang di Parlimen untuk mendakwa Encik Yoon, dengan pengundian ditetapkan pada 5 atau 6 Disember.
Dalam ucapan menerusi televisyen, Encik Yoon berkata undang-undang tentera diperlukan untuk mempertahankan negara itu daripada Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear dan pasukan antinegara yang pro-Utara, dan melindungi perlembagaan negara itu.
Beliau tidak menyebut sebarang ancaman secara khusus.
Dalam beberapa jam, Parlimen Korea Selatan, dengan 190 daripada 300 anggotanya hadir, sebulat suara meluluskan usul yang menghendaki undang-undang tentera itu ditarik balik termasuk kesemua 18 anggota parti Encik Yoon yang hadir sama.
Presiden Yoon kemudian membatalkan pengisytiharan tersebut.
Penunjuk perasaan di luar Dewan Negara menjerit: “Kami menang!”, diikuti tepukan gemuruh.
Gabungan Kesatuan Sekerja Korea – yang terbesar di negara itu – berkata beribu-ribu anggotanya akan melancarkan mogok sehingga Encik Yoon meletak jawatan dan mengadakan perhimpunan pada lewat hari di pusat bandar Seoul.
Beberapa bantahan lain juga dijangkakan termasuk berhampiran Perhimpunan Kebangsaan – tapak yang menyaksikan beribu-ribu orang berkumpul lewat pada 3 Disember untuk mendesak agar arahan Encik Yoon itu dihalang.
Mereka turut menuntut penahanan dan peletakan jawatannya.
Beberapa syarikat termasuk Naver Corp dan LG Electronics Inc menasihatkan kakitangannya supaya bekerja dari rumah buat sementara waktu.
Saham Korea Selatan dibuka dengan mencatatkan penurunan sekitar 2 peratus pada 4 Disember, manakala mata wang won stabil untuk didagangkan sekitar 1,418 berbanding dolar Amerika Syarikat, setelah menjunam ke paras terendah dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, Kementerian Kewangan berjanji untuk menyuntik sejumlah besar wang jika perlu untuk menyokong pasaran kewangan yang tidak menentu selepas Menteri Kewangan, Encik Choi Sang-mok, dan Gabenor Bank Korea, Encik Rhee Chang-yong, mengadakan mesyuarat tergempar semalaman.
“Kami akan menyuntik kecairan tanpa had ke dalam saham, bon, pasaran wang jangka pendek serta pasaran forex (tukaran mata wang asing) buat masa ini sehingga ia kembali normal sepenuhnya kelak,” kata pemerintah dalam satu kenyataan.
Bank negara Korea telah mengadakan mesyuarat luar biasa bermula 9 pagi pada 4 Disember untuk membincangkan langkah selanjutnya.
Awal sebelum itu menyusuli pengumuman undang-undang darurat Encik Yoon, tentera Korea Selatan berkata kesemua kegiatan oleh Parlimen dan parti politik akan diharamkan, dan media serta penerbit akan berada di bawah kawalan perintah undang-undang tentera. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg