Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perisytiharan darurat ditarik balik selepas bantahan besar-besaran

Parti pembangkang tuntut agar Presiden Korea Selatan segera letak jawatan
Dec 4, 2024 | 12:41 PM
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, muncul di televisyen bagi mengumumkan penarikan semula undang-undang tentera di Seoul, Korea Selatan, pada 4 Disember 2024, hanya beberapa jam selepas ia diisytiharkan.
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, muncul di televisyen bagi mengumumkan penarikan semula undang-undang tentera di Seoul, Korea Selatan, pada 4 Disember 2024, hanya beberapa jam selepas ia diisytiharkan. - Foto AFP

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, menarik balik pengisytiharan undang-undang tentera yang diumumkannya pada lewat malam 3 Disember, selepas mendapat tentangan hebat daripada Parlimen dan ribuan penunjuk perasaan yang memenuhi jalan raya.

Langkah mengejutkan itu, yang merupakan percubaan pertama Korea Selatan untuk melaksanakan undang-undang tentera dalam lebih empat dekad, mencetuskan krisis politik terbesar dalam sejarah moden demokrasinya.

Amerika Syarikat, yang menempatkan hampir 30,000 tentera di Korea Selatan untuk melindunginya daripada ancaman Korea Utara, pada mulanya menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap pengisytiharan tersebut sebelum meluahkan rasa lega apabila ia ditarik balik.

Langkah Encik Yoon bukan sahaja mengejutkan sekutunya di peringkat antarabangsa, malah menimbulkan ketegangan dalaman yang hebat.

Anggota parti pembangkang utama Korea Selatan bertindak dengan melompat pengadang pagar dan bertembung dengan pasukan keselamatan untuk memasuki Dewan Parlimen dan menggesa Encik Yoon segera meletak jawatan atas apa yang mereka anggap sebagai cubaan “pemberontakan”.

Kesatuan buruh terbesar negara itu turut mengumumkan mogok umum tanpa had sehingga Encik Yoon berundur.

Pemimpin parti pemerintah Encik Yoon sendiri menyifatkan langkah itu sebagai “tragik” dan mendesak agar pihak yang terlibat bertanggungjawab.

Encik Yoon akhirnya akur selepas Parlimen sebulat suara menolak pengisytiharan tersebut.

“Sebentar tadi, Dewan Perhimpunan Kebangsaan menggesa supaya darurat tentera ditamatkan, dan kami telah menarik balik tentera yang dikerahkan untuk operasi darurat, kata Encik Yoon dalam ucapan televisyen sekitar 4.30 pagi waktu tempatan pada 4 Disember.

Berita pembatalan darurat disambut dengan sorakan oleh penunjuk perasaan yang berkumpul di luar Parlimen, walaupun berdepan cuaca sejuk.

Mereka, yang membawa bendera Korea Selatan dan melaungkan slogan seperti, ‘Tangkap Yoon Suk Yeol’, meraikan keputusan itu sebagai kemenangan ke atas demokrasi.

Seorang penunjuk perasaan, Encik Lim Myeong-pan, 55 tahun, menegaskan bahawa tindakan Encik Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada awalnya sudah cukup untuk menuntut peletakan jawatannya.

“Langkah ini adalah jenayah serius. Yoon telah membuka jalan untuk dirinya dipecat,” kata beliau.

Encik Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera dengan alasan untuk melindungi Korea Selatan daripada ancaman Korea Utara dan apa yang beliau sebut sebagai “unsur antinegara.”

Dalam ucapan televisyen semasa mengumumkan undang-undang tentera, Encik Yoon menyifatkan Parlimen sebagai “sarang diktator legislatif” yang berusaha melumpuhkan sistem keadilan dan pentadbiran negara itu.

Namun, beliau tidak memberikan butiran jelas mengenai ancaman dari Korea Utara, meskipun ketegangan dengan Pyongyang – yang secara teknikal masih berperang dengan Korea Selatan – menjadi alasan utama.

Langkah itu dibuat selepas populariti Encik Yoon menjunam kepada 19 peratus dalam tinjauan Gallup apabila ramai rakyat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara beliau mengendalikan ekonomi serta kontroversi melibatkan isterinya, Cik Kim Keon Hee.

Ahli akademik seperti Encik Vladimir Tikhonov dari Universiti Oslo menyifatkan tindakan Encik Yoon sebagai “cubaan untuk memutar balik sejarah”.

Beliau menambah: “Masyarakat sivil Korea Selatan tidak lagi boleh mengiktiraf Yoon sebagai presiden yang sah.”

Di peringkat antarabangsa, keputusan Encik Yoon turut mencetuskan reaksi pelbagai.

Amerika Syarikat menyatakan mereka tidak diberi amaran awal mengenai rancangan itu.

“Kami lega Presiden Yoon menarik balik pengisytiharan darurat tentera dan menghormati keputusan Dewan Perhimpunan Kebangsaan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat.

China, sekutu utama Korea Utara, menggesa warganya di Korea Selatan agar tetap tenang, manakala Britain memantau perkembangan dengan teliti.

Dengan krisis politik itu, masa depan Encik Yoon sebagai presiden kini berada dalam keadaan tidak menentu, dan sokongan terhadap pemerintahannya dilihat terus merosot di tengah-tengah tekanan dari dalam dan luar negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg