Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angin kencang, hujan lebat landa New Zealand: Sekolah ditutup, penerbangan dibatal, darurat diisytihar di Pulau Selatan

May 1, 2025 | 12:57 PM
Angin kencang melanda Teluk Lyall di Wellington, New Zealand pada 1 Mei 2025.
Angin kencang melanda Teluk Lyall di Wellington, New Zealand pada 1 Mei 2025. - Foto REUTERS

WELLINGTON: Bandar raya Wellington di New Zealand dilanda angin paling kuat dalam lebih sedekad pada 30 April, menyebabkan sekolah-sekolah ditutup dan penerbangan dibatalkan, manakala beberapa kawasan di Pulau Selatan pula diisytiharkan darurat selepas hujan lebat berterusan selama 24 jam.

Kelajuan purata angin di Wellington mencecah sehingga 87 kilometer sejam — tertinggi sejak tahun 2013 — menurut ramalan cuaca pemerintah. Di kawasan pesisir Baring Head yang terletak di selatan ibu negara, tiupan angin kencang mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 160 kilometer sejam.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran merah angin kencang untuk Wellington — kategori amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan. “Ini jelas jauh lebih teruk daripada hari berangin biasa di Wellington,” kata jurucakap pengurusan kecemasan wilayah Wellington, Dan Neely.

“Beberapa jalan raya di pelbagai kawasan telah ditutup. Ada ombak yang melimpah ke jalan pesisir pantai dan membawa serpihan ke atas jalan,” tambah beliau.

Pusat pengurusan kecemasan turut menggesa orang ramai agar kekal berada di dalam rumah jika boleh, dan menasihatkan penduduk supaya memastikan perabot luar dan permainan seperti trampolin dipastikan selamat dan tidak diterbangkan angin.

Menjelang petang, semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington telah dibatalkan, manakala perkhidmatan feri yang menghubungkan Pulau Utara dan Pulau Selatan turut digantung buat sementara waktu. Beberapa sekolah tempatan termasuk Universiti Victoria di Wellington telah menutup operasi untuk hari tersebut.

MetService, agensi ramalan cuaca pemerintah kedua, menjangkakan angin kencang ini akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga awal pagi 2 Mei.

Dalam masa yang sama, hujan lebat turut melanda kawasan Canterbury di Pulau Selatan, memaksa pengisytiharan darurat tempatan susulan banjir dan peningkatan paras air sungai.
Daerah Selwyn yang terletak di tengah Pulau Selatan telah mengisytiharkan darurat selepas hujan yang tidak henti-henti menyebabkan banjir meluas serta air sungai melimpah ke kawasan rendah.

Majlis Daerah Selwyn memaklumkan bahawa beg pasir telah diagihkan kepada penduduk, dan orang ramai digesa supaya menjimatkan penggunaan air bagi mengelakkan gangguan bekalan.
Datuk Bandar Selwyn, Sam Broughton, dalam satu hantaran di Facebook menyatakan bahawa risiko banjir serius telah mula terbentuk di seluruh daerah itu, terutamanya di kawasan tanah rendah.
“Kami minta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi untuk berpindah segera,” kata Broughton. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg