Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan penyelamat giat cari mangsa, 265 disah maut nahas pesawat Air India

Satu daripada dua kotak hitam ditemui di belakang bangkai pesawat yang terhempas, siasatan diteruskan
Jun 13, 2025 | 12:43 PM
Nahas Air India, mangsa korban, kotak hitam
Pegawai penyelamat mengalihkan mayat mangsa di lokasi nahas pesawat Air India yang terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 12 Jun. Pesawat yang dalam perjalanan ke London dengan membawa 242 orang termasuk 12 kru, dipercayai terkorban dalam nahas tersebut kecuali seorang penumpang terselamat. - Foto AFP

AHMEDABAD: Pasukan penyelamat bersama anjing pengesan bertungkus lumus mencari mangsa dan menggeledah serpihan di tapak nahas pesawat Air India yang terhempas di kawasan perumahan padat di Ahmedabad, barat India, pada 12 Jun.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 265 orang disahkan terbunuh, termasuk penumpang, kru dan penduduk di darat.

Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu yang dalam penerbangan menuju Lapangan Terbang Gatwick di London membawa 242 orang termasuk 12 kru, dan hanya seorang penumpang dilaporkan terselamat.

Mangsa yang terselamat, seorang lelaki warganegara Britain berketurunan India dikenali sebagai Encik Vishwash Kumar Ramesh, sedang dirawat di hospital tempatan.

Menurut saksi, ekor pesawat tersadai pada tingkat dua bangunan asrama petugas perubatan, manakala bahagian depan pesawat merempuh kantin tempat pelajar sedang makan tengah hari.

“Separuh daripada pesawat menghentam bangunan kediaman doktor dan keluarga mereka,” kata seorang doktor tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Dr Krishna.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Encik Kanan Desai, mengesahkan 265 mayat telah ditemui setakat ini.

“Jumlah sebenar hanya akan diumumkan selepas ujian DNA selesai,” jelas Menteri Dalam Negeri India, Encik Amit Shah, dalam kenyataan lewat malam 12 Jun.

Beliau turut memaklumkan bahawa keluarga mangsa yang berada di luar negara sudah dimaklumkan dan contoh DNA akan diambil bagi tujuan pengecaman.

Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, menyifatkan tragedi itu sebagai “terlalu menyayat hati untuk digambarkan dengan kata-kata”.

Air India dalam kenyataannya berkata pesawat AI171 itu membawa 169 warga India; 53 warga Britain; tujuh warga Portugal; seorang warga Canada; serta 12 anak kapal.

Salah satu daripada dua kotak hitam pesawat telah ditemui di bahagian belakang bangkai pesawat dan kini berada dalam kawalan pihak berkuasa.

“Kotak hitam kedua yang berada di kokpit masih belum ditemui,” menurut laporan akhbar Hindustan Times.

Perakam itu penting kerana ia mengandungi data penerbangan dan rakaman kokpit yang boleh membantu mengenal pasti punca kemalangan, namun analisisnya dijangka mengambil masa beberapa hari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing, Encik Kelly Ortberg, berkata beliau telah menghubungi Pengerusi Air India, Encik N. Chandrasekaran, dan menyatakan kesediaan syarikatnya membantu siasatan.

Syarikat pengeluar pesawat Amerika itu menyatakan mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India.

Sementara itu, saham Boeing dilaporkan jatuh hampir 5 peratus selepas kejadian ini, kejadian pertama melibatkan model Dreamliner 787-8.

Menurut Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India, pesawat terbabit terhempas kira-kira seminit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel.

Ia hanya naik setinggi 100 meter sebelum mengeluarkan isyarat ‘mayday’ dan menjunam ke kawasan kediaman.

Pihak Persatuan Doktor Gabungan Seluruh India melaporkan sekurang-kurangnya 10 individu hilang, termasuk lima pelajar perubatan dan empat ahli keluarga doktor pelatih.

Seramai 50 orang lagi cedera, manakala satu kematian dilaporkan berlaku di dalam kawasan kolej perubatan BJ yang turut terjejas akibat letupan.

Pada pagi 13 Jun, ratusan anggota keluarga mangsa berkumpul di pusat kecemasan di Ahmedabad untuk memberikan contoh DNA.

“Sepupu saya, Akeel Nanabawa, berada dalam pesawat bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun. Kami bercakap dengannya sebelum berlepas... itu panggilan terakhir,” kata Cik Ashfaque Nanabawa, 40 tahun.

Seorang wanita yang terlalu sedih untuk memberikan namanya berkata, menantunya antara penumpang dalam nahas itu. “Anak perempuan saya belum tahu suaminya sudah tiada. Saya tak sanggup beritahu dia. Tolong, biarlah orang lain yang sampaikan,” katanya sambil mengesat air mata.

Syarikat induk Air India, Tata Group, mengumumkan bantuan kewangan 10 juta rupee ($149,000) kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban, serta bantuan kos rawatan bagi yang cedera.

Pihak berkuasa penerbangan dari Britain dan Amerika juga akan menghantar pasukan pakar untuk membantu siasatan.

Pakar penerbangan, Profesor Jason Knight, dari Universiti Portsmouth, berkata:

“Kebarangkalian berat pesawat atau muatan berlebihan sangat rendah. Kemungkinan besar ia berpunca daripada kegagalan kededua enjin pesawat dan punca paling biasa adalah pertembungan dengan burung.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg