JAKARTA/BANGKOK: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan lebat di tiga negara Asia Tenggara telah mencapai lebih 600 nyawa, menurut pihak berkuasa tempatan pada 30 November.
Ini sedang usaha bantuan bagi puluhan ribu penduduk yang terpaksa berpindah diteruskan sepanjang hujung minggu.
Indonesia, Malaysia dan Thailand menghadapi kemusnahan skala besar selepas ribut tropika yang jarang berlaku terbentuk di Selat Melaka, membawa hujan lebat dan angin kencang selama seminggu.
Sebanyak 435 kematian dilaporkan di Indonesia, 170 di Thailand, manakala tiga orang dilaporkan maut di Malaysia, hingga 7 malam, 30 November.
Pegawai penyelamat dan bantuan di negara Asia Tenggara itu masih berusaha mendapatkan akses ke kawasan yang terjejas dek banjir pada 30 November, meskipun paras air mula surut.
Lebih 4 juta orang terjejas akibat ribut ini, dengan hampir 3 juta penduduk di selatan Thailand dan 1.1 juta penduduk di barat Indonesia terjejas, menurut statistik rasmi.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 193 orang maut akibat puting beliung di Sri Lanka manakala 228 lagi hilang dan lebih setengah juta orang terjejas di serata negara, menurut pihak berkuasa tempatan.
Di Indonesia, pasukan bantuan dan penyelamat menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan kepada penduduk yang tidak dapat diakses disebabkan rintangan jalan raya di Sumatera Barat.
Dari helikopter tentera laut yang terbang di atas bandar terpencil Palembayan di Sumatera Barat, seorang jurugambar Reuters dapat melihat kawasan besar termasuk perumahan yang ditenggelami air banjir.
Apabila helikopter itu mendarat di sebuah padang bola sepak, puluhan penduduk sudah berkumpul di kawasan berhampiran, menanti untuk diberi makanan.
Pegawai tempatan memaklumkan pada 29 November bahawa terdapat juga laporan individu merompak barangan bantuan disebabkan keadaan terdesak di kawasan mereka.
Menurut angka rasmi, 406 orang masih dilaporkan hilang dan 213,000 lagi terpaksa berpindah, hingga 7 malam, 30 November.
Di Thailand, Kementerian Kesihatan Awam melaporkan angka korban akibat banjir di selatan Thailand telah meningkat kepada seramai 170 orang, berbanding lapan yang dilaporkan pada 29 November, dengan 102 yang cedera.
Wilayah Songkhla mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 131 orang.
Di Malaysia, pihak meteorologi telah pun membatalkan amaran ribut tropika dan hujan berterusan pada 29 November, meramalkan cuaca cerah di kebanyakan kawasan.
Beberapa kawasan di negara itu sebelum ini dilanda hujan lebat dan angin kencang. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg