Keadaan banjir di beberapa negeri di Malaysia, yang sehingga kini memaksa lebih 34,000 mangsa berpindah ke pusat perlindungan, berisiko memburuk menyusuli amaran ribut tropika (Senyar) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang diramal berterusan hingga 29 November.
Ketua Pengarah METMalaysia berkata keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai 27 November.
Menurut beliau, ribut tropika itu dikesan memasuki bahagian utara perairan Selat Melaka menuju barat Semenanjung dan kini berada pada kedudukan di utara Sumatera, iaitu kira-kira 102 kilometer (km) barat daya Lumut, Perak, dengan kelajuan sekitar 24 km/jam.
“Sehubungan itu, METMalaysia telah mengemas kini amaran ribut tropika, amaran hujan berterusan serta amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November.
“METMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan pada 27 November.
Dalam perkembangan sama, amaran hujan berterusan sehingga 29 November yang dikeluarkan METMalaysia meramalkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu akan terjejas.
Kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya turut diramal terkesan dengan hujan lebat berterusan.
Sementara itu, Laporan Bencana Nasional (Monsun Timur Laut 2025/2026) yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 27 November menunjukkan Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas banjir dengan jumlah mangsa mencecah 11,000 orang.
Menurut laporan itu, setakat ini, lebih 34,000 mangsa berlindung di 216 pusat perlindungan sementara (PPS) di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Pahang dan Selangor.
Dalam pada itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, atas bantuan serta keprihatinan dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di wilayah terjejas.
“Tindakan ini mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, serta semangat kebersamaan yang amat kita hargai.
“Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kededua negara” katanya di Facebook pada 27 November.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Parlimen pada 27 November memaklumkan lebih 27,000 rakyat Malaysia pulang dari Thailand dalam tempoh banjir melanda sejak 22 hingga 25 November lalu.
Katanya, ketika ini, usaha menyelamat dan memindahkan warga Malaysia yang terkandas dalam banjir di Hat Yai masih berjalan, dengan dianggarkan kurang 500 rakyat Malaysia masih terperangkap.
“Berdasarkan laporan yang saya terima pagi ini (27 November), lebih 700 warga Malaysia telah dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah, setakat 26 November, dan pagi ini seramai 177 lagi rakyat Malaysia telah diselamatkan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg