Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban banjir lahar Sumatera meningkat, ramai masih hilang

May 14, 2024 | 2:38 PM
Jentera berat digunakan untuk membersihkan lumpur dan serpihan berikutan banjir kilat dan aliran lahar sejuk di Tanah Datar, Sumatera Barat, pada 13 Mei.
Jentera berat digunakan untuk membersihkan lumpur dan serpihan berikutan banjir kilat dan aliran lahar sejuk di Tanah Datar, Sumatera Barat, pada 13 Mei. - Foto AFP

JAKARTA: Pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat pada 14 Mei, selepas banjir kilat dan aliran lahar sejuk di Sumatera hujung minggu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan menyebabkan 27 orang hilang, kata agensi bencana Indonesia.

Hujan lebat berjam-jam menyebabkan batu besar dari salah sebuah gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Marapi, berguling ke dua daerah yang paling teruk terjejas di Sumatera pada 11 Mei, sambil membanjiri jalan raya dan menenggelamkan rumah dan masjid.

“Berdasarkan laporan, Encik Suharyanto (ketua Badan Mitigasi Bencana Negara, atau BNPB) berkata mangsa yang maut akibat bencana itu direkodkan seramai 50 orang,” kata jurucakap agensi itu, Encik Abdul Muhari, dalam satu kenyataan, menjadikan jumlah kematian bertambah seramai enam orang.

Beliau berkata 27 orang masih hilang dan 37 cedera, manakala 3,396 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas.

Encik Suharyanto berkata dalam kenyataan itu bahawa angka kematian mungkin meningkat lagi dan menggesa peralatan berat dikerahkan untuk membantu usaha pencarian.

Beliau menambah bahawa operasi pencarian perlu dilakukan segera kerana pasukan penyelamat hanya mempunyai masa enam hari untuk mencari mangsa yang terselamat.

Penghantaran bantuan dilakukan menggunakan laluan udara dan darat serta jambatan kecemasan, selepas banjir dan aliran lahar sejuk itu menyebabkan beberapa jalan raya di kawasan yang paling teruk dilanda banjir tidak dapat dilalui, kata Encik Suharyanto.

Encik Muhari berkata pada 13 Mei bahawa 71 rumah hanyut sepenuhnya manakala sekitar 125 mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

Lahar sejuk adalah limpahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

Banjir menjejas sejumlah empat daerah di Sumatera Barat – Agam, Tanah Datar, Padang Panjang dan Padang Pariaman – menurut pihak berkuasa.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh dan banjir semasa musim hujan.

Pada 2022, kira-kira 24,000 orang dipindahkan dan dua kanak-kanak terbunuh dalam banjir di Sumatera, dengan kempen alam sekitar menyalahkan penebangan hutan bagi pembalakan memburukkan lagi bencana.

Marapi antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Pada Disember, ia meletus dan memuntahkan abu yang menjulang setinggi 3,000 meter ke langit – lebih tinggi daripada gunung berapi itu sendiri.

Sekurang-kurangnya 24 pendaki, kebanyakannya pelajar universiti, maut dalam letusan itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg