AGAM: Satu gunung berapi di Indonesia barat meletus pada 14 Januari, memuntahkan debu ke paras setinggi 1,300 meter.
Menurut agensi geologi Indonesia, letusan itu berlaku enam minggu selepas letusan sebelumnya.
Agensi itu menambah bahawa Gunung Marapi, yang terletak di kepulauan Sumatera, meletus sekurang-kurangnya dua kali sekitar 3.37 pagi.
Ia juga menggesa pemindahan orang ramai dalam lingkungan 4.5 kilometer dari pusat letusan, dengan kemungkinan lahar mengalir ke sungai dan lembah.
“Sekiranya terdapat hujan abu, kami menggesa penduduk untuk menggunakan pelitup bagi mengelakkan penyakit pernafasan,” kata agensi tersebut.
Dalam letusan sebelumnya pada Disember, lebih 20 orang maut selepas Gunung Marapi, salah satu gunung berapi paling aktif di Sumatera, meletus dan memuntahkan awan kelabu abu setinggi 3 kilometer.
Indonesia terletak di “Lingkaran Api Pasifik”, iaitu satu kawasan di mana beberapa plat tektonik bertemu dan menyebabkan kegiatan gunung berapi dan seismik kerap berlaku.
Menurut rakaman daripada agensi berita, Reuters, abu gunung berapi daripada letusan pada 14 Januari itu meliputi rumah berdekatan, kenderaan dan khemah pemindahan yang didirikan oleh agensi bencana tempatan.
Sebilangan penduduk dipindahkan ke kemudahan kesihatan untuk pemeriksaan pernafasan, sementara pihak berkuasa mengedarkan pelitup kepada penduduk. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg