Topic followed successfully
Go to BHkuAngka korban di Gaza cecah lebih 66,000
Angka korban di Gaza cecah lebih 66,000
Angka korban di Gaza cecah lebih 66,000
BANDAR GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza pada 28 September mengumumkan angka kematian akibat serangan balas Israel kini mencecah 66,005 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Angka itu dipercayai jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan tidak dapat diselamatkan.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai,” kata kenyataan kementerian itu.
Pengumuman tersebut dibuat sehari sebelum Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dijadual bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Rumah Putih bagi membincangkan cadangan pelan damai Gaza.
Tentera Israel dilaporkan mara lebih jauh ke kawasan kejiranan Sabra, Tal al-Hawa, Sheikh Radwan dan Nassr di Bandar Gaza.
Serangan darat dan udara yang berterusan turut menyasarkan kompleks perubatan terbesar Gaza, Al-Shifa, yang kini lumpuh dengan pesakit dan kakitangan kesihatan dalam keadaan cemas.
“Keadaannya amat dahsyat. Kami terus merawat pesakit walaupun dalam ketakutan dan kekurangan ubat-ubatan serta peralatan menyelamatkan nyawa,” kata Pengarah Perubatan Hospital Al-Shifa, Dr Hasan al-Sha’ir.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 100 pesakit masih dirawat dalam keadaan “amat sukar”.
Kumpulan hak asasi, Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, mendakwa Israel menggunakan ‘fire belts’ atau senjata pembakar yang menyebabkan kawasan luas terbakar.
Kenderaan sarat bahan letupan turut ditempatkan di sekitar Al-Shifa ketika unit tentera mara dari utara dan timur.
Menurut agensi berita Wafa, tentera Israel turut mengebom Hospital Al-Helou di Bandar Gaza, yang menempatkan pesakit barah dan unit rawatan bayi pramatang.
“Lebih 90 individu termasuk doktor, jururawat dan pesakit masih terperangkap di dalam hospital kerana dikepung kereta kebal Israel,” kata seorang petugas perubatan.
Dalam serangan lain, bangunan bertingkat Mecca Tower musnah selepas amaran pemindahan dikeluarkan untuk kawasan Remal, Sabra, pelabuhan Gaza dan sebahagian Beirut Street.
Dalam beberapa minggu terakhir, sekurang-kurangnya 50 bangunan tinggi musnah akibat pengeboman.
Serangan ke atas penduduk yang cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan juga berterusan.
Enam lagi terbunuh dan 66 cedera dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban ketika mencari bantuan meningkat kepada 2,566 orang sejak Mei, dengan lebih 18,000 lagi cedera.
Perang itu bermula selepas serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel dan membawa kepada penawanan 251 tebusan.
Menurut Encik Netanyahu, 48 tebusan masih berada di Gaza, dan hanya 20 disahkan masih hidup.
Dalam tempoh dua tahun serangan balas Israel, sebahagian besar rumah penduduk musnah, dan 2.3 juta penduduk Gaza kini terperangkap dalam krisis kemanusiaan terburuk.
Pertubuhan Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan antara 350,000 dengan 400,000 orang telah melarikan diri dari Bandar Gaza pada Ogos, namun ratusan ribu lagi masih terperangkap.
Laporan Al Jazeera menyifatkan serangan di Gaza sebagai “amat besar dan tanpa henti”.
“Ia campuran artileri berat, serangan dron, dan bom gegar yang meruntuhkan asas bangunan,” katanya. – Agensi berita.

