SANTO DOMINGO — Insiden bumbung runtuh di sebuah kelab malam popular di ibu negara Republik Dominican, Santo Domingo, telah meragut sekurang-kurangnya 184 nyawa, menurut pihak berkuasa pada malam 9 April.
Tragedi di Kelab Jet Set itu mencetuskan suasana hiba apabila waris mangsa masih berkumpul di sekitar kawasan runtuhan sejak dua hari lalu, menunggu berita tentang ahli keluarga mereka yang hilang.
Ketua Pusat Operasi Kecemasan negara itu, Juan Manuel Mendez, berkata pasukan penyelamat akan meneruskan operasi sehingga mayat terakhir ditemui. “Kami tidak akan meninggalkan sesiapa pun. Operasi ini akan diteruskan tanpa henti,” katanya dalam sidang media.
Namun begitu, harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin tipis. Tiada mangsa yang berjaya diselamatkan dalam tempoh lebih 24 jam terakhir.
“Dalam beberapa jam lagi, fasa operasi akan beralih daripada mencari dan menyelamat kepada mengutip mayat,” kata jurucakap Presiden, Homero Figueroa.
Waris mangsa masih berharap dan enggan berputus asa. Alex de Leon, antara yang mencari bekas isterinya yang juga ibu kepada dua anak mereka, berkata beliau masih tidak mengetahui nasib wanita itu. “Malangnya saya masih tiada sebarang maklumat di mana dia berada. Anak lelaki saya yang berumur 15 tahun sangat sedih, manakala adik lelakinya yang berusia 9 tahun masih tenang kerana kami memberitahunya bahawa ibunya sedang bekerja,” kata Alex.
Keluarga mangsa yang hilang turut memegang gambar ahli keluarga mereka dan memberitahu pakaian terakhir yang dipakai, dengan harapan dapat membantu proses pengecaman sekiranya keadaan mayat sukar dikenali.
Menurut pihak berkuasa, seramai 155 orang telah berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital sebelum ini, namun jumlah sebenar individu di dalam kelab malam itu semasa kejadian masih belum dipastikan.
Tragedi ini berlaku ketika konsert penyanyi terkenal Dominican, Rubby Perez, yang turut menarik kehadiran ahli politik, atlet, dan tokoh masyarakat. Acara itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila bumbung kelab runtuh secara tiba-tiba selepas tengah malam.
Rubby Perez turut disahkan terkorban dalam kejadian itu. Kementerian Kebudayaan negara itu akan mengadakan upacara penghormatan khas bagi mengenang sumbangannya sebagai salah seorang ikon seni dan muzik merengue negara.
Presiden Republik Dominican, Luis Abinader, hadir sendiri dalam majlis pengebumian Nelsy Cruz, Gabenor wilayah Monte Cristi dan kakak kepada bekas pemain besbol terkenal MLB, Nelson Cruz.
“Kita semua berdukacita atas kehilangan beliau dan semua mangsa tragedi ini,” kata Abinader dalam ucapannya.
Antara mangsa lain yang terkorban ialah dua bekas pemain MLB, Octavio Dotel dan Tony Blanco, serta anak kepada Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negara itu.
“Kami hanya mampu terus berdoa dan menunggu, walau sekuat mana pun kami bersedia, kehilangan ini tetap amat menyakitkan,” kata Alex de Leon. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg