DUBAI: Angka kematian akibat letupan besar di pelabuhan kontena paling penting di Iran, Bandar Abbas, meningkat kepada sekurang-kurangnya 70 orang, dengan lebih 1,200 cedera, kata media pemerintah pada 28 April.
Pihak berkuasa Iran berkata para anggota bomba masih giat memadamkan api yang dilaporkan kini terkawal selepas 48 jam kebakaran bermula.
Letupan pada 26 April itu berlaku di bahagian Shahid Rajaee di pelabuhan, hab kontena terbesar Iran. Usaha memadamkan api diteruskan sejak kebakaran sporadis berlaku akibat angin dan barangan mudah terbakar di dalam kontena, sebahagiannya mengeluarkan pelepasan toksik di kawasan itu, menurut media pemerintah.
“Selepas mengawal kebakaran besar, operasi menyelamat sedang dijalankan” kata media negara Iran, memetik Encik Mohammad Ashouri, gabenor Wilayah Hormozgan, sebagai menerangkan hal itu.
Bandar Abbas terletak dalam Wilayah Hormozgan.
Agensi berita ISNA Iran memetik menteri dalam negerinya Encik Eskandar Momeni sebagai berkata operasi negara untuk menangani kebakaran di Shahid Rajaee telah ditamatkan dan pengurusan memadam kebakaran telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.
“Kekurangan dalam hal tidak mematuhi protokol keselamatan telah dikenal pasti dan beberapa individu yang bersalah telah dipanggil”, kata Encik Momeni.
Laporan awal oleh jawatankuasa penyiasat mendapati terdapat kelemahan dalam mematuhi prinsip pertahanan dan keselamatan awam.
Kira-kira 22 orang dilaporkan hilang dan 22 mayat masih belum dikenal pasti, kata stesen penyiar pemerintah memetik gabenor Hormozgan, Encik Mohammad Ashouri sebagai menyatakan demikian.
Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pada 27 April telah mengarahkan penyiasatan untuk “mendedahkan sebarang kecuaian atau niat” di sebalik insiden itu, satu petunjuk bahawa pihak berkuasa tidak menolak sabotaj.
Insiden itu berlaku ketika Iran memulakan rundingan nuklear pusingan ketiga dengan Amerika Syarikat di Oman, tetapi tidak ada tanda kaitan antara kedua-dua peristiwa itu.
Syarikat Komunikasi Infrastruktur Iran berkata pada 28 April bahawa serangan siber besar terhadap infrastruktur negara itu telah ditangkis sehari selepas letupan itu, tanpa memberikan butiran lanjut.
Penyimpanan bahan kimia yang lemah dalam loji disyaki menjadi punca letupan.
Jurucakap badan pengurusan krisis berkata pada 26 April bahawa amaran awal telah menonjolkan potensi risiko keselamatan di pelabuhan.
Kementerian pertahanan Iran telah enolak laporan media antarabangsa yang mencadangkan letupan itu mungkin dikaitkan dengan salah guna bahan api pepejal yang digunakan untuk peluru berpandu. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg