TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mengarahkan siasatan menyeluruh pada 27 April bagi mengenal pasti punca letupan besar di pelabuhan utama di selatan negara itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan lebih 1,000.
Arahannya dibuat selepas Presiden Encik Masoud Pezeshkian melawat lokasi letupan di Pelabuhan Shahid Rajaee berhampiran Selat Hormuz yang strategik itu.
Kebakaran masih marak pada 27 April – lebih 24 jam selepas letupan itu berlaku.
Bahan kimia di pelabuhan disyaki telah mencetuskan letupan, tetapi punca sebenar tidak jelas dan Kementerian Pertahanan Iran menafikan laporan media antarabangsa bahawa letupan itu mungkin dikaitkan dengan salah guna bahan api pepejal yang digunakan untuk peluru berpandu.
Jurucakap kementerian itu memberitahu stesen televisyen pemerintah bahawa kawasan yang dilanda letupan itu tidak mengandungi sebarang kargo tentera.
“Pegawai keselamatan dan kehakiman diwajibkan untuk menyiasat secara menyeluruh, mendedahkan sebarang kecuaian atau niat, dan membuat susulan mengikut peraturan,” kata Encik Khamenei dalam mesej yang disiarkan oleh televisyen negara.
Dengan asap tebal dan pencemaran udara merebak ke seluruh kawasan, semua sekolah dan pejabat di bandar Abbas, ibu kota wilayah Hormozgan yang berdekatan, diarah ditutup untuk membolehkan pihak berkuasa menumpukan perhatian terhadap operasi kecemasan, kata televisyen negara.
Kementerian Kesihatan menggesa penduduk supaya mengelak daripada keluar rumah dan menggunakan pelitup.
Setibanya di bandar Abbas, Presiden Pezeshkian melahirkan penghargaannya kepada pegawai penyelamat sambil menambah “kami datang untuk melihat secara langsung jika terdapat apa-apa atau apa-apa isu yang pemerintah boleh buat susulan”.
“Kami akan cuba menjaga keluarga yang kehilangan orang tersayang,” tambahnya.
Gambar yang dikeluarkan oleh pejabat Presiden Pezeshkian kemudian menunjukkan beliau berada di sisi katil seorang lelaki yang cedera dalam letupan itu.
Encik Mohammad Ashouri, gabenor wilayah Hormozgan, dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh media pemerintah pada Ahad, berkata sekurang-kurangnya 40 orang telah meninggal dunia dan lebih 900 yang lain cedera.
Beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti beberapa mangsa yang melecur teruk akibat letupan itu, sambil menambah 700 daripada 900 orang yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital selepas rawatan awal.
Terdahulu pada 27 April, media tempatan memetik doktor di Universiti Sains Perubatan Hormozgan sebagai berkata bahawa lebih 1,000 orang cedera dalam letupan, salah satu letupan terbesar yang pernah dilihat negara.
Anggota bomba dilaporkan giat meneruskan usaha untuk mengawal kebakaran yang marak itu dan mengelak ia merebak ke kawasan lain, manakala operasi menyelamat turut diteruskan untuk mangsa yang cedera.
Menteri Dalam Negeri, Encik Eskander Momeni, memberitahu media di bandar Abbas bahawa pelabuhan dan sistem operasi kastam tidak mengalami sebarang kerosakan serius, dan perintah telah dikeluarkan untuk menyambung semula muatan, pelepasan kargo, dan aktiviti kastam di pelabuhan.
Jurucakap organisasi pengurusan krisis negara pada 26 April mendakwa letupan itu disebabkan oleh penyimpanan bahan kimia yang lemah dalam penyimpanan di Shahid Rajaee, sambil menambah bahawa amaran awal telah menyerlahkan potensi risiko keselamatan. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg