TEHERAN: Krisis nuklear Iran kembali menjadi tumpuan dunia selepas Amerika Syarikat dan Iran mengadakan rundingan di Muscat, Oman pada 12 April.
Ia merupakan usaha terbaru untuk mencari jalan damai selepas ketegangan berlarutan sejak bertahun-tahun.
Namun, penganalisis percaya rundingan itu bukan sekadar soal diplomasi, sebaliknya ia berlangsung dalam suasana amat tegang, dengan amaran terbuka daripada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, bahawa kegagalan perjanjian bermakna tindakan ketenteraan bakal menyusul.
Iran sejak sekian lama mendakwa program nuklearnya bertujuan untuk kegunaan awam – seperti tenaga dan perubatan – selaras dengan Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT).
Namun, masyarakat antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mempersoal keikhlasan Iran apabila beberapa kemudahan nuklear rahsia negara itu ditemui pada 2002.
Kebimbangan terbesar Amerika dan Israel adalah kemungkinan Iran mampu menghasilkan senjata nuklear dalam masa terdekat.
Laporan terkini IAEA menyebut Iran kini mempunyai 275 kilogram uranium diperkaya sehingga 60 peratus – hanya memerlukan sedikit lagi proses untuk mencapai tahap 90 peratus yang membolehkan senjata nuklear dibina.
Seorang pegawai kanan Amerika dalam taklimat di Washington, berkata:
“Iran kini berkemampuan menghasilkan bahan mencukupi untuk bom nuklear dalam tempoh seminggu sahaja jika mereka mahu.”
Namun, membina senjata nuklear yang lengkap dan boleh digunakan memerlukan masa lebih lama – antara enam bulan dengan setahun bergantung kepada teknologi Iran.
Perjanjian asal Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) yang ditandatangani pada 2015 sewaktu era mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dilihat sebagai langkah terbaik mengawal program nuklear Iran melalui rundingan diplomasi.
Sebagai balasan kepada sekatan yang ditarik balik, Iran bersetuju mengehadkan kegiatan nuklearnya dan membenarkan pemeriksaan bebas oleh IAEA.
Namun, pada 2018, Encik Trump mengejutkan dunia apabila beliau menarik Amerika keluar daripada perjanjian itu.
Encik Trump beranggapan JCPOA sebagai perjanjian lemah yang tidak kekal, tidak menyentuh isu program peluru berpandu Iran, dan memberi ruang kepada Teheran membiayai kegiatan ketenteraan di rantau Asia Barat.
Encik Trump kemudian melaksanakan kempen memberi “tekanan maksimum” – mengenakan sekatan ekonomi baru yang melumpuhkan ekonomi Iran.
Mata wang Iran jatuh merudum, inflasi melonjak tinggi dan eksport minyak terhad.
Namun tindakan itu turut membawa kesan negatif.
Iran mula melanggar komitmen JCPOA secara berperingkat sebagai tindak balas.
Dalam rundingan di Muscat itu, Encik Trump secara terbuka menyatakan matlamatnya – mahu Iran menghentikan keseluruhan program nuklearnya, termasuk pengayaan uranium, pembangunan senjata dan program peluru berpandu.
“Kami mahu pembongkaran sepenuhnya – pengayaan, senjata, dan program misil,” tegas Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Mike Waltz.
Sementara itu, Israel yang juga sekutu kuat Amerika berpendirian lebih keras.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan satu-satunya perjanjian yang boleh diterima adalah Iran bersetuju menghapuskan sepenuhnya kemudahan nuklearnya.
“Kami mahu masuk, memusnahkan semua kemudahan dan membongkar semua peralatan di bawah seliaan dan tindakan Amerika,” kata Encik Netanyahu.
Israel dilaporkan bimbang Encik Trump mungkin bersedia menerima sebahagian tolak ansur yang hanya mengehadkan program Iran tetapi tidak membongkarnya sepenuhnya – sesuatu yang dilihat Israel sebagai ancaman besar kepada keselamatannya.
Rundingan di Oman mencatatkan sejarah tersendiri kerana ia kali pertama dalam tujuh tahun kedua-dua delegasi Amerika dan Iran bersemuka secara langsung.
Namun perbincangan berlangsung dalam suasana penuh curiga.
Walaupun Encik Trump mengumumkan rundingan itu sebagai pertemuan langsung, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan ia hanya rundingan tidak langsung, dengan perbualan ringkas antara beliau dengan wakil Amerika berlaku secara kebetulan.
Iran menegaskan bahawa mereka bersedia berunding tetapi mahu jaminan tiada tindakan ketenteraan. “Kami mahu perjanjian yang adil dan bermaruah daripada kedudukan setara,” tegas Encik Araghchi.
Namun, cabaran terbesar ialah jurang besar antara tuntutan kedua-dua negara.
Amerika mahu Iran menghentikan terus program nuklear, manakala Iran hanya bersedia mengehadkan kegiatan tersebut dengan syarat sekatan ekonomi ditarik balik.
Seorang penganalisis dasar luar dari Atlantic Council, Encik Daniel Shapiro, berkata:
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, tidak ada sebab untuk mempercayai Iran akan bersetuju dengan tuntutan Amerika sepenuhnya.”
Menurut beliau, walaupun Iran bersetuju, pastinya mereka akan menuntut pelepasan sekatan ekonomi secara besar-besaran – sesuatu yang sukar diluluskan oleh Kongres Amerika.
Sekiranya rundingan gagal, pilihan terakhir Amerika dan Israel ialah serangan ketenteraan terhadap kemudahan nuklear Iran.
Namun penganalisis mengingatkan tindakan itu sangat berisiko tinggi dan boleh mencetuskan perang berskala besar di Timur Tengah.
Tapak nuklear Iran sebahagiannya terletak jauh di dalam tanah dan hanya boleh dimusnahkan dengan bom pemusnah bunker paling kuat – sesuatu yang hanya dimiliki oleh Amerika.
Serangan itu turut dijangka mencetuskan tindak balas Iran – termasuk serangan ke atas pangkalan tentera Amerika di rantau Teluk dan serangan peluru berpandu ke atas Israel.
Namun, pengamat politik di peringkat antarabangsa percaya kedua-dua pihak masih cuba mengelakkan konflik bersenjata secara besar-besaran.
“Walaupun Trump kelihatan agresif dalam retorik dan ancaman ketenteraannya, beliau sedar perang baru di Timur Tengah boleh menjadi liabiliti politik besar – terutama ketika beliau berjanji kepada rakyat Amerika untuk membawa pulang tentera, bukan melibatkan mereka dalam peperangan baharu,” kata penganalisis politik antarabangsa, Encik Trita Parsi.
Beliau menegaskan bahawa waktu semakin kritikal kerana Iran berdepan tekanan ekonomi dalaman yang semakin meruncing, sementara Amerika dan sekutu Eropah berusaha mengelakkan Iran menjadi negara bersenjata nuklear.
“Akhirnya, apa yang lebih penting sekarang ialah mereka masih berbincang.
“Rundingan mungkin sukar, tetapi dialog tetap membuka ruang harapan,” kata Encik Parsi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg