Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban meningkat akibat hujan lebat landa pinggir bandar Beijing

Jul 31, 2025 | 3:50 PM
Seorang lelaki melihat kereta-kereta yang rosak akibat banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di daerah Huairou, pinggir bandar Beijing pada 30 Julai 2025. Hujan lebat telah meragut lebih 30 nyawa dan memaksa pihak berkuasa memindahkan puluhan ribu penduduk apabila wilayah utara China dilanda hujan mencurah-curah yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir, menurut media rasmi pada 29 Julai. 
Seorang lelaki melihat kereta-kereta yang rosak akibat banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu di daerah Huairou, pinggir bandar Beijing pada 30 Julai 2025. Hujan lebat telah meragut lebih 30 nyawa dan memaksa pihak berkuasa memindahkan puluhan ribu penduduk apabila wilayah utara China dilanda hujan mencurah-curah yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir, menurut media rasmi pada 29 Julai.  - Foto AFP

BEIJING: Cuaca ekstrem telah meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa di bandar Chengde yang terletak berhampiran ibu negara China, Beijing, manakala 18 orang lagi masih dilaporkan hilang selepas hujan lebat melanda kawasan berbukit itu sepanjang minggu lalu.

Kematian berlaku di beberapa kampung dalam kawasan Xinglong di Chengde, wilayah Hebei, menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua pada malam 30 Julai yang memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan, tanpa memperincikan bila atau bagaimana kematian itu berlaku.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih diteruskan, lapor agensi Xinhua.

Chengde yang dikelilingi kawasan pergunungan pernah terkenal sebagai tempat istirehat maharaja Dinasti Qing untuk menghindari diri daripada kepanasan musim panas di Beijing pada abad-abad lalu.

Hujan lebat luar biasa yang bermula sejak 23 Julai lalu telah melanda Beijing dan kawasan sekitarnya, dengan beberapa kawasan menerima jumlah hujan bersamaan dengan setahun dalam tempoh kurang seminggu. Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di pinggir ibu negara, termasuk 28 orang di daerah perbukitan Miyun.

Kematian di Chengde berlaku di kampung-kampung yang bersempadan dengan Miyun dan terletak kira-kira 25 kilometer dari takungan air Miyun, iaitu takungan terbesar di utara China.
Takungan tersebut mencatatkan aliran masuk dan keluar air, serta paras dan kapasiti air tertinggi dalam sejarah semasa kejadian hujan luar biasa ini yang mengakibatkan kemusnahan di pekan-pekan berhampiran.

Pada kemuncaknya pada hari Ahad, 27 Julai sehingga 6,550 meter padu air, kira-kira bersamaan 2.5 kolam renang saiz Olimpik melimpah masuk ke dalam takungan setiap saat, meningkatkan kapasiti takungan kepada rekod tertinggi iaitu 3.63 bilion meter padu sejak ia dibina pada tahun 1960.

Kampung-kampung yang mencatatkan lapan kematian itu terletak di kawasan tanah tinggi di sebuah lembah yang berada di hulu takungan Miyun.

Di sebuah lagi kampung yang terletak di utara takungan itu, satu kejadian tanah runtuh pada hari Isnin, 28 Julai telah mengorbankan lapan nyawa, manakala empat lagi masih hilang.

Hujan lebat luar biasa dan banjir besar yang semakin kerap, yang dikaitkan oleh ahli meteorologi dengan perubahan iklim, kini menjadi cabaran besar kepada pembuat dasar di China, dengan beberapa pegawai mengaitkan kelembapan dalam aktiviti perkilangan negara kepada kesan hujan dan banjir yang teruk.- Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg