Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat ragut 30 nyawa di Beijing, lebih 80,000 penduduk dipindahkan

Jul 29, 2025 | 10:55 AM
Orang ramai berjalan melewati sebuah jambatan yang rosak selepas hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan itu, di daerah Huairou, Beijing, China pada 28 Julai 2025
Orang ramai berjalan melewati sebuah jambatan yang rosak selepas hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan itu, di daerah Huairou, Beijing, China pada 28 Julai 2025 - Foto REUTERS

BEIJING: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di ibu negara China, Beijing, akibat hujan lebat yang melanda wilayah utara negara itu sejak 24 Julai lalu. Ribuan penduduk pula terpaksa dipindahkan apabila hujan luar biasa mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, “sehingga tengah malam Isnin (28 Julai), hujan lebat telah meragut 30 nyawa di Beijing,” dengan kebanyakan kematian berlaku di kawasan pergunungan di utara bandar raya tersebut. Daripada jumlah itu, 28 kematian direkodkan di daerah Miyun dan dua lagi di Yanqing.

Lebih 80,000 orang telah dipindahkan dari kediaman masing-masing di Beijing sahaja, menurut Beijing Daily, saluran media yang dikendalikan oleh pemerintah tempatan. “Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan bencana besar,” kata laporan itu.

Antara daerah paling terjejas ialah Miyun di timur laut, Huairou di utara dan Fangshan di barat daya Beijing. Di beberapa lokasi, hujan mencecah 543.4 milimeter hampir menyamai jumlah purata hujan setahun di Beijing, iaitu sekitar 600 milimeter.

“Sebanyak 136 kampung telah terputus bekalan elektrik, manakala berpuluh-puluh jalan raya terpaksa ditutup,” tambah Beijing Daily.

Presiden China, Encik Xi Jinping, dalam satu kenyataan lewat 28 Julai menggesa pihak berkuasa supaya merancang untuk menghadapi senario paling buruk dan mempercepat pemindahan penduduk yang berada di kawasan berisiko tinggi. “Kita sedang berdepan jumlah korban dan kerugian harta benda yang besar,” kata beliau.

Perdana Menteri Li Qiang turut mengesahkan bahawa hujan dan banjir di daerah Miyun telah menyebabkan “korban jiwa yang signifikan”, menurut laporan Xinhua.

Kesan hujan lebat bukan hanya dirasai di Beijing. Di wilayah Hebei yang mengelilingi ibu negara itu, kejadian tanah runtuh di sebuah kampung berhampiran Chengde telah mengorbankan empat orang, manakala lapan lagi masih hilang, menurut siaran oleh penyiar negara CCTV.

Di wilayah Shandong di timur China, dua maut dan 10 orang lagi dilaporkan hilang akibat banjir kilat awal bulan ini. Sementara itu, di Sichuan, kejadian tanah runtuh di lebuh raya turut meragut lima nyawa apabila beberapa kenderaan dihanyutkan ke lereng bukit.

China kerap dilanda bencana alam, terutamanya ketika musim panas. Beberapa wilayah menghadapi hujan luar biasa, manakala yang lain pula dilanda gelombang haba. Fenomena cuaca ekstrem ini dikaitkan dengan perubahan iklim, yang menurut pakar, diburukkan oleh pelepasan gas rumah hijau.

China merupakan penyumbang terbesar gas tersebut, namun ia juga merupakan peneraju dunia dalam tenaga boleh diperbaharui dan bercita-cita untuk mencapai neutral karbon menjelang 2060.

Susulan keadaan cuaca yang memburuk, pihak berkuasa Beijing telah mengeluarkan amaran hujan dan banjir pada tahap tertinggi pada 28 Julai, menyeru penduduk agar kekal di dalam rumah dan menjauhi kawasan berisiko tinggi.

“Mohon beri perhatian kepada ramalan dan amaran cuaca, dan elakkan pergi ke kawasan berisiko kecuali jika perlu,” kata satu kenyataan rasmi yang disiarkan media pemerintah.

Xinhua melaporkan bahawa hujan paling lebat berlaku pada hari Sabtu, 26 Julai di kawasan berbukit Huairou, dengan 95.3 milimeter hujan turun hanya dalam masa satu jam.

Lebih 730 juta meter padu air telah mengalir masuk ke Empangan Miyun, empangan terbesar di utara China, setakat pagi Selasa. Sejak Ahad petang, sebanyak 120 juta meter padu air telah dilepaskan bagi mengawal paras banjir. Pihak berkuasa juga menggesa penduduk supaya menjauhi kawasan sungai di hilir yang dijangka kekal pada paras tinggi dalam beberapa hari mendatang.

Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Kebangsaan China (NDRC) pada 29 Julai mengumumkan peruntukan kecemasan sebanyak 200 juta yuan ($35.8 juta) untuk menyokong usaha bantuan banjir di Beijing. Dana itu akan digunakan untuk membaiki infrastruktur pengangkutan, sistem bekalan air, kemudahan kesihatan dan perkhidmatan awam yang rosak, terutamanya di Miyun dan Huairou.

Kementerian Kewangan China turut menyalurkan 350 juta yuan tambahan pada hari yang sama bagi menyokong usaha bantuan di Beijing serta wilayah lain yang terjejas.
Sementara usaha menyelamat dan pemulihan diteruskan, penduduk masih dibelenggu ketakutan akan hujan susulan yang mungkin menyebabkan bencana lebih besar.

“Semua ini berlaku begitu pantas,” kata seorang penduduk Miyun yang enggan dinamakan. “Apa yang kami perlukan sekarang ialah keselamatan dan tindakan pantas daripada pemerintah.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg