Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anies berhasrat bentuk parti atau NGO baru

Sep 2, 2024 | 11:14 AM
Setelah laluan bekas calon Pilihan Raya Presiden Indonesia, Encik Anies Baswedan, untuk bertanding Pilihan Raya Gabenor Jakarta tidak kesampaian apabila Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menamakan calon lain, beliau mengumumkan kemungkinan membentuk sebuah parti baru.
Setelah laluan bekas calon Pilihan Raya Presiden Indonesia, Encik Anies Baswedan, untuk bertanding Pilihan Raya Gabenor Jakarta tidak kesampaian apabila Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menamakan calon lain, beliau mengumumkan kemungkinan membentuk sebuah parti baru. - Foto Tangkap Layar Video

JAKARTA: Bekas Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, menyatakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah badan bukan pemerintah  (NGO) atau parti politik baru selepas beliau tidak lagi terlibat dalam persaingan Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) 2024.

“Bagi mengumpulkan semua semangat perubahan yang kini semakin hari semakin kuat, dan menjadikannya satu kekuatan gerakan, maka membentuk NGO atau parti politik baru mungkin adalah jalan yang akan kami tempuh,” kata Encik Anies dalam kenyataan yang dibuat menerusi siaran langsung di akaun YouTube beliau.

Encik Anies, yang juga bekas calon Pilihan Raya Presiden Indonesia, menjelaskan bahawa dorongan untuk menubuhkan parti politik ini muncul kerana beliau melihat semakin ramai rakyat yang mahukan sistem demokrasi yang lebih adil dan membina. Selain itu, beliau turut menyedari kebimbangan masyarakat terhadap kepentingan politik yang didominasi oleh golongan elit tertentu.

Encik Anies juga menyatakan bahawa parti politik baru ini akan diwujudkan bagi menampung semangat dan aspirasi masyarakat yang mahukan perubahan. Namun, beliau belum memberi butiran lanjut mengenai bila NGO atau parti politik itu akan ditubuhkan.

Sebelum ini, Encik Anies dikaitkan dengan hasrat untuk bertanding dalam Pilkada Jakarta selepas kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2024. Beberapa parti seperti Parti Buruh dan Parti Hanura telah memberikan sokongan kepadanya untuk bertanding dalam Pilkada tersebut.

Beliau dikaitkan dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dilaporkan berpotensi untuk mencalonkan Encik Anies sebagai calon mereka bertanding sebagai Gabenor Jakarta. Namun akhirnya, PDI-P memutuskan untuk mencalonkan Encik Pramono Anung dan Encik Rano Karno sebagai calon mereka.

Dengan harapan untuk bertanding sebagai Gabenor Jakarta tidak tercapai, Encik Anies kemudian dikaitkan dengan Pilkada Jawa Barat. Encik Anies dilaporkan menolak tawaran PDI-P untuk dicalonkan sebagai Gabenor Jawa Barat. Beliau dikatakan menolak tawaran tersebut beberapa jam sebelum tempoh pencalonan Pilihan Raya Daerah Jawa Barat itu berakhir pada 29 Ogos.

Langkah Encik Anies untuk menubuhkan parti atau NGO baru ini dilihat sebagai usaha untuk terus memperjuangkan visi dan misinya dalam arena politik Indonesia, khususnya selepas beliau gagal mendapatkan sokongan untuk bertanding dalam Pilkada yang akan diadakan pada November ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg