JAKARTA: Semua laluan bagi Encik Anies Baswedan dijangka tertutup untuk pemilihan semula gabenor Jakarta, selepas 10 daripada 11 parti yang mempunyai kerusi di Majlis Bandaraya menyokong pasangan gabenor Encik Ridwan Kamil dan Encik Suswono pada pemilihan ketua wilayah November ini.
Pada 19 Ogos, pakatan pilihan raya bersama-sama mengumumkan pencalonan Encik Ridwan, bekas gabenor Jawa Barat yang popular dan ahli politik Parti Golkar, dan pasangannya Encik Suswono, ahli politik Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan bekas menteri pertanian, sebagai calon gabenor Jakarta dan timbalan gabenor, lapor The Jakarta Post.
Parti Gerindra mengetuai pemilihan tiket bersama, bersama-sama ahli Koalisi Indonesia Maju (KIM), yang berada di belakang kejayaan bidaan presiden Prabowo Subianto menentang calon saingan Encik Anies pada pilihan raya umum Februari lalu.
Selepas kemenangan besar Encik Prabowo itu, KIM berusaha meluaskan keahliannya dalam menghadapi pemilihan ketua wilayah, dengan membawa parti-parti saingan ke dalam kumpulannya, bagi mendapatkan sokongan serantau untuk pentadbiran beliau.
Dalam ucapan menerima pencalonannya pada 19 Ogos, Encik Ridwan menyifatkan perikatan yang menyokong pencalonannya untuk jawatan gabenor Jakarta itu sebagai simbol perdamaian pasca pilihan raya.
Pencalonan Encik Ridwan bermakna Encik Anies telah terlepas peluang untuk muncul di kertas undi bandar raya pada bulan November, kerana parti-parti PKS dan Parti NasDem, dua penyokong awalnya, telah mengalihkan sokongan mereka kepada Encik Ridwan.
Satu-satunya parti yang bukan sebahagian daripada perikatan yang menyokong Encik Ridwan ialah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
PDI-P tidak mempunyai cukup kerusi di dewan perundangan Jakarta, untuk mendaftarkan pasangan calonnya sendiri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) antara 27 dan 29 Ogos.
Parti itu telah mencuba tetapi gagal mencapai perjanjian dengan Parti Kebangkitan Nasional (PKB), untuk menggandingkan Encik Anies dengan anggota PDI-P, Encik Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama, seorang lagi bekas gabenor Jakarta.
Eksekutif PDI-P, Encik Adian Napitapulu berkata pada 19 Ogos bahawa parti itu masih bertekad untuk cuba menarik parti daripada pakatan pilihan raya Encik Ridwan, dan beralih kepada Encik Anies sebelum pendaftaran ditutup untuk calon pada 29 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg