Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anutin Charnvirakul dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand

Tewaskan calon Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri; ikrar kembalikan keamanan
Sep 5, 2025 | 5:17 PM
Parti Bhumjaithai, Encik Anutin Charnvirakul
Pemimpin Parti Bhumjaithai, Encik Anutin Charnvirakul (melambai), yang juga hartawan binaan, dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand yang baru. - Foto REUTERS

BANGKOK: Hartawan binaan, Encik Anutin Charnvirakul, telah dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand yang baru.

Beliau berikrar mengembalikan keamanan di tengah-tengah keadaan huru-hara selepas dinasti politik yang dominan di negara itu disingkirkan.

Encik Anutin, 58 tahun, memenangi undi Parlimen, dengan menewaskan calon keluarga Shinawatra dari Parti Pheu Thai, mantan menteri undang-undang, Encik Chaikasem Nitisiri.

Encik Anutin menang dengan 311 undi, manakala Encik Chaikasem memperoleh 152 undi. Dua Anggota Parlimen (AP) tidak mengundi dan 27 berkecuali.

Namun begitu, pengundian tersebut dibayangi oleh pemergian dramatik bekas perdana menteri, Encik Thaksin Shinawatra.

Encik Thaksin, seorang bilionair dan antara ahli politik paling berpengaruh di Thailand, adalah tokoh utama dalam perebutan kuasa selama dua dekad yang memecahbelahkan negara itu.

Beliau telah berlepas meninggalkan Thailand menggunakan jet peribadi untuk ke Dubai pada 4 September, ketika parti kerajaan yang dipimpinnya, Pheu Thai, berada dalam keadaan tidak menentu.

Menurut Encik Thaksin, beliau akan kembali menjelang 8 September.

Beliau terbang keluar dari Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok pada 7.17 malam waktu tempatan menggunakan jet peribadi.

Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa mengesahkan tiada perintah mahkamah yang menghalangnya daripada meninggalkan negara tersebut, kata polis dalam satu kenyataan.

Encik Thaksin meninggalkan Thailand beberapa hari sebelum keputusan mahkamah yang mungkin menyebabkan beliau dipenjarakan.

Pemergian Encik Thaksin berlaku enam hari selepas mahkamah memecat anak perempuannya, Cik Paetongtarn Shinawatra, sebagai perdana menteri kerana melanggar etika, yang mencetuskan perebutan kuasa dan serangan berani daripada sebuah parti pembelot untuk membentuk kerajaan sendiri.

Pheu Thai, parti popular yang memenangi lima daripada enam pilihan raya terakhir, telah berjuang dengan gigih untuk menggagalkan cabaran daripada bekas rakan pakatannya, Bhumjaithai.

Kekacauan yang berlaku telah membuka jalan bagi Encik Anutin mengambil alih kuasa.

Encik Anutin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri kesihatan, namun beliau mungkin paling terkenal kerana menunaikan janji pada 2022 untuk menghalalkan kanabis.

Di samping itu, Encik Anutin pernah berkhidmat dalam Kabinet yang merentasi perpecahan politik Thailand, daripada populis Encik Thaksin hingga ketua kudeta, Encik Prayuth Chan-Ocha, dan yang terkini bersama Cik Paetongtarn.

Hampir sedekad lamanya, beliau memainkan peranan sebagai penentu pembentukan kerajaan campuran, dengan memanfaatkan rangkaian di peringkat wilayah dan hubungan perniagaan. 

Encik Anutin kini akan mengetuai sebuah kerajaan campuran rapuh yang merangkumi parti-parti berhaluan diraja yang sebelum ini telah menghalang pendahulu Parti Rakyat – Move Forward – daripada mengambil alih kuasa selepas pilihan raya 2023.

Berdasarkan perjanjian dengan Parti Rakyat, beliau perlu membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan selepas mengangkat sumpah jawatan dan menyampaikan kenyataan dasar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg