BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, dijadualkan memberi keterangan di mahkamah pada 16 Juali bagi membela diri terhadap tuduhan memfitnah institusi diraja, dalam satu perbicaraan penting yang bakal menentukan masa depan dinasti politik keluarganya yang kini goyah.
Jika didapati bersalah, Encik Thaksin berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dalam perbicaraan tertutup yang berlangsung di Bangkok. Beliau dituduh melanggar undang-undang lese majeste yang ketat di Thailand, yang melindungi institusi diraja daripada sebarang penghinaan atau kritikan.
Selama hampir 25 tahun, tokoh perniagaan telekomunikasi berusia 75 tahun ini merupakan figura penting dalam politik Thailand, membentuk satu dinasti politik yang sering bertembung dengan golongan elit tradisional pro-diraja dan pro-tentera.
Namun, pendakwaan ini ditambah dengan penggantungan tugas anak perempuannya, Perdana Menteri Cik Paetongtarn Shinawatra, dua minggu lalu menandakan kemerosotan mendadak pengaruh politik keluarga tersebut, menurut penganalisis.
Kes pendakwaan ini berpaksikan kenyataan yang dibuat Encik Thaksin kepada media Korea Selatan sedekad lalu. Beliau dijangka memberi keterangan selama sekurang-kurangnya tiga hari. Keputusan kes dijangka akan mengambil masa beberapa minggu lagi.
Encik Thaksin pulang ke Thailand pada Ogos 2023 selepas 15 tahun hidup dalam buangan, susulan rampasan kuasa tentera yang menyingkirkannya daripada jawatan perdana menteri yang dimenanginya menerusi dua pilihan raya.
Kepulangannya berlaku pada hari partinya, Pheu Thai, membentuk kerajaan gabungan baru dengan sokongan bekas musuh konservatif mencetuskan spekulasi bahawa satu perjanjian politik di belakang tabir telah dicapai.
Encik Thaksin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun dikurangkan kepada satu tahun selepas menerima pengampunan daripada Raja Maha Vajiralongkorn - satu lagi petanda kemungkinan pendamaian.
Namun menurut penganalisis politik, Encik Yuttaporn Issarachai, kepada AFP: “Akan sentiasa ada pihak dalam sistem yang melihat Thaksin sebagai ancaman kepada masyarakat Thailand.”
Dalam beberapa wawancara terkini, Encik Thaksin menyatakan kesetiaannya kepada institusi diraja dan berterima kasih atas pengampunan diraja yang diberikan kepadanya.
Peguamnya, ketika ditemui AFP di luar mahkamah pada hari pertama perbicaraan 1 Julai lalu, berkata bahawa anak guamnya kelihatan “tenang” walaupun berdepan tuduhan yang berat.
Pada hari yang sama, anak perempuan Encik Thaksin, Cik Paetongtarn, digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan pelanggaran etika susulan satu panggilan diplomatik yang bocor.
Dalam perbualan itu, beliau merujuk bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, sebagai “bapa saudara” dan menyifatkan seorang panglima tentera Thailand sebagai “lawan” menimbulkan kritikan kerana dilihat tunduk kepada pemimpin asing dan mencemar kedudukan tenteranya sendiri.
Gabungan Pheu Thai kini telah ditinggalkan oleh beberapa penyokong konservatif utama susulan kontroversi tersebut, menjadikan majoriti parlimen mereka amat tipis dan kini diketuai oleh perdana menteri sementara. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg