Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hun Sen tempelak Thaksin, dedah peranannya dalam politik Thailand sejak 2006

Jul 21, 2025 | 12:29 PM
Foto yang diambil dan dikeluarkan pada 26 Jun 2025 oleh Agensi Kampuchea Presse (AKP) menunjukkan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang kini merupakan Presiden Senat dan Jeneral lima bintang, sedang berucap kepada anggota tentera semasa lawatannya ke pasukan bersenjata yang ditempatkan di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand di wilayah Preah Vihear.
Foto yang diambil dan dikeluarkan pada 26 Jun 2025 oleh Agensi Kampuchea Presse (AKP) menunjukkan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang kini merupakan Presiden Senat dan Jeneral lima bintang, sedang berucap kepada anggota tentera semasa lawatannya ke pasukan bersenjata yang ditempatkan di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand di wilayah Preah Vihear. - Foto AFP

PHNOM PENH – Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk bercakap dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, selepas Encik Thaksin memberitahu media Thailand bahawa beliau telah menghentikan komunikasi dengan Encik Hun Sen.

“Saya mahu beritahu Thaksin bahawa sepatutnya saya yang tidak mahu bercakap dengan kamu, sejak anak perempuan kamu bersikap angkuh dan memandang rendah kepada saya. Tambahan pula, saya tiada minat langsung untuk bercakap dengan seseorang yang telah disabitkan kesalahan dan sedang bersedia menghadapi pertuduhan baharu. Jadi, jangan terlalu angkuh, bercakap dengan kamu hanya membawa masalah kepada saya!” tulis Encik Hun Sen dalam satu hantaran di Facebook pada 20 Julai.

Pada 19 Julai, Encik Thaksin mengumumkan bahawa beliau bertekad untuk menghentikan komunikasi dengan Encik Hun Sen kerana bimbang perbualannya dirakam secara rahsia. Beliau juga menggesa pihak berkuasa Thailand supaya membuat aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung insiden letupan periuk api yang mencederakan beberapa orang askar Thailand awal minggu itu, menurut laporan media Thailand Khaosod English.

“Daripada pemerhatian saya, sejak Thaksin mula terlibat dalam politik Thailand, negara itu menjadi huru-hara, bermula sebelum rampasan kuasa tahun 2006. Saya juga tidak mahu mengungkit penghinaan teruk yang kamu lemparkan terhadap institusi diraja Thailand – kata-kata itu terlalu jijik untuk saya ulangi kerana ia hanya akan mencemarkan maruah Raja Thailand. Tapi kamu sendiri tahu bahawa kata-kata itu benar,” tambah Encik Hun Sen.

Encik Hun Sen juga berkata bahawa beberapa hari lalu, Encik Thaksin menggelar pemimpin Kemboja sebagai tidak bermoral, satu penghinaan yang dianggap setara dengan kenyataan anak perempuannya, Cik Paetongtarn Shinawatra, yang sebelum ini menuduh kepimpinan Kemboja sebagai “tidak profesional,” sehingga mencetuskan kemarahan rakyat Kemboja.

“Saya ingin bertanya kepada kamu, jika saya tidak bermoral, kenapa kamu bergantung kepada saya selama 19 tahun, dari 2006 hingga 2025, sentiasa mendengar nasihat saya dan malah memanggil saya ‘Pemimpin Nombor Satu’? Kamu ingat tak penubuhan Parti Pheu Thai untuk bertanding dalam pilihan raya 2011? Selain beberapa idea, ada satu teori: ‘Thaksin fikir, Pheu Thai bertindak.’ Itu teori saya, teori Hun Sen, yang saya tak perlu ingatkan pun sebenarnya,” katanya lagi.

Encik Hun Sen turut mendedahkan bahawa Encik Thaksin merupakan perancang utama di sebalik Parti Pheu Thai, dan bahawa pengkhianatan terhadap Parti Bhumjaithai merupakan rancangan Encik Thaksin sendiri, bukannya anak perempuannya, yang kini digantung daripada tugas sebagai Perdana Menteri Thailand. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg