Anutin dijangka kekal PM Thailand selepas pilihan raya
BANGKOK: Pewaris empayar pembinaan dan juruterbang jet persendirian, Encik Anutin Charnvirakul, dijangka kekal sebagai Perdana Menteri Thailand selepas pilihan raya umum pada 8 Februari ini, tanpa mengira keputusan rasmi undian, menurut penganalisis dan tinjauan pendapat.
Walaupun parti pimpinannya, Bhumjaithai, hanya menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya lalu, Encik Anutin yang berusia 59 tahun berjaya mengambil alih jawatan perdana menteri pada September, selepas pendahulunya, Cik Paetongtarn Shinawatra, disingkirkan melalui perintah mahkamah.
“Saya memasuki jawatan ini dengan sokongan majoriti di Parlimen.
“Jadi ia jelas demokratik,” kata Encik Anutin kepada AFP ketika berkempen di Bangkok.
Encik Anutin memperoleh jawatan itu dengan sokongan Parti Rakyat, kumpulan terbesar di Parlimen, yang menurut tinjauan semasa, dijangka kembali muncul sebagai parti nombor satu dalam pilihan raya kali ini, mengatasi Parti Bhumjaithai.
Namun, tiada parti dijangka memperoleh majoriti mutlak, sekali gus membuka ruang kepada rundingan pembentukan gabungan baru.
Penganalisis menjangkakan Encik Anutin akan sekali lagi muncul sebagai tokoh kompromi utama dan mengetuai kerajaan campuran.
Rakan gabungan paling berpotensi ialah Pheu Thai, parti yang lama dikaitkan dengan keluarga Shinawatra, walaupun pengasasnya, bekas Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, kini menjalani hukuman penjara.
“Saya tidak pernah bersedia untuk kalah,” kata Encik Anutin sambil menikmati semangkuk mi bersama ahli parti di kawasan Chinatown, Bangkok, mencerminkan keyakinannya menghadapi persaingan politik.
Walaupun berlatarbelakangkan keluarga berada dan berpengaruh, Encik Anutin menampilkan imej sebagai pemimpin mesra rakyat.
Beliau sering dilihat menikmati makanan jalanan, berkongsi video di media sosial dengan hanya berbaju-T dan berseluar pendek ketika memasak, atau memainkan lagu pop Thai era 1980-an dengan saksofon dan piano.
Imej santai ini menjadi daya tarikan dalam kalangan pengundi bandar dan luar bandar, sekali gus mengimbangi persepsi elit yang sering dikaitkan dengan tokoh politik kaya.
Kekayaan keluarganya berpaksikan Sino-Thai Engineering, sebuah syarikat pembinaan utama yang memperoleh pelbagai kontrak kerajaan bernilai tinggi selama beberapa dekad, termasuk projek lapangan terbang utama Bangkok dan bangunan Parlimen Thailand.
Bapanya pernah berkhidmat sebagai perdana menteri sementara semasa krisis politik 2008 sebelum dilantik sebagai menteri dalam negeri selama tiga tahun. Latar belakang ini menjadikan Encik Anutin sebahagian daripada dinasti politik dan perniagaan Thailand, walaupun beliau sering menekankan perjalanan peribadinya dalam politik.
Seorang jurutera industri terlatih di New York, Encik Anutin menyertai parti Thai Rak Thai pimpinan Encik Thaksin pada awal usia 30-an. Namun, beliau dilarang daripada terlibat dalam politik selama lima tahun selepas parti itu dibubarkan pada 2007.
Ketika “direhatkan” daripada politik, Encik Anutin mempelajari bidang penerbangan dan mengumpul beberapa pesawat persendirian, yang digunakan untuk menghantar organ pendermaan ke hospital bagi tujuan pemindahan - satu usaha kemanusiaan yang sering disebut oleh penyokongnya sebagai bukti komitmen sosial beliau.
Beliau kembali ke arena politik sebagai ketua Bhumjaithai, sebuah parti yang sering digambarkan sebagai “kameleon politik” kerana kebolehannya menyesuaikan diri dalam pelbagai gabungan kerajaan. Encik Anutin pernah menjadi timbalan kepada tiga perdana menteri sebelum ini, termasuk Cik Paetongtarn.
Sebagai menteri kesihatan di bawah kerajaan pimpinan tentera, beliau mengurus tindak balas Thailand terhadap pandemik Covid-19 dan mencuri perhatian dunia apabila menunaikan janji kempen untuk menghapuskan status jenayah ganja pada 2022, dengan matlamat merangsang ekonomi.
Pengaruh politik keluarga Shinawatra kini dilihat semakin pudar. Encik Thaksin dipenjarakan atas kesalahan rasuah, manakala Cik Paetongtarn disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan berhubung pengendalian pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Encik Anutin menarik keluar Bhumjaithai daripada gabungan bersama Pheu Thai pada Jun lalu selepas rakaman perbualan telefon Cik Paetongtarn bocor, mencetuskan kemarahan awam apabila beliau merujuk bekas pemimpin Kemboja Hun Sen sebagai “bapa saudara” dan menyifatkan seorang komander tentera Thailand sebagai “lawan”.
Dalam pada itu, pertempuran tercetus antara Thailand dengan Kemboja pada Julai dan Disember, mengorbankan puluhan nyawa di kedua-dua pihak dan memaksa lebih sejuta orang berpindah.
Gelombang nasionalisme susulan konflik ini, menurut penganalisis, telah meningkatkan sokongan terhadap Bhumjaithai, yang menentang pelonggaran undang-undang menghina raja Thailand.
“Konflik ini mengubah keutamaan pengundi terhadap peranan tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara,” kata penganalisis politik Encik Napon Jatusripitak.
“Satu-satunya parti yang dilihat mampu mengambil pendirian nasionalis dan tegas ialah Bhumjaithai.”
Tiga bulan selepas memegang jawatan dan sebelum gencatan senjata dicapai pada akhir Disember, Encik Anutin membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.
“Tiada siapa mahukan peperangan atau konflik,” katanya di Chinatown.
“Namun kita mesti mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.”
Dengan landskap politik yang terpecah dan sentimen nasionalis yang memuncak, Encik Anutin kini dilihat sebagai tokoh stabil yang mampu merapatkan jurang antara parti-parti utama satu kelebihan besar dalam usaha beliau untuk terus menerajui Thailand selepas pilihan raya ini. - Agensi berita

