Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Hubungan strategik S’pura-M’sia manfaatkan kededua negara

Hubungan perlu dikekalkan demi kebaikan kedua-dua negara
Sep 26, 2024 | 8:35 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap semasa acara Invest Malaysia di Sunway City, Iskandar Puteri, Johor pada 26 September.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap semasa acara Invest Malaysia di Sunway City, Iskandar Puteri, Johor pada 26 September. - Foto FACEBOOK/SUNWAY CITY

Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan strategik yang membolehkan kedua-dua negara bekerjasama demi mencapai hasil yang saling memanfaatkan, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyampaikan ucapannya pada sidang Invest Malaysia Iskandar 2024, di Sunway Big Box, Iskandar Puteri, Johor, pada 26 September, Datuk Anwar berkata hubungan dua hala yang erat perlu dikekalkan demi manfaat kedua-dua negara.

Beliau turut berkata bahawa masalah dihadapi dengan negara jiran merupakan perkara kecil yang turut dialami negara lain dan seharusnya tidak mencetuskan ketegangan atau konflik.

“Namun sebaliknya (isu itu) tidak sepatutnya mengalihkan tumpuan kita daripada bidang yang ingin kita capai kejayaan dan kedua-dua negara adalah rakan kerjasama yang baik dan berupaya menjadi sahabat yang lebih baik lagi, jika kita bekerjasama dan mencapai ke tahap yang mendatangkan manfaat bagi kedua-dua negara.

“Dan sebab itu saya rasa ghairah untuk bekerjasama dengan Singapura,” katanya lagi.

Merujuk kepada perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pula, Datuk Anwar berkata Malaysia berada dalam kedudukan baik bagi menyokong pembangunan projek itu.

Ini termasuk kemajuan dari segi prasarana dan kapasiti tenaga negara itu, kestabilan nilai ringgit, kestabilan politik serta daya usahanya yang berterusan bagi menyekat rasuah.

JS-SEZ adalah zon bersepadu bagi perniagaan dan pelaburan yang bertujuan memudahkan aliran rakyat dan barangan merentasi sempadan antara dua negara itu.

Diumumkan secara rasmi pada Oktober 2023, projek itu bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, Johor.

Namun, rancangan Malaysia hendak memuktamadkan perjanjian JS-SEZ itu pada September telah dibatalkan, dan perbincangan lanjut dijangka diadakan hingga Sesi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11, yang berkemungkinan diadakan pada Disember.

Sidang di Sunway City dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di samping pegawai bank, pelabur dan pegawai pihak berkuasa, juga mengadakan beberapa sesi panel perbincangan berkenaan kemajuan ekonomi di Johor.

Antaranya ialah prospek pelaburan daripada pembangunan pusat-pusat data – yang berupaya menyaksikan peningkatan permintaan disebabkan penggunaan khidmat AI yang semakin berleluasa di seluruh dunia – serta prospek hartanah yang semakin baik sejak pandemik.

Para pakar yang hadir juga menyatakan manfaat yang bakal diraih oleh Singapura seperti meredakan kos sewa dan operasinya.

Malaysia bakal meraih manfaat daripada kemajuan serta lokasi strategik Johor sebagai enjin untuk memacukan ekonominya.

Satu panel perbincangan dianggotai Ketua Ekonomi dan Pelaburan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Encik Rudyanto Azhar, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Encik Natazha Harris, Anggota Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Profesor Dr Ong Kian Ming dan moderator Encik Lee Heng Guie, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Sosioekonomi, Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) diadakan bagi menjawab sebarang keprihatinan di balik pembangunan JS-SEZ.

Dr Ong berkata beliau bersikap optimistik terhadap projek JS-SEZ kali ini sebab Malaysia berada di landasan lebih baik berbanding tahun-tahun yang lalu.

Menurut beliau, walaupun dengan isu ketegangan Amerika Syarikat dengan China, Malaysia dianggap sebagai destinasi pelaburan menarik yang memiliki kestabilan politik negara dan hubungan baik bersama Singapura.

Encik Natazha berkata pembangunan JS-SEZ juga melibatkan perjanjian yang mana pihak-pihak tertentu mempunyai obligasi untuk memenuhinya.

Datuk Onn dalam ucapannya berkata: “Kami perlu terus berusaha dengan gigih untuk mengekalkan momentum ini bagi memastikan Malaysia dan Johor kekal berada dalam pemikiran komuniti pelaburan global.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg