Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sasaran M’sia capai perjanjian SEZ Johor-S’pura pada Sep ditangguh ke akhir 2024

Aug 15, 2024 | 6:39 PM
Projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, Johor, membabitkan keluasan 3,505 kilometer persegi di selatan Johor.
Projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, Johor, membabitkan keluasan 3,505 kilometer persegi di selatan Johor. - Foto ZAOBAO

Rancangan Malaysia hendak memuktamadkan perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjelang September perlu dibatalkan, memandangkan rundingan masih diteruskan mengenai beberapa perkara yang menjadi penghalang.

Perbincangan dijangka diadakan hingga Sesi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11, yang berkemungkinan diadakan pada Disember.

Antara isu yang belum dipersetujui oleh kedua-dua negara ialah sumbangan kepada satu dana pemudah cara untuk syarikat yang ingin mengembangkan operasi ke Johor, di samping peruntukan tenaga pekerja mahir, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Singapura dan Malaysia menandatangani satu Memorandum Persefahamam (MOU) pada Januari yang menyasarkan perjanjian tersebut dicapai menjelang akhir 2024.

Namun, Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli, berkata pada Julai perjanjian tuntas itu dijangka ditandatangani pada September.

“Kini, perjanjian antara kededua negara ini akan ditandatangani semasa rahat tahunan pemimpin pada akhir tahun ini.

“Inilah persefahaman (yang dicapai) oleh Malaysia dan Singapura.

“Kami mahu menjadikan JS-SEZ lebih berkesan, yang memerlukan lebih banyak rundingan mengenai pelbagai dasar dan insentif sebelum satu perjanjian dapat dirangka antara kededua negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, kepada The Straits Times pada 14 Ogos.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mendedahkan pada 15 Ogos satu bengkel rasmi tiga hari antara pegawai Malaysia dan Singapura dijadual berlangsung di Johor pada 28 hingga 30 Ogos.

Bengkel tersebut bertujuan menyelesaikan kebanyakan rundingan itu, yang akan membuka laluan kepada penggubalan perjanjian itu.

Mengenai garis masa untuk mencapai perjanjian, Datuk Onn berkata: “Kami menyasarkan hujung tahun ini, tetapi kami mengadakan banyak interaksi sebelum itu.

“Saya telah ke Singapura beberapa kali dan bertemu ketua industri untuk mendapatkan maklum balas mereka.”

Sumber rasmi di Malaysia menyatakan bengkel tersebut juga ditangguhkan dari tarikh asal pada awal Ogos.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dari kededua negara kemudian perlu mengesahkan syarat undang-undang bagi cadangan yang dipersetujui.

JS-SEZ diumumkan secara rasmi pada Oktober 2023 semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10.

Ia adalah zon bersepadu bagi perniagaan dan pelaburan yang bertujuan memudahkan aliran rakyat dan barangan merentasi sempadan antara dua negara itu.

Projek itu bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, Johor, membabitkan kawasan seluas 3,505 kilometer persegi di selatan Johor.

Keluasannya dianggarkan lebih empat kali ganda saiz Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg