PETALING JAYA: Kemboja dan Thailand bersedia mempertimbangkan cadangan gencatan senjata susulan pertempuran sengit yang tercetus di sempadan kedua-dua negara pada 24 Julai, menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan di Facebook pada malam 24 Julai, Datuk Anwar memaklumkan bahawa beliau telah berhubung secara langsung dengan pemimpin dari kedua-dua negara dan merayu agar ketegangan yang memuncak itu segera diredakan.
“Malam ini, saya telah bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, bagi menyampaikan kebimbangan mendalam Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sempadan mereka.
“Dalam perbualan itu, atas kapasiti Malaysia selaku pengerusi Asean bagi tahun 2025, saya telah secara langsung merayu kepada kedua-dua pemimpin agar melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih parah, dan membuka ruang untuk dialog aman serta penyelesaian diplomatik,” kata Datuk Anwar.
Beliau turut menyambut baik reaksi positif dan kesediaan yang ditunjukkan oleh Bangkok dan Phnom Penh bagi mempertimbangkan langkah damai tersebut.
“Malaysia bersedia membantu dan memudahkan proses ini selaras dengan semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam Asean,” tambah beliau.
Datuk Anwar turut menegaskan bahawa kekuatan Asean terletak pada perpaduan dan keamanan mesti sentiasa menjadi pilihan bersama yang teguh dan tidak berbelah bahagi untuk rantau ini.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada 25 Julai berhubung pertempuran maut di sempadan Kemboja-Thailand, menurut sumber diplomatik.
Mesyuarat yang dipohon oleh Encik Hun Manet itu akan diadakan secara tertutup pada 3 petang waktu tempatan (3 pagi waktu Singapura, 26 Julai), menurut sumber berkenaan. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg