Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Anwar: Saiz Kabinet lebih kecil sejajar penubuhan Kerajaan Perpaduan

Tumpuan kini pada ekonomi, tangani kos meningkat yang dihadapi rakyat
Nov 26, 2022 | 05:30 AM



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.



Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata pihaknya juga akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.



"Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baru bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.



"Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan," katanya pada sidang media semalam, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).



Namun, beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai saiz Kabinet kecil dimaksudkannya itu termasuk dari segi bilangan kementerian atau menteri.



Isu saiz Kabinet menjadi perbincangan hangat semasa kerajaan diterajui perdana menteri sebelumnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dilihat terlalu besar membabitkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan selain 38 timbalan menteri.



Malah, Datuk Ismail Sabri turut menyatakan komitmen untuk mengecilkan saiz Kabinet beliau apabila menerajui kerajaan sekiranya mendapat mandat baru melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).



Dalam pada itu, Datuk Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan mengenai soal pembentukan Kabinet yang mana mereka akan mengusulkan nama yang diperlukan.



Sejurus itu, katanya, beliau akan memberi pertimbangan berdasarkan nama diusulkan parti masing-masing.



"Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus merujuk parti masing-masing dan (parti terbabit) akan mengusulkan nama.



"Saya harus memberikan pertimbangan sedemikian," katanya.



Ketika ditanya mengenai jangka masa diperlukan untuk membentuk Kabinet, Datuk Anwar bagaimanapun berkata ia akan diselesaikan sesegera mungkin.



Terdahulu, Datuk Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.



Beliau tiba pada 9.52 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW hitam diiringi beberapa kenderaan pengiring polis.



Ketibaannya, yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping selain memakai capal itu, disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.



Datuk Anwar, 75 tahun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 kelmarin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.



Pada sidang media sama, Datuk Anwar juga mengumumkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyatakan kesediaan untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya.



Beliau dimaklumkan perkara itu secara rasmi oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, lapor BHM.



"Ini bermakna kekuatan induk kita termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS, bermakna kita sudah ada hour atau sudah mencapai dua pertiga Ahli Parlimen (AP) yang akan mengukuhkan kestabilan politik negara," katanya.



Mengulas dua pertiga AP yang menyokong Kerajaan Perpaduan itu, Datuk Anwar berkata keadaan itu membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha mengangkat martabat negara, selain mengukuhkan ekonomi dengan hasrat membela nasib rakyat.



Ketika ini Kerajaan Perpaduan dianggotai PH - termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) - Barisan Nasional (BN), GPS, GRS, Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan AP bebas.



Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu catatan di Facebooknya semalam menegaskan bahawa gabungan parti politik itu akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.



Semalam, matawang ringgit meningkat 0.38 peratus berbanding dolar Amerika apabila pasaran dibuka yang mencerminkan sentimen menggalakkan selepas kemelut politik dalam negara itu selesai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >