SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AP Indonesia desak universiti tangani kes gangguan seksual dengan lebih tegas

AP Indonesia desak universiti tangani kes gangguan seksual dengan lebih tegas

Apr 21, 2026 | 1:01 PM

AP Indonesia desak universiti tangani kes gangguan seksual dengan lebih tegas

Seorang graduan undang-undang bergambar di hadapan patung sarjana perundangan Indonesia, Profesor Djokosoetono, dekan pengasas Fakulti Undang-Undang Universitas Indonesia, selepas menerima sijil tamat pengajian di hadapan bangunan fakulti di kampus universiti itu di Depok, Jawa Barat, pada 16 April 2026. Sebuah universiti terkemuka di Indonesia menggantung 16 pelajar undang-undang pada hari sama selepas perbualan kumpulan berunsur seksual mengenai rakan pelajar wanita mereka tular, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai keganasan berasaskan jantina di negara majoriti Muslim itu.
Seorang graduan undang-undang bergambar di hadapan patung sarjana perundangan Indonesia, Profesor Djokosoetono, dekan pengasas Fakulti Undang-Undang Universitas Indonesia, selepas menerima sijil tamat pengajian di hadapan bangunan fakulti di kampus universiti itu di Depok, Jawa Barat, pada 16 April 2026. Sebuah universiti terkemuka di Indonesia menggantung 16 pelajar undang-undang pada hari sama selepas perbualan kumpulan berunsur seksual mengenai rakan pelajar wanita mereka tular, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai keganasan berasaskan jantina di negara majoriti Muslim itu. - Foto AFP

JAKARTA: Ahli Parlimen Indonesia pada 20 April mendesak pemerintah dan pihak universiti negara itu memperkukuh langkah pencegahan gangguan seksual di kampus menyusuli kemarahan awam terhadap beberapa kes melibatkan pelajar dan pensyarah universiti terkemuka.

Tindakan itu menyusul selepas Universiti Indonesia (UI) menggantung 16 pelajar undang-undang berhubung perbualan kumpulan dalam talian yang mengandungi kenyataan lucah serta merendahkan maruah pelajar dan pensyarah wanita.

Dalam kes berasingan, Universiti Padjadjaran turut menggantung seorang profesor daripada Fakulti Kejururawatan yang didakwa menghantar mesej tidak senonoh kepada seorang pelajar antarabangsa.

Menyusuli insiden tersebut, Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyelia sektor pendidikan telah mengadakan sesi bersama pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi serta rektor beberapa universiti utama bagi menilai semula mekanisme pencegahan dan pengendalian kes.

Mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri wakil UI, Universiti Padjadjaran, Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Institut Pertanian Bogor (IPB).

Setiausaha Agung Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Encik Badri Munir Sukoco, berkata pemerintah memandang serius peningkatan kes gangguan seksual di kampus, namun menegaskan bahawa peningkatan laporan juga mencerminkan saluran aduan yang semakin berkesan.

“Kami amat bimbang dengan insiden yang berlaku, tetapi pada masa yang sama peningkatan laporan menunjukkan mekanisme pelaporan melalui pasukan khas semakin berfungsi,” katanya.

Menurut beliau, kementerian itu kini mempergiat usaha memperkukuh sistem pencegahan termasuk memperkenalkan kontrak prestasi bagi pihak pimpinan universiti, dengan pelaksanaan Pasukan Petugas bagi Pencegahan dan Penanganan Kekerasan di Perguruan Tinggi (PPKPT) dijadikan sebagai ukuran utama keberkesanan.

Di peringkat nasional, semua universiti awam telah menubuhkan pasukan petugas tersebut, manakala pelaksanaannya di universiti swasta mencapai kira-kira 65 peratus.

Peraturan kementerian yang diperkenalkan pada 2024 mewajibkan setiap institusi pengajian tinggi menubuhkan pasukan ini yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan kakitangan pentadbiran, serta bertanggungjawab menyiasat dakwaan gangguan seksual dan keganasan di kampus.

Encik Badri turut memaklumkan bahawa penilaian lanjut sedang dijalankan bagi menambah baik mekanisme pengendalian kes, termasuk meneliti faktor asas seperti hubungan kuasa dalam persekitaran akademik.

“Kami akan meneliti punca-punca keganasan termasuk dinamika kuasa, dan mempertimbangkan penambahbaikan dasar berdasarkan pandangan Suruhanjaya X,” katanya.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya X, Encik Lalu Hadrian Irfani, menegaskan bahawa pihak universiti perlu bertindak tegas tanpa sebarang kompromi.

“Kami menekankan bahawa semua mekanisme termasuk tindakan disiplin mesti dilaksanakan tanpa pengecualian sebaik siasatan selesai,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan ketelusan dalam proses siasatan.

“Proses itu juga perlu dilaksanakan secara telus selepas fakta ditentukan, kerana insiden seperti ini telah mencemarkan sistem pendidikan kita,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg