SUMENEP (Jawa Timur): Dalam salah satu keputusan paling tegas terhadap kes penderaan seksual di Jawa Timur, Mahkamah Daerah Sumenep menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan kembiri kimia ke atas ketua pesantren tempatan kerana menyerang pelajarnya.
Dalam perbicaraan tertutup pada 9 Disember, panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Andri Lesmana mendapati M. Sahnan, 51 tahun, bersalah melakukan serangan seksual terhadap lapan pelajar bawah umur di Pesantren Darul Abror di daerah Arjasa dari 2016 hingga 2024.
Mahkamah turut mengenakan denda lima bilion rupiah ($388,000), yang jika gagal dibayar akan diganti dengan enam bulan penjara tambahan, lapor The Straits Times (ST).
Hakim juga memerintahkan kembiri kimia, pemantauan elektronik sehingga dua tahun, serta penerbitan nama dan maklumat peribadi di akhbar nasional dan serantau.
Hukuman itu lebih berat daripada tuntutan pendakwaan yang memohon 17 tahun penjara.
Pengembirian kimia ialah kaedah menggunakan kimia atau ubat untuk mengurangkan keinginan seks, tanpa pensterilan atau membuang organ seseorang.
Ketua Bahagian Jenayah Am Pejabat Pendakwa Raya Sumenep, Encik Hanis Aristya Hermwana, menjelaskan kembiri kimia, pemantauan elektronik dan penerbitan identiti pesalah hanya akan dilaksanakan selepas Sahnan menamatkan hukuman penjara utama.
Jurucakap Mahkamah Daerah Sumenep, Encik Jetha Tri Darmawan, berkata hukuman belum muktamad kerana Sahnan masih mempertimbangkan rayuan.
Sahnan ditangkap pada 10 Jun selepas beberapa ibu bapa membuat laporan.
Perbicaraan mendedahkan dia menyalahgunakan kedudukannya sebagai guru agama dan pengetua untuk menyerang pelajar.
Antara kaedahnya termasuk menyuruh pelajar membawa air sejuk ke biliknya sebelum memaksa mereka melakukan perbuatan seksual.
Mangsa terlalu takut melawan dan diugut supaya berdiam diri.
Kes terbongkar apabila pelajar berkongsi pengalaman mereka dalam kumpulan WhatsApp yang kemudian dilihat ibu bapa.
Lapan mangsa disahkan di mahkamah, walaupun siasatan awal menunjukkan jumlah sebenar mungkin lebih besar.
Peguam mangsa, Encik Slamet Riyadi, menyambut baik keputusan itu.
“Mangsa berpuas hati kerana hukuman itu melebihi tuntutan 17 tahun, dan menghargai keberanian hakim mengenakan hukuman tambahan termasuk kembiri kimia,” katanya.
Beliau menyifatkan keputusan itu wajar memandangkan kedudukan Sahnan sebagai pemimpin agama yang sepatutnya melindungi pelajarnya.
Encik Slamet berkata trauma yang dialami mangsa dan keluarga sangat mendalam dan berpanjangan.
Ketika hukuman dijatuhkan, puluhan pelajar mengadakan protes di luar mahkamah menuntut hukuman berat.
“Dua rakan saya menjadi mangsa. Seorang cuba membunuh diri kerana trauma,” kata seorang penunjuk perasaan.
Indonesia memperkenalkan hukuman kembiri kimia pada 2016 untuk pesalah seksual kanak-kanak.
Walaupun sah hampir sedekad, hukuman ini jarang dijatuhkan kerana kontroversi mengenai kesan sampingan serta bantahan kumpulan hak asasi manusia. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg