Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apakah alasan AS sekat kiriman bom ke Israel?

May 20, 2024 | 5:30 AM
Suasana di Rafah apabila tentera Israel mengebom wilayah di selatan Gaza itu pada 10 Mei.
Suasana di Rafah apabila tentera Israel mengebom wilayah di selatan Gaza itu pada 10 Mei. - Foto AFP

GAZA: Amerika Syarikat telah menggantung penghantaran senjata ke Israel, termasuk bom berat yang digunakan sekutu Amerika itu dalam kempennya menentang Hamas di Gaza, yang telah membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin.

Penggantungan itu dibuat ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, meneruskan serangan ketenteraan ke atas bandar Rafah di Palestin, sekalipun dibantah Presiden Amerika, Encik Joe Biden.

BOM APA YANG DISEKAT?

Menurut pegawai Amerika, Washington menghentikan penghantaran yang terdiri daripada 1,800 bom seberat 907 kilogram (kg) tiap satu, dan 1,700 bom yang lebih kecil.

Empat sumber berkata, penghantaran itu melibatkan Senjata Serangan Langsung Bersama buatan Boeing, yang menukar bom senyap kepada bom berpandu ketepatan jitu, serta Bom Diameter Kecil (SDB-1).

SDB-1 ialah bom luncur berpandu ketepatan yang mengandungi 250 paun bahan letupan.

Semua itu adalah sebahagian daripada penghantaran yang diluluskan sebelum ini kepada Israel, bukan pakej bantuan tambahan AS$95 bilion ($128 bilion) baru-baru ini, yang diluluskan oleh Kongres Amerika pada April.

MENGAPA AMERIKA SEKAT BOM INI?

Amerika sedang mengkaji “bantuan keselamatan jangka terdekat,” kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, di Dewan Senat pada 8 Mei “dalam konteks peristiwa yang berlaku di Rafah”.

“Kami telah sangat jelas... sejak awal lagi bahawa Israel tidak seharusnya melancarkan serangan besar-besaran ke atas Rafah tanpa mengambil kira dan melindungi orang awam yang berada di sana,” kata Encik Austin.

Keputusan Amerika itu diambil berikutan kebimbangan mengenai “penggunaan akhir bom seberat 2,000 paun dan kesannya di kawasan bandar yang padat seperti yang kita lihat di bahagian lain di Gaza,” kata seorang pegawai Amerika yang tidak mahu namanya disiarkan.

BILA KEPUTUSAN DIBUAT? ADAKAH ENCIK BIDEN TERLIBAT?

Encik Biden terlibat secara langsung. Beliau mengesahkan penangguhan itu secara peribadi dalam wawancara dengan saluran berita Amerika, CNN pada 8 Mei.

KEROSAKAN AKIBAT BOM SEBERAT 907 KILOGRAM

Bom besar seperti ini mempunyai kesan ke atas kawasan yang luas.

Kesan letupan dikatakan boleh memecahkan paru-paru, rongga sinus dan merobek anggota badan individu yang berada ratusan meter dari tapak letupan.

TINDAK BALAS ISRAEL

Israel menafikan menyasarkan orang awam Palestin.

Menurut Israel, sasarannya adalah untuk memusnahkan kumpulan Hamas dan ia mendakwa mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kematian yang tidak perlu.

Selepas berita penangguhan kiriman itu tersebar pada 7 Mei di Washington, seorang pegawai kanan Israel berkata:

“Jika kami terpaksa bertarung dengan kuku kami, maka kami akan melakukan apa yang perlu kami lakukan,” kata sumber itu.

Jurucakap tentera itu berkata sebarang perselisihan faham diselesaikan secara tertutup.

ADAKAH BOM INI SAH DIGUNAKAN ISRAEL DI GAZA?

Itu adalah perdebatan hangat.

Undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak secara jelas mengharamkan pengeboman udara di kawasan berpenduduk padat, namun orang awam tidak boleh menjadi sasaran, dan matlamat ketenteraan tertentu mestilah mengambil kira kemungkinan kematian atau kerosakan awam.

KENYATAAN MAHKAMAH JENAYAH ANTARABANGSA

Statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang menyiasat perang Israel-Gaza, menyenaraikan sebagai jenayah perang dengan sengaja melancarkan serangan, walau diketahui bahawa ramai orang awam akan terbunuh atau kerosakan awam secara meluas.

PERNAHKAH AMERIKA SEKAT BANTUAN KETENTERAAN?

Ya, pada 1982. Mantan Presiden Amerika, Encik Ronald Reagan, mengenakan larangan selama enam tahun ke atas penjualan senjata kelompok kepada Israel, selepas siasatan Kongres mendapati Israel telah menggunakannya di kawasan berpenduduk semasa pencerobohannya ke atas Lebanon pada 1982. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg